fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
Chaumet Rai Koleksi Ikonik di Butik Pop-Up Eksklusif ION Orchard, Singapura
Braun Büffel Tawar Gaya That We Are Excited For Lebaran
Dior Chez Moi, Ajakan Bersantai Penuh Gaya
Fashion Awards 2024: Lihat Senarai Penuh Pemenang
Trend Musim Luruh Anda Perlu Ikuti
Home > Fesyen > Kempen Chloé Musim Sejuk Merakam Keindahan Feminiti Dalam Pelukan Alam

Kempen Chloé Musim Sejuk Merakam Keindahan Feminiti Dalam Pelukan Alam

Chloé memperkenalkan kempen Musim Sejuk 2026 yang meraikan hubungan antara wanita, alam dan seni pertukangan, menerusi visi puitis Chemena Kamali serta lensa Inez Van Lamsweerde dan Vinoodh Matadin.

Pengarah Kreatif Chloé, Chemena Kamali, terus mengembangkan identiti maison Perancis itu dengan memperkenalkan kempen Musim Sejuk 2026 yang menyelami hubungan antara wanita dan juga alam. Kempen ini memilih landskap terbuka sebagai ruang untuk menceritakan kisah tentang kebebasan, naluri serta keindahan yang hadir secara semula jadi. Lensa Inez Van Lamsweerde dan Vinoodh Matadin merakam setiap helaian dalam cahaya musim sejuk yang lembut, lantas membolehkan alam memainkan peranan penting dalam menghidupkan koleksi. Bagi Kamali, pendekatan ini mencerminkan keinginannya untuk meraikan wanita, keluasan alam terbuka serta nilai ketukangan yang menjadi nadi kepada Chloé sejak sekian lama.

Kempen Chloe Musim Sejuk 2026 Mengangkat Alam Sebagai Kanvas Penceritaan

Keindahan kempen ini terletak pada cara koleksi tersebut berinteraksi dengan persekitarannya. Tiupan angin, perubahan cahaya dan tekstur landskap membentuk setiap imej sehingga siluet yang dipersembahkan kelihatan seolah-olah menjadi sebahagian daripada alam itu sendiri. Fabrik yang ringan, perincian berinspirasikan elemen folklor dan sentuhan hasil kerja tangan menghidupkan estetika yang romantik tanpa kehilangan esen kontemporari. Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana jenama ini terus mempertahankan identitinya yang nyata sinonim dengan kelembutan, kebebasan dan gaya yang tidak dipaksa, sekali gus menjadikan alam sebagai elemen yang sama penting dengan busana yang dipersembahkan.

Kempen Chloé Musim Sejuk 2026 turut menampilkan Raquel Zimmerman, Jacqui Louise, Thalita Ferreira dan Sarah Isaksen yang bergerak bebas merentasi padang berbunga dan landskap terbuka. Kehadiran mereka sebagai bintang kempen dalam memperagakan koleksi musim baharu menggambarkan semangat kebersamaan yang ingin diketengahkan oleh Chloé. Setiap visual menampilkan interaksi yang organik antara para model dan alam sekeliling, lantas menghasilkan suasana yang tenang namun masih diinjek emosi. Daripada pose yang tersusun, kempen ini lebih mengutamakan gerakan semula jadi yang menyerlahkan keyakinan dan kekuatan feminin dalam bentuk yang paling tulen.

Sejak mengambil alih tampuk kreatif Chloé pada 2023, Chemena Kamali secara konsisten mengembalikan nilai-nilai yang menjadi asas penubuhan maison ini pada 1952, iaitu feminiti yang bebas, romantik dan dekat dengan kehidupan sebenar. Kempen yang dihadirkan ini juga meneruskan visi tersebut melalui koleksi yang tidak hanya menonjolkan keindahan pakaian, tetapi mengajak pemakainya menghargai hubungan yang lebih mendalam dengan alam dan hasil kerja tangan. Di dalam era di mana kempen fesyen sering mengejar sensasi visual, Chloé memilih pendekatan yang lebih halus namun berkesan, membuktikan bahawa keindahan yang paling bermakna lahir daripada kesederhanaan dan kejujuran.

Artikel berkaitan: Santai Chloë Grace Moretz Di California Bersama Koleksi S/S 18 Jimmy Choo