Berakar daripada kisah peribadi dan teknik pleat, Gongdid Design terus mencipta busana yang bermakna dalam kehidupan seharian wanita.
Bermula daripada satu pemerhatian yang cukup peribadi, pengasas Gongdid Design, Peach Wichcha Soponpattana, mengubah elemen ‘pleat’ yang sering dikaitkan dengan imej formal dan matang menjadi identiti utama di sebalik jenamanya. Ditubuhkan pada tahun 2015, label lokal dari Thailand ini menampilkan pendekatan esen yang nyata segar, lembut dan mudah digayakan, sekali gus memberikan perspektif baharu terhadap seni lipatan fabrik dalam konteks penata gaya hidup wanita moden.
Asal Usul Yang Membentuk Arah Kreatif
Nama ‘Gongdid’ turut membawa makna tersendiri. Ia diambil daripada istilah Thai yang merujuk kepada alat tenunan tradisional, yang mana mencerminkan penghargaan terhadap seni kraf, pergerakan fabrik serta perincian halus yang menjadi asas kepada setiap rekaan. Di sebalik identiti tersebut, tersimpan satu kisah yang lebih peribadi buat Peach. Ketika kecil, namanya sering disebut sebagai “Pleat” oleh orang di sekelilingnya. Perkataan itu malah kekal dekat dalam ingatannya sebelum perlahan-lahan berkembang menjadi sumber inspirasi yang membentuk arah kreatif jenama ini, lantas menghubungkan perjalanan peribadinya dengan bahasa rekaan Gongdid Design.
Walau langkah awal kerjayanya bermula dalam dunia kewangan sebagai pembantu perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat sekuriti, minat Peach terhadap fabrik dan pakaian tidak pernah jauh daripada dirinya. Bermula dengan menghasilkan rekaan dalam jumlah kecil untuk rakan-rakan dan kenalan terdekat, setiap helaian yang dihasilkan membuka ruang kepada kemungkinan baharu. Apa yang pada awalnya lahir daripada rasa ingin tahu dan eksperimentasi peribadi, akhirnya berkembang secara semula jadi menjadi sebuah jenama yang mula menemukan tempat di hati pelanggan.
Perjalanan Gongdid Design turut dibentuk oleh sokongan keluarga, sahabat serta pelanggan awal yang percaya terhadap potensi jenama tersebut. Dalam fasa permulaan yang serba sederhana, setiap pembelian dan cadangan daripada pelanggan menjadi penggerak penting yang mengukuhkan keyakinan Peach untuk terus melangkah. Jenama ini berkembang secara organik tanpa modal besar, dibina melalui pendekatan yang penuh disiplin dan penuh pertimbangan. Setiap koleksi dihasilkan dalam kuantiti yang terhad sebelum hasilnya dilaburkan semula ke dalam pembangunan jenama.
Hari ini, jenama Gongdid Design terus berkembang dengan falsafah yang berakar pada kehidupan seharian wanita. Bagi Peach, proses mereka bentuk bukan sekadar mencipta pakaian yang indah, tetapi memahami bagaimana wanita mahu tampil selesa dan yakin dalam rutin harian mereka. Pemerhatian terhadap pelanggan, maklum balas yang diterima serta interaksi seharian menjadi ilham utama dalam membentuk setiap koleksi. Melalui kepakaran dalam teknik pleating berkualiti tinggi, setiap helaian diolah agar tampil ringan, versatil dan mudah digayakan, sekali gus mencerminkan visi label ini untuk mencipta busana yang menyuntik esen selesa, turut serta rasa keyakinan dan kegembiraan yang mengiringi si pemakai.
Melangkah ke masa hadapan, Gongdid Design ingin terus memperkukuh kehadirannya di Thailand dan pasaran antarabangsa. Walaupun bercita-cita untuk berkembang ke pentas yang lebih luas, identitinya adalah kekal sama. Bagi Peach, setiap rekaan harus hadir dengan tujuan yang melangkaui keindahan semata-mata. Ia perlu hidup bersama wanita yang memakainya, bergerak mengikut rutin mereka dan menjadi sebahagian daripada momen-momen harian. Barangkali itulah yang paling menggambarkan falsafah Gongdid dan seperti yang diungkapkan oleh Peach, clothes not only beautiful on the hanger, but meaningful when worn in real life.