GLAM Persona: Datin Elvina Mohamad, Bintang Hati Terkini - Glam Malaysia
GLAM Persona, Datin Elvina Mohamad, Bintang Hati Terkini 01

GLAM Persona: Datin Elvina Mohamad, Bintang Hati Terkini

Sebelum menginjak usia 30 tahun, Datin Elvina Mohamad mahu lebih sukses membina empayar perniagaan sebagai usahawan produk kecantikan yang mula diusahakan dua tahun lalu. Mahu terus berlakon namun lebih punya waktu berdampingan keluarga tercinta.

PENGARANG KREATIF: AIZAT AIDID PENULIS: MARINI MAT ZAIN KONSEP & PENATA GAYA: YANA BAHARUDIN GAMBAR: EDMUND /ONETHREFOUR STUDIO SOLEKAN: KF BONG DANDANAN: CK LIOW PENYELARAS SHAHRIL HADI PAKAIAN & AKSESORI: DIOR

GLAM Persona, Datin Elvina Mohamad, Bintang Hati Terkini 04

Datin Elvina Mohamad tiba di studio tepat pada waktunya. Dengan ramah dia menyapa kami dan melemparkan senyuman termanis. Semua mata tertumpu ke arahnya. Kecil molek orangnya berketinggian 158cm sahaja. Cantik! Ketika jurusolek dan pendandan rambut merias penampilannya, saya mengambil kesempatan berbual-bual dengan Elvina mengenali siapa dia sebenarnya.

Lembut suara, bahasanya tersusun rapi. “Saya suka menjaga kulit wajah. Wajah tanpa solekan jadi pilihan sehari-hari memandangkan saya sentiasa bersolek di lokasi penggambaran, ujarnya. Apabila ditanya apa tip solekan diperolehi daripada jurusolek ketika sesi fotografi atau di lokasi penggambaran, dia ketawa. “Tak ada. Mungkin saya boleh mula hari ini. Sebenarnya saya lebih berminat kepada produk penjagaan wajah. Bukan solekan,” ujarnya membuka cerita.

GLAM Persona, Datin Elvina Mohamad, Bintang Hati Terkini 02

KEMEJA, DRESS ROMPER KUNING, SUBANG DAN CINCIN DI DIOR.

Memang wajib, setiap tiga kali sehari Elvina amalkan cucian wajah dan memakai pelembap juga serum. Sebolehnya di set juga dia amalkan cucian wajah dan bersolek semula. Katanya dia perlu membenarkan kulit wajah bernafas. Kalau tidak kulit akan jadi sensitif dan pasti ditumbuhi jerawat. Ekoran fanatik terhadap penjagaan kulit, Elvina mengambil inisiatif membuka perniagaan berkaitan kecantikan. L’pure Beauty telah diusahakan sejak dua tahun lalu, mendapat sambutan yang sungguh luar biasa. Rangkaian produk L’pure Beauty terdiri dari pencuci wajah, pelembap dan serum. Malah dia merancang menjadikan perusahaannya itu jaminan masa depan.

SAYA MASIH MENGINGATKAN DIRI UNTUK MENGHORMATI ORANG. MASIH BELAJAR DAN BERTANYA JIKA TIDAK TAHU. SENTIASA RENDAH DIRI. JANGAN TERLAMPAU SELESA — DATIN ELVINA MOHAMAD

“Saya akan terus membina empayar perniagaan L’pure Beauty. Andai kata perlu mengurangkan aktiviti seni, saya bersedia. Saya sasarkan tiga tahun lagi, saya sudah sukses dan selesa.” Namun buat masa ini, cintanya terhadap seni lakonan masih utuh. Elvina baru selesai penggambaran 40 episod drama rantaian di Astro Prima. Mula berlakon sejak 2014, dia sudah punya senarai drama yang wataknya memerlukan mainan emosi mencabar. Antara drama dibintangi Elvina, Shhh… I Love You, Isteri Untuk Diiktiraf, Demi Rindumu, Seandainya Aku, Takdir Yang Tertulis, Derhaka Cinta Jebat dan banyak lagi.

GLAM Persona, Datin Elvina Mohamad, Bintang Hati Terkini 03

BAJU TANPA LENGAN DAN AKSESORI BARANG KEMAS DIOR.

“Saya mengambil kelas lakonan dan rajin bertanya dengan pelakon senior dan pengarah. Saya lebih selesa jika jujur diberitahu kualiti lakonan saya baik atau tidak setiap kali di lokasi. Penting mendapat maklum balas secara langsung, kerana saya boleh memperbaiki kelemahan lakonan saya,” ujarnya yang senang berada di bawah bimbingan pengarah Shahrulezad Mohameddin. Pengarah Shahrulezad sering memberi tunjuk ajar setiap kali selepas ‘CUT’. Mereka berbincang dan melakukan ‘take’ tambahan jika perlu. Itu lebih mudah dan menjamin kualiti drama atau filem.

See also
Perpisahan Leonardo Dicaprio & Camila Morrone Jadi Bahan Jenaka Di Twitter

Baca lanjut dalam GLAM May 2022

Pautan berkenaan: GLAM Persona: Dolla Make You Wanna