fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
10 Skarf Tercantik, Memberi Sensasi Gaya Lockdown!
The Absolutely Desirable Scarves
Ikon Fesyen: Veronica Heilbrunner
Dioriviera Bawa Magis Tropika Ke Pulau Pinang
Sentuhan Adi Busana Maison Margiela Oleh John Galliano
Home > Fesyen > GLAM It Girl: Elena. C

GLAM It Girl: Elena. C

Kenali Elena C, ikon Gen-Z digital gaya minimalis-chic. Ikuti inspirasi fesyen, kembara dua kota London dan KL, serta kisah Trophy Wife Collective. 

Melangkah masuk ke dalam radar pencinta kandungan fesyen dan gaya hidup, sama ada di peringkat lokal mahupun antarabangsa, Elena Chee berjaya mencipta standardnya yang tersendiri. Membahagikan masanya dengan harmoni antara kesibukan kota kosmopolitan London dan pesona dinamik Kuala Lumpur, Elena membuktikan bahawa kehidupannya penuh visi yang menggandungkan elemen seni, fesyen, dan personaliti yang memikat dalam setiap gerak-geri digitalnya. 

1.⁠ ⁠Elena membahagikan masa antara London dan Kuala Lumpur, apakah perbezaan landskap budaya kedua-dua kota ini mempengaruhi gaya fesyen Elena?

Menetap di antara London dan Kuala Lumpur membuka ruang buat saya mengalami dua atmosfera kreatif dan budaya yang cukup berbeza, di mana kedua-dua buah kota ini secara tidak langsung membentuk cita rasa gaya peribadi saya dengan cara yang tersendiri. 

London pastinya banyak mempengaruhi sisi fesyen saya yang lebih eksperimental. Kota itu sangat meraikan budaya individualiti, di mana masyarakatnya bebas mengekspresikan diri tanpa ragu menerusi apa yang mereka sarung. Berada di sana mendorong saya untuk keluar daripada kepompong trend arus dan mula mengasah gaya sendiri sama ada melalui teknik suai padan (layering), mengadun estetika yang berbeza, mahupun menyuntik elemen vintaj dan helaian statement. 

Kuala Lumpur pula menterjemah sisi lain dalam diri saya. Kota ini terasa lebih vibrant, feminin, dan sarat dengan elemen gaya hidup, yang jelas dicerminkan melalui cara saya berpakaian dan mencipta kandungan. Budaya kafe, cuaca tropika, serta atmosfera sosialnya secara semula jadi melahirkan siluet yang lebih lembut, fabrik yang lebih ringan, dan penggayaan yang effortless. Di sinilah juga tempat di mana saya merasa paling intim dengan estetika minimal/chic yang saya dambakan. 

Secara keseluruhannya, gaya saya hari ini adalah acuan daripada kedua-dua buah kota tersebut. London memberi saya keyakinan untuk menjadi lebih kreatif dan berani bereksperimen, manakala Kuala Lumpur menginspirasikan elemen yang lebih lembut, feminin, dan approachable dalam gerobok pakaian saya. Kembara di antara kedua-duanya mengajar saya bahawa fesyen tidak seharusnya rigid pada satu kategori, ia boleh jadi sesuatu yang playful namun tetap polished, selesa dan elegan, bergantung kepada bagaimana anda memilih untuk mengekspresikan diri. 

 2.⁠ ⁠Sejauh manakah pengalaman hidup di luar negara mempengaruhi perspektif Elena dalam menilai trend global berbanding trend tempatan di Malaysia?

Fesyen di luar negara sememangnya jauh lebih versatile disebabkan oleh peralihan musim. Ia memberikan kita lebih fleksibiliti untuk bereksperimen dengan teknik layering dan pelbagai gaya sepanjang tahun, berbanding di Malaysia di mana landskap fesyennya lebih terarah kepada satu musim sahaja. 

 3.⁠ ⁠Bagi pengikut setia yang sering menonton dokumentasi video vlog Elena, apakah lokasi tersembunyi (hidden gems) di London dan KL yang paling memberi inspirasi kepada Elena?

Apabila berbicara tentang kawasan kejiranan kegemaran di London, Shoreditch dan Angel/Islington sentiasa menambat hati saya untuk bersiar-siar sambil menikmati deretan kedai dan kafe yang cukup unik. Untuk momen santai di taman yang menyajikan panorama kota yang memukau, pilihan saya pastinya sama ada Primrose Hill atau Greenwich Park. Manakala untuk destinasi brunch kegemaran pula, Corner Shop di Temple adalah lokasi wajib, kafe ini menghidangkan seleksi sarapan dan makan tengah hari yang segar, pastri yang lazat, kopi yang hebat, serta pelbagai barangan runcit premium untuk dibawa pulang. Untuk pengisian malam, Goodbye Horses merupakan sebuah wine bar yang menawarkan pilihan antipasti yang menyelerakan bersama seleksi wine yang berkualiti.

Beralih ke Kuala Lumpur pula, kawasan kegemaran saya untuk meluangkan masa ialah APW Bangsar dan Taman Paramount. Salah satu hidden gem yang cukup unik bagi saya ialah Shaded Stone Cafe sebuah kafe estetik yang tersembunyi di dalam sebuah emporium marmar. Dan jika saya mahukan sebuah destinasi percutian singkat (staycation) di hujung minggu yang tenang dan jauh daripada hiruk-pikuk kota, Sekeping Serendah adalah lokasi rahsia yang paling sempurna.

4. Antara pendekatan yang minimalis dan ekspresi gaya yang lebih eksperimental, yang manakah paling menerjemahkan personaliti Elena yang sebenar?

Walaupun saya menghargai keanggunan gaya minimalis, saya merasakan bahawa ekspresi gaya yang lebih eksperimental mencerminkan personaliti saya dengan lebih tepat. Saya sentiasa melihat fesyen sebagai sebuah bentuk kreativiti dan penceritaan, dan bukannya sekadar berpakaian. Sama ada dengan menggabungkan helaian feminin dan sukan, bermain dengan tekstur dan bentuk siluet, mahupun menghasilkan gaya pakaian berdasarkan suasana atau estetika tertentu, saya gemar menggunakan fesyen sebagai cara untuk mengekspresikan sisi diri saya yang berbeza.

Walau bagaimanapun, pendekatan saya dalam bereksperimen tidak semestinya kelihatan keterlaluan atau luar biasa. Saya lebih cenderung untuk memadankan pakaian asas dengan aksesori yang menarik seperti barang kemas yang tebal atau beg tangan yang unik. Saya suka mencari cara yang unik untuk menggayakannya dalam masa yang sama mengekalkan penampilan keseluruhan yang kemas dan praktikal untuk dipakai.

Saya fikir itulah sebabnya gaya saya sering berada di antara dunia yang berbeza, lembut tetapi berkeyakinan, ceria tetapi sofistikated, feminin tetapi moden. Fesyen membolehkan saya meneroka kontras tersebut, dan itulah yang menjadikannya sangat mengujakan bagi saya. Secara keseluruhannya, saya boleh katakan bahawa saya adalah seorang yang gemar bereksperimen dengan pelbagai estetika dalam masa yang sama kekal setia kepada gaya peribadi yang dirasakan tulen, segar, dan jelas melambangkan diri saya sendiri.

5. Boleh kongsi serba sedikit mengenai visi utama di sebalik penubuhan Trophy Wife Collective dan impak yang ingin Elena bawakan melalui jenama tersebut?

Trophy Wife Collective diasaskan dengan visi untuk mentakrifkan semula konsep kewanitaan bagi generasi moden. Walaupun istilah “trophy wife” sering dikaitkan dengan stereotaip tradisional, saya ingin mengubah persepsi tersebut dan menjadikannya sebagai simbol keyakinan, cita-cita, kelembutan, serta ekspresi diri.

Melalui Trophy Wife Collective, saya berhasrat untuk menghasilkan rekaan pakaian yang membolehkan wanita menerima sisi feminin mereka tanpa mengetepikan faktor keselesaan atau identiti peribadi. Perkara ini jelas dicerminkan dalam rekaan kami, sama ada jersi potongan longgar yang digayakan bersama reben, palet warna merah jambu yang lembut, mahupun reka bentuk santai yang menggabungkan elemen sukan dan perincian yang halus. Kami mengagumi kontras antara kekuatan dan kelembutan, dan koleksi kami direka untuk meraikan kedua-dua elemen tersebut.

Inspirasi jenama ini datang daripada gaya yang sangat feminin, nostalgia romantis, dan budaya gadis moden. Hasilnya adalah pakaian yang ceria, praktikal, dan memberi keyakinan. Di samping itu, misi saya adalah untuk melihat Trophy Wife Collective berkembang sebagai sebuah komuniti di mana setiap wanita bebas memilih acuan kewanitaan mereka sendiri dengan penuh konfidensi.

Pada akhirnya, impak yang ingin saya bawakan adalah untuk menggalakkan wanita menonjolkan diri dengan penuh keyakinan, menjadi seorang yang berwawasan, berdikari, dan berjaya, namun tetap memelihara kelembutan, keanggunan, serta perkara yang benar-benar mereka gemari.

6. Dengan 160k+ subscribers di YouTube, apa rahsia Elena untuk kekal rapat dan ada connection yang kuat dengan pengikut setia?

Antara perkara paling penting adalah meluangkan masa untuk membalas komen dan DM, kerana ia menunjukkan ada individu sebenar di sebalik kandungan tersebut yang benar-benar menghargai apa yang diperkatakan oleh orang ramai. Sikap terbuka, jujur, dan telus dalam video-video saya juga membantu saya untuk kekal autentik serta mengekalkan hubungan yang kuat dan akrab dengan penonton. 

7. Jenama feysen yang Elena gemari sekarang dan mengapa?

SweetChilling – Jenama Shanghai yang menggabungkan corak berorientasikan trend bersama siluet feminin yang unik. Helaian ‘statement’ mereka yang menyerlah merupakan tarikan utama yang membuatkan saya meminati jenama ini pada awalnya.

Smooch – Jenama Vietnam yang memfokuskan kepada pakaian asas harian berkualiti tinggi, termasuk baju tanpa lengan (tank tops), baby tees, dan baju lengan panjang. Ia sangat mementingkan aspek pakaian rujukan utama (wardrobe staples) yang boleh dipercayai untuk menaikkan lagi seri gaya harian. 

CSB – Jenama pakaian sukan (activewear) dari Australia yang terkenal dengan helaian senaman berkualiti tinggi dan terletak elok pada tubuh. Rekaan mereka menyerlahkan lagi bentuk badan dengan cantik, menggunakan material yang lembut serta bergaya yang terasa selesa sebaik sahaja disarung. 

8. Siapa ikon Gen Z yang Elena ikuti dan kenapa?

  1. Wizard Liz
    Beliau mewakili disiplin diri yang tinggi, peningkatan minda, dan tenaga ke arah menjadi versi terbaik diri sendiri. Kandungan beliau sangat telus, memberi motivasi, serta memfokuskan kepada harga diri, penetapan standard, dan transformasi peribadi. Ramai yang mengikuti beliau untuk membina semula cara berfikir dan meningkatkan keyakinan diri.
  1. Shelby Haas
    Beliau dikenali kerana berkongsi perjalanan hidupnya daripada melakukan jualan dari rumah ke rumah sehingga berjaya membina kejayaan kewangan pada usia yang muda. Kandungan beliau memfokuskan kepada cita-cita, pemilikan kerjaya, dan memberi inspirasi kepada wanita muda untuk mengambil alih kawalan terhadap pendapatan serta hala tuju hidup menerusi disiplin dan keusahawanan.
  2. Amalie Star
    Beliau memfokuskan kepada kandungan fesyen dan gaya hidup, dengan elemen yang dekat di hati penonton menerusi pengalamannya menetap di luar negara termasuk ketika berada di Singapura. Beliau amat diminati sebagai seorang wanita muda antarabangsa yang sedang mengemudi usia 20-an sambil membina gaya hidup yang kemas dan menjadi aspirasi ramai.
  3. Kylie Jenner
    Beliau mewakili skala kejayaan yang besar, terutamanya dalam menukar pengaruh digital menjadi sebuah empayar kecantikan global. Ramai yang mengikuti beliau untuk melihat aspek penjenamaan, trend kecantikan, kejayaan perniagaan, serta idea membina kekayaan yang besar dan status tinggi daripada pengaruh peribadi.

9. Gambarkan diri Elena dalam tiga perkataan yang paling tepat bagi tahun ini.

Elevating, Driven, Intense

Artikel berkaitan: GLAM It Girl: Syaza Katrina