Pangkor Laut Resort Buat Resepsi Cinta Di Pulau Eksklusif
Realisasikan majlis perkahwinan impian di Pangkor Laut Resort. Terokai pakej perkahwinan eksklusif, Spa Village ikonik, dan mahligai peribadi ala VIP.
Bila bercakap tentang lokasi majlis perkahwinan yang paling memukau dan berprestij, tidak dapat dinafikan Pangkor Laut Resort sentiasa berada di hierarki teratas. Dengan slogan “One Island. One Resort.”, pulau peribadi yang dikelilingi hutan hujan tertua berusia dua juta tahun ini menjanjikan privasi mutlak buat pasangan yang mahukan momen hari bahagia mereka diraikan dalam suasana serba mewah dan magis. Malah, mendiang penyanyi tenor legenda dunia, Luciano Pavarotti pernah terpesona dan menyifatkan pulau ini sebagai sebuah syurga dunia. Buat pembaca GLAM yang mendambakan wedding of the year, berikut ialah pakej perkahwinan impian yang ditawarkan di syurga tropika ini.
Lantern Courtyard Wedding

Pakej eksklusif yang ditawarkan pada harga MYR 19,500++ ini dicipta khas buat pasangan yang mengagumi nuansa romantik berunsurkan tradisi kontemporari. Bayangkan detik anda melangkah anggun di atas laluan bertabur kelopak bunga segar menuju ke astaka taman sebelum menyempurnakan upacara pernikahan anda. Resepsi disusuli pada sebelah malam di perkarangan laman yang disinari limpahan cahaya tanglung yang cukup syahdu dan puitis, melengkapkan penginapan dua malam di Sea Villa, rawatan spa diraja Melayu Puteri Lindungan Bulan, serta santapan malam romantik buat pasangan raja sehari.
An Emerald Beach Wedding

Bagi mereka yang mengidamkan latar belakang yang lebih dramatik, pakej An Emerald Beach Wedding yang bernilai MYR 22,000++ menawarkan keraian di pantai Emerald Bay yang ikonik. Diiringi deruan ombak, tiupan bayu laut dan pemandangan matahari terbenam yang memukau, majlis perkahwinan anda disempurnakan dengan gerbang flora tropika, nyalaan obor pantai yang romantik, serta sajian makan malam lima sajian bertaraf bintang khas di tepi pantai.
A Wedding At The Estates

Manakala bagi mereka yang mendambakan kemuncak eksklusiviti, pakej A Wedding at The Estates pada harga MYR 38,800++ menyediakan mahligai Hilltop Estate peribadi lengkap bersama perkhidmatan pelayan khas dan cef peribadi sepanjang penginapan. Daripada koktel petang di laman hijau peribadi sehinggalah ke santapan gourmet yang digubah khas, setiap perincian direka khusus mengikut cita rasa tinggi anda.
Mahligai Indah Buat Tetamu


Kelesuan tetamu kehormat anda pula bakal diubati dengan pilihan penginapan yang menawarkan keselesaan optimum. Vila ikonik atas air seperti Sea Villa dengan kadar MYR 2,000++ semalam menawarkan panorama laut emerald yang terbentang luas.


Manakala Pavarotti Suite bernilai MYR 4,150++ semalam menyediakan suite dua bilik tidur di tengah kehijauan hutan hujan, lengkap dengan bilik mandi berkonsepkan bumbung terbuka .
- 3 & 4-Bedroom Hilltop Estates


Hilltop Estates yang ditawarkan bermula MYR 8,500++ semalam menyediakan santuari peribadi lengkap bersama kenderaan bot laju peribadi serta cef khas.
Ritual Penyembuhan di Spa Village


Namun, pesona Pangkor Laut Resort tidak lengkap tanpa menyebut keajaiban Spa Village Pangkor Laut yang cukup masyhur di peringkat antarabangsa. Sebagai santuari penyembuhan jiwa dan raga, Spa Village meraikan budaya penyembuhan tradisi serantau dengan menggabungkan ilmu rawatan Melayu, Cina, dan Ayurveda. Kompleks spa eksklusif ini dilengkapi dengan lapan paviliun rawatan, Belian Treatment Pavilion, tiga Healing Huts, dua Bath Houses, serta tempat istirahat khas. Buat pasangan pengantin, pengalaman mandi wap dan urutan tradisi diraja bukan sekadar merawat kelelahan, malah menyuntik seri pengantin dan keharmonian sebelum melangkah ke alam rumah tangga.
Sebagai sentuhan kenangan yang abadi, setiap pakej turut diserikan dengan upacara simbolik penanaman pokok sebagai lambang penyatuan dua jiwa, serta penginapan bulan madu percuma selama dua malam di Gaya Island Resort, Sabah. Di Pangkor Laut Resort, setiap detik keraian direka untuk menjadi liputan paling berseri dalam diari hidup anda.
Artikel berkaitan: Pesona Mahligai Cinta di Tanjong Jara Resort Untuk Bakal Pengantin
