Little Miss Khan Dedah Jejaka Gerangan Hatinya Di Instagram
Ini 5 Destinasi Road Trip Menarik di Malaysia Bersama Keluarga!
Situationship: Bahaya Cinta Tanpa Status Yang Ramai Terperangkap
Potret Unik Puteri Diana Dipamer Di London
Emily Ratajkowski Dituduh Mendapatkan Suntikan Bibir Ketika Hamil
Home > Gaya Hidup > Mengapa Sepang Dianggap Antara Litar Formula 1 Terbaik Di Dunia?

Mengapa Sepang Dianggap Antara Litar Formula 1 Terbaik Di Dunia?

Selepas hampir sedekad, Formula 1 akhirnya kembali ke Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada Oktober ini. Kepulangan perlumbaan berprestij itu bukan sahaja mengujakan peminat sukan permotoran di Malaysia, malah mengembalikan perhatian dunia kepada Sepang yang sejak sekian lama diiktiraf sebagai antara litar terbaik dalam kalendar Formula 1.

Sejak menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia pada 1999, Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) telah mencipta reputasi sebagai sebuah litar yang bukan sahaja menguji kelajuan, malah ketahanan fizikal, strategi pasukan dan keupayaan pemandu. Direka oleh arkitek litar terkenal, Hermann Tilke, Sepang berjaya menggabungkan selekoh teknikal, laluan lurus yang panjang dan cuaca tropika yang sukar dijangka, menjadikannya antara litar yang paling dihormati oleh pemandu Formula 1.

Cuaca Tropika Yang Menguji Pemandu Dan Jentera

Salah satu faktor yang membezakan SIC daripada kebanyakan litar Formula 1 lain ialah cuaca tropikanya. Suhu yang tinggi, kelembapan yang melampau serta hujan lebat yang boleh turun tanpa amaran menjadikan setiap perlumbaan penuh dengan cabaran dan drama. Keadaan ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal pemandu yang perlu berlumba selama hampir dua jam dalam kokpit yang sangat panas, malah memaksa setiap pasukan membuat keputusan pantas mengenai strategi perlumbaan, terutamanya pemilihan tayar dan waktu yang sesuai untuk memasuki pit.

Kerana keadaan cuaca di Sepang turut memberi kesan besar terhadap pemilihan tayar. Pada Grand Prix Malaysia 2016, pembekal tayar rasmi Formula 1, Pirelli, menyediakan tiga kompaun tayar iaitu Hard, Medium dan Soft untuk digunakan sepanjang perlumbaan. Oleh itu, setiap pasukan diberikan kebebasan untuk memilih kombinasi tayar mengikut strategi masing-masing. Contohnya, Mercedes, Ferrari dan Toro Rosso, memilih kombinasi yang berbeza bagi setiap pemandu, manakala Toro Rosso memilih jumlah tayar Soft paling banyak bagi kedua-dua pemandunya. Perbezaan strategi ini membuktikan bahawa keadaan trek dan cuaca di Sepang sering memerlukan pendekatan yang teliti kerana perubahan kecil pada keadaan litar boleh memberi impak besar terhadap prestasi tayar dan keputusan perlumbaan.

Laluan Yang Mencabar Kemahiran Pemandu

SIC bukanlah litar yang mudah dikuasai. Direka dengan gabungan dua laluan lurus sepanjang kira-kira 900 meter, selekoh berkelajuan tinggi serta zon membrek yang mencabar (heavy braking zones), litar ini menguji kemahiran setiap pemandu untuk mengekalkan keseimbangan antara kelajuan, ketepatan dan kawalan jentera.

Dengan lebar trek yang mencecah 22 meter di beberapa bahagian, SIC turut menyediakan ruang yang lebih luas untuk aksi memotong dan persaingan wheel-to-wheel, menjadikan setiap perlumbaan lebih kompetitif dan sukar dijangka.

Gabungan ini menjadikan SIC antara litar yang paling digemari dalam kalangan pemandu Formula 1. Bukan sahaja menguji kemahiran pemandu dan jentera, malah reka bentuknya turut membuka peluang kepada aksi perlumbaan yang sengit.

Banyak Perlumbaan Ikonik Tercipta Di Sepang

Sepanjang menjadi sebahagian daripada kalendar Formula 1 dari 1999 hingga 2017, Sepang telah menyaksikan pelbagai detik bersejarah yang masih dikenang peminat sehingga hari ini. Antara nama besar yang pernah menakluk litar ini ialah Eddie Irvine, Michael Schumacher, Fernando Alonso, Sebastian Vettel dan Max Verstappen. Perlumbaan terakhir Formula 1 di Malaysia pada 2017 menyaksikan Verstappen menghadiahkan dirinya kemenangan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-20 selepas menewaskan Lewis Hamilton, sekali gus menutup tirai era Formula 1 di Sepang dengan penuh bergaya.

Antara Litar Kegemaran Pemandu

Bukan hanya juara dunia terdahulu yang memuji Sepang, malah pemandu Formula 1 generasi baharu turut melahirkan keterujaan untuk kembali berlumba di Malaysia.Pemandu Mercedes, George Russell, pernah menyifatkan Sepang antara litar kegemarannya ketika bermain permainan video Formula 1, manakala rakan sepasukannya, Kimi Antonelli, menganggap Sepang sebagai sebuah litar yang menarik dan tidak sabar untuk merasai sendiri cabarannya. Bagi kedua-dua pemandu itu, perlumbaan di Malaysia juga cukup bermakna kerana PETRONAS merupakan rakan kongsi utama Mercedes.

Artikel berkaitan: Imbas Gaya Ikonik Selebriti Di Grand Prix Dari 1992-2026