fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
Kolaborasi Billie Eilish Dan Nike Buat Air Jordan Vegan
Pereka Fesyen John Galliano Meninggalkan Maison Margiela Selepas 10 Tahun
NYFW: Biasan Karakter New Yorker
Koleksi L/S ’18 Braun Büffel Gabungan Glamor Era 70-an & Estetik Pop Art
Selera Fesyen Melania Trump Raih Publisiti Pereka Fesyen Bebas
Home > Fesyen > Tirai KLFW 2026 Kembali Dibuka!

Tirai KLFW 2026 Kembali Dibuka!

KLFW is totally back! Daripada deretan pereka terkemuka sehingga ke bakat baharu yang bakal mementaskan koleksi mereka, Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2026 kini kembali menghidupkan nadi fesyen tanah air menerusi tema ‘Destination: Home Ground’.

Setiap bulan Ogos, kota Kuala Lumpur menjadi nadi fesyen negara dengan Suria KLCC yang menjadi latar kepada pentas fesyen buat para pereka fesyen dalam mempersembahkan visi kreatif mereka. Sementara, pencinta fesyen pula berhimpun untuk meraikan karya anak tempatan. Kini, penantian itu hampir berakhir kerana Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) bakal kembali menghangatkan untuk edisi ke-14 menerusi tema Destinasi: Tanah Air (Destination: Home Ground).

Destination: Home Ground, Menjadi Tema Buat KLFW Musim Ini

Bakal berlangsung selama tujuh hari, ibu kota Kuala Lumpur akan bernafas mengikut rentak fesyen apabila lebih 50 pereka dan jenama tempatan memenuhi kalendar pertunjukan yang menyatukan nama-nama mapan bersama bakat generasi baharu. Rizman Ruzaini, Fiziwoo, Hatta Dolmat, Kit Woo dan Jimmy Lim kembali mewarnai pentas, sementara kemunculan sulung PLAZÄ, NanaLyana, Asyraf Arrif, EMRI, 99%ANGEL dan CDH menjanjikan perspektif segar terhadap landskap fesyen Malaysia yang semakin berkembang. Kolaborasi kreatif seperti MUNI bersama Jeff Yeong serta segmen Fashion Forward Batik Malaysia pula memperlihatkan bagaimana warisan terus diberi tafsiran baharu menerusi rekaan kontemporari.

Menyambut tema tahun ini, ruang pertunjukan turut melalui transformasi yang lebih dramatik. Berinspirasikan motif arkib batik Yayasan Sabah, facade monokrom dan pentas berbentuk jam pasir menjadi latar kepada sebuah pengalaman yang lebih imersif. Dengan kapasiti sekitar 500 tetamu, ruang baharu ini turut diperkukuhkan menerusi panel LED gergasi yang menyiarkan pertunjukan secara langsung, sementara siri pop up di sekitar Suria KLCC menghidupkan kemeriahan KLFW di luar pentas peragaan. Setiap sudut menjadi sebahagian daripada perjalanan fesyen yang menghubungkan masyarakat dengan kreativiti tempatan.

Berlangsung dari 3 sehingga 9 Ogos 2026 di Esplanade, Taman KLCC, KLFW kembali untuk edisi ke-14 menerusi tema Destinasi: Tanah Air (Destination: Home Ground). Mengangkat semangat kembali kepada akar budaya sambil melangkah ke hadapan, KLFW 2026 menghimpunkan lebih 50 pereka dan jenama tempatan yang bakal mempamerkan kreativiti serta identiti fesyen Malaysia di pentas peragaan. Tahun ini, ruang pertunjukan turut diberi nafas baharu menerusi inspirasi motif arkib batik Yayasan Sabah yang diterjemahkan ke dalam fasad monokrom elegan, pentas serba putih berbentuk jam pasir dan susun atur yang lebih imersif, sekali gus menjadikan setiap pertunjukan sebuah pengalaman visual yang menyeluruh.

Di luar pentas, kemeriahan KLFW turut menghidupkan seluruh Suria KLCC menerusi pelbagai pop-up, pameran seni visual, instalasi fesyen dan aktiviti interaktif yang meraikan bakat kreatif tempatan. Daripada hasil penggayaan pelajar fesyen di Isetan KLCC sehingga ke pameran seni MOCCONA dan ruang khas Jom Malaysia, setiap sudut mencerminkan kepelbagaian ekosistem fesyen negara. Barisan pereka tahun ini pula menyaksikan kemunculan nama baharu seperti PLAZÄ, NanaLyana, Asyraf Arrif, inisaya by Jeffery Goh, 99%ANGEL, CDH dan EMRI, selain persembahan daripada nama-nama yang terus menjadi tunjang industri seperti Rizman Ruzaini, Fiziwoo, Sharifah Kirana dan ManChien menerusi label baharunya, Super Structure.

Turut mencuri perhatian ialah kolaborasi antara studio budaya material MUNI bersama Jeff Yeong, penampilan sulung Tanoti serta segmen Fashion Forward Batik Malaysia yang mempersembahkan 30 rekaan eksklusif daripada 10 pereka tempatan, menghubungkan warisan tekstil dengan pendekatan kontemporari. Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, KLFW sekali lagi membuktikan bahawa fesyen merupakan medium yang menyatukan budaya, komuniti dan kreativiti. Menjelang tirainya dibuka, Kuala Lumpur bersedia sekali lagi menjadi pentas kepada karya-karya terbaik anak tempatan yang bakal mencuri perhatian, bukan sahaja di tanah air, malah di persada antarabangsa.

Artikel berkaitan: #Recap: Tampilan Gaya Selebriti Wanita Di KLFW 2025