fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
GLAM Lebaran: Himpunan Koleksi Raya 2025 Untuk Diterokai Bahagian 1
10 Gaya Berani Selebriti Di Minggu Fesyen Paris 2024
Gaya Ratu Rihanna Di Tayangan Perdana Filem Terbaharunya!
Minimalisme Radikal Balenciaga “The Zero” Koleksi 2025
Kempen 2021 Gucci Gift, Melangkah ke Lembaran Baru
Home > Fesyen > Sempena Filem Mojoku Hilang, Imbas Gaya Mimi Lana!

Sempena Filem Mojoku Hilang, Imbas Gaya Mimi Lana!

Daripada karpet merah hingga acara eksklusif, Mimi Lana membuktikan dirinya sebagai figura fesyen dengan pilihan gaya yang penuh pesona.

Pelakon tinggi lampai dengan susuk tubuh langsing ini bukan sahaja dikenali menerusi bakat lakonannya, malah turut mewarnai landskap fesyen tempatan. Kehadiran Mimi Lana dalam industri hiburan Malaysia menyerikan landskap fesyen menerusi setiap penampilan yang sarat dengan gaya dan personaliti tersendiri. Sering menghiasi wajah hadapan majalah sebagai figura fesyen, setiap kemunculannya sama ada di acara tempatan mahupun antarabangsa memperlihatkan evolusi gaya yang cukup ikonik. Daripada siluet minimalis hingga busana dramatik, penampilannya di karpet merah mahupun acara eksklusif sentiasa menjadi sorotan. Sempena pelancaran filem Mojoku Hilang yang bakal ditayangkan di pawagam pada 23 Julai 2026, mari imbas kembali evolusi gaya Mimi Lana!

Ini Deretan Momen Fesyen Ikonik Mimi Lana!

Karpet merah buat filem ‘Polong’

Bagi pelancaran filem ‘Polong’ yang ditayangkan pada 28 Mei 2026, pelakon itu meraih perhatian di karpet merah menerusi gaun hitam berlabuci rona gelap daripada jenama tempatan, Alia Bastamam. Sebagai salah seorang teraju utama dalam naskhah seram tersebut, penampilan Mimi Lana sememangnya dinantikan peminat yang ingin melihat sentuhan fesyennya. Gaun berona hitam itu diserikan dengan dandanan rambut lurus panjang serta solekan natural, sekaligus mencipta aura elegan yang menyerlahkan keanggunannya. Lebih menarik, penampilannya turut dihiasi dengan sentuhan barang kemas mewah daripada Chopard yang menjadi antara elemen utama dalam melengkapkan gaya karpet merahnya pada malam tersebut. 

Menghadiri majlis pembukaan butik Audemars Piguet 

Bagi majlis pembukaan butik Audemars Piguet di Kuala Lumpur, Mimi Lana hadir bersama suaminya yang juga seorang pelakon, Syafiq Kyle. Bak pinang dibelah dua, pasangan ini tampil mempesona dengan gaya yang saling melengkapi, menyerlahkan aura sofistikated sebagai pasangan suami isteri. Mimi Lana memilih gaun hitam berpotongan belahan tinggi daripada Max Mara, disempurnakan dengan solekan berani bersama sapuan gincu merah yang ikonik. Penampilannya turut dilengkapkan dengan sepasang kasut tumit tinggi rona putih yang memberikan sentuhan kontras dan moden pada keseluruhan gaya.

Pelancaran filem ‘Mencari Ramlee’

Filem Mencari Ramlee, salah satu naskhah lakonan Mimi Lana, telah ditayangkan di pawagam pada 19 Jun 2025. Karya berkonsepkan klasik ini menampilkan sisi berbeza miliknya, bukan sahaja menerusi bakat lakonannya, malah turut menyerlahkan gaya dan penampilan tersendiri sepanjang kempen promosi filem tersebut. Mengangkat kisah figura seni legenda Malaysia, P. Ramlee, karya yang sarat dengan nilai nostalgia ini tampil unik menerusi penceritaan yang menghidupkan kembali era keemasan seni tanah air. Pada karpet merah filem tersebut, Mimi Lana tampil dalam gaun kuning paras lutut yang dipadankan bersama sarung tangan hitam berperincian tulle, mencipta keseimbangan antara elemen klasik dan moden. Lebih menarik, gaya rambut ala Barbie yang digayakan Mimi menambahkan sentuhan feminin pada keseluruhan penampilan, manakala aksesori tas tangan hitam daripada Dior melengkapkan gaya tersebut.

Aura romantis Mimi Lana bersama suami di pagi Syawal

Pada pagi Syawal, Mimi Lana berkongsikan menerusi hantaran di Instagram beberapa foto bersama suaminya, Syafiq Kyle, yang memperlihatkan kemeriahan sambutan Hari Raya mereka. Menggayakan busana baju kurung rona lembut daripada Zaimi Zulkafli, pasangan ini menawan hati ramai, lebih-lebih lagi menerusi potret manis bersama kucing peliharaan mereka. Momen yang sarat dengan kehangatan, romantis dan kemesraan itu menjadi antara kenangan Syawal pada tahun tersebut.

Aura bintang Mimi Lana di malam gemilang Festival Filem Malaysia 2025

Bagi malam berprestij Festival Filem Malaysia 2025, Mimi Lana menghiasi karpet merah dalam gaun rona merah daripada Alia Bastamam yang menyerlahkan aura elegan dan penuh keyakinan. Penampilannya turut disempurnakan dengan perhiasan barang kemas eksklusif daripada Chopard, sekaligus menambahkan sentuhan mewah pada keseluruhan gaya. Digayakan bersama solekan natural serta dandanan rambut sanggul kemas, penampilan Mimi Lana pada malam tersebut tampil jelita, sekali gus menjadi antara sorotan acara.

Artikel berkaitan: Tahniah! Mimi Lana dan Syafiq Kyle Kini Sah Bergelar Suami Isteri