Di sebalik setiap rekaan yang disarungkan, tersimpan kisah tentang keyakinandan perjalanan 4 wanita yang terus berkembang di pentas dunia. BLACKPINK membuktikan bahawa fesyen bukan hanya tentang apa yang dipakai, tetapi bagaimana setiap penampilan mampu menyampaikan sebuah cerita yang dekat dengan jiwa dan meninggalkan impak yang sukar dilupakan.
BLACKPINKterus membuktikan bahawa pengaruh mereka melangkaui dunia muzik. Sepanjang 2026, setiap kemunculan Jennie, Jisoo, Rosé dan Lisa menjadi sorotan, bukan sahaja dalam kalangan peminat K-pop tetapi juga pemerhati fesyen global. Daripada barisan hadapan minggu fesyen antarabangsa hinggalah ke karpet merah acara berprestij, kumpulan wanita ini sentiasa menyerlah dengan penampilan yang mencerminkan identiti tersendiri sambil menetapkan penanda aras baharu dalam dunia gaya. Sempena ulang tahun ke-10 perjalanan BLACKPINK sebagai sebuah kumpulan, 2026 menyaksikan mereka terus mengukuhkan status sebagai ikon fesyen generasi ini. Setiap busana yang disarung menjadi pernyataan yang mencetuskan perbualan, mengilhamkan trend dan mengukuhkan hubungan erat mereka dengan rumah-rumah fesyen terkemuka dunia seperti Chanel dan Saint Laurent. GLAM kongsikan beberapa momen fesyen ikonik milik BLACKPINK yang mewarnai 2026 setakat ini.
Ini Penampilan Ikonik BLACKPINK Yang Mendefinisikan 2026!
Met Gala 2026
Met Gala 2026 menjadi antara momen paling bermakna buat BLACKPINK apabila Jennie, Jisoo, Rosé dan Lisa turut menghadiri karpet merah berprestij itu. Berinspirasikan tema ‘Costume Art’, setiap ahli memperlihatkan interpretasi gaya yang berbeza namun tetap selari dengan identiti fesyen masing-masing. Hadir bersama rumah fesyen yang mereka wakili sebagai duta global, setiap anggota BLACKPINK menyerlahkan identiti gaya yang tersendiri menerusi persalinan yang mencerminkan DNA jenama masing-masing. Lisa, yang turut menganggotai jawatankuasa hos Met Gala 2026, meraih perhatian menerusi rekaan avant-garde Robert Wun lengkap dengan layah lut sinar yang disokong elemen lengan bercetak 3D. Rosé pula setia kepada Saint Laurent dalam gaun hitam rekaan Anthony Vaccarello yang diinspirasikan daripada motif burung, dipadankan bersama barang kemas Tiffany & Co. Jennie turut mempesona dalam gaun berona biru Chanel rekaan Matthieu Blazy yang dihiasi 15,000 labuci metalik berbentuk daun, manakala Jisoo membuat penampilan sulung di Met Gala menerusi persalinan merah jambu Dior hasil sentuhan Jonathan Anderson. Kemunculan mereka bukan sahaja mencetuskan perhatian lensa fesyen dunia, malah mengukuhkan lagi pengaruh BLACKPINK sebagai antara ikon fesyen unggul dalam landskap fesyen global.
Met Gala 2026 After Party
Tidak terhenti di karpet merah, Met Gala 2026 After Party menyaksikan BLACKPINK sekali lagi bereksperimen dengan gaya yang lebih bebas namun kekal bergaya. Jisoo menukar persalinan Dior kepada gaun baharu yang baru sahaja dipersembahkan di pentas peragaan, menampilkan fabrik putih beralun dengan potongan gelembung yang dramatik, sebelum melengkapkan gaya bersama tas tangan kecil berona hijau dan kasut tumit metalik. Lisa pula meninggalkan gaun putih lut sinar untuk sut putih berinspirasikan rockstar, lengkap dengan jaket berbulu, bralette dan seluar potongan kembang rendah bersama kasut platform tinggi. Jennie memilih gaya lebih santai menerusi set putih berhias untuk menghadiri majlis after party GQ, dipadankan dengan cermin mata hitam Ray-Ban serta but kulit hitam paras lutut. Rosé pula mengekalkan estetika serba hitam Saint Laurent menerusi gaun mini tanpa tali dengan perincian draping yang dramatik, dilengkapkan dengan stoking hitam lut sinar serta kasut tumit runcing.
Paris Fashion Week
Paris Fashion Week 2026 turut menjadi pentas buat BLACKPINK memperlihatkan gaya mereka dalam dunia fesyen antarabangsa. Mewakili rumah fesyen yang sinonim dengan identiti masing-masing, Jennie, Jisoo, Rosé dan Lisa tampil di barisan hadapan dengan busana yang menjadi bualan ramai. Untuk pertunjukan tersebut, Jennie hadir dalam persalinan yang digayakan oleh jurusolek gayanya, Sam Woolf, dengan inspirasi daripada rekaan nombor 76 koleksi Chanel Pre-Fall 2026. Jika versi asal di pentas peragaan menampilkan sisi elegan klasik Chanel, interpretasi Jennie membawa sentuhan lebih segar dengan aura muda dan sedikit berani. Penampilannya dilengkapkan dengan beg rona burgundy daripada koleksi Chanel Métiers d’Art 2026 serta gaya rambut sanggul kemas serta solekan berseri yang menyerlahkan bentuk wajahnya. Rosé pula menjadi tumpuan dalam gaun mini rona hijau terang sewaktu Saint Laurent Fall/Winter Fashion Week, menampilkan rekaan bahu terbuka dengan perincian lengan kembang yang memberikan sentuhan feminin. Manakala, Lisa memperlihatkan sisi berani dan eksperimental menerusi Louis Vuitton, menyarungkan padanan seluar hitam berpotongan rapi bersama blaus yang mencerminkan gaya moden dengan sentuhan avant-garde. Tidak ketinggalan, Jisoo membawa aura feminin Dior ke Paris Fashion Week menerusi penampilan serba elegan. Gaun hitam yang disarung bersama tas tangan Dior rona putih serta solekan natural menyerlahkan sisi anggun yang sinonim dengan dirinya.
Penampilan ahli BLACKPINK di karpet merah acara berprestij turut1 mencipta pernyataan fesyen. Misalnya, Jennie melakar detik fesyen yang sukar dilupakan menerusi kehadirannya di acara Time100 Gala di Jazz at Lincoln Center. Jennie tampil dalam rekaan Schiaparelli daripada koleksi Fall/Winter 2026 Ready-to-Wear hasil sentuhan Daniel Roseberry. Busana rona batu itu menampilkan korset berstruktur dengan 2 lengkungan dramatik pada bahagian dada, diserlahkan dengan tali pinggang kulit hitam nipis di pinggang yang memberikan sentuhan elegan. Lisa turut membuat kemunculan sulungnya di acara berprestij Golden Globes 2026. Bintang kelahiran Thailand itu hadir penuh keanggunan dalam gaun hitam Jacquemus yang menampilkan bahagian atas lut sinar, dilengkapi dengan tube tob hitam serta perincian lengan dramatik. Penampilannya disempurnakan dengan rantai berlapis bersaiz besar yang memberikan sentuhan berani. Selain bergelar penyampai pada acara tersebut, kehadiran Lisa turut menjadi tanda sokongan buat barisan pelakon bersama siri The White Lotus yang menerima enam pencalonan. Rosé mencipta detik fesyen tersendiri di karpet merah Grammy Awards 2026 menerusi penampilan hitam putih. Penyanyi itu menyarungkan gaun hitam tanpa tali dengan potongan unik, menampilkan fabrik putihpada bahagian pinggang dan pinggul yang memberikan ilusi skirt dramatik beralun. Gaya tersebut dilengkapkan dengan kasut tumit hitam serta barang kemas Tiffany & Co., manakala rambut bob berona perang dengan gaya keriting menambahkan sentuhan glamor ala era “blonde bombshell”. Jisoo turut pernah hadir ke Festival Siri Antarabangsa Cannes apabila menerima anugerah Madame Figaro Rising Star Award sebagai pengiktirafan terhadap perjalanan awalnya dalam bidang lakonan. Hadir dalam persalinan Miss Sohee Spring 2026 Couture, Jisoo tampil mempesona menerusi gaun rona merah jambu lembut yang sarat dengan elemen romantik. Rekaannya menampilkan korset berstruktur dengan sulaman metalik halus serta skirt tulle berona senada.