Butiran Pertunjukan Fesyen Victoria’s Secret 2016!
Kite Tote – Beg Multifungsi Koleksi Musim Bunga Panas 2016 Mulberry
Serlahkan Gaya Aidilfitri Dengan Grace, Tas Tangan Terbaru Kate Spade New York
5 Gaya Bintang India di Met Gala 2025 Pilihan GLAM
GLAM It Girl: Tisya Ong
Home > Fesyen > Besar, Praktikal Dan Chic, Ini 7 Tas Tangan Carry All Yang Wajar Dimiliki

Besar, Praktikal Dan Chic, Ini 7 Tas Tangan Carry All Yang Wajar Dimiliki

Coach Brooklyn Shoulder Bag 39, Long Champ Le Pliage One L Handbag, Bottega Veneta Large Campana, Brik Upsized Slouchie Bag, Saoi Vista Bag,  Nelissa Hilman Wrapt01 dan CHANEL 25 Large Handbag adalah antara tas tangan carryall yang perlu dimiliki.

Tas tangan bersaiz besar membuktikan bahawa fungsi dan gaya boleh bergerak seiring. Selepas beberapa musim didominasi beg bersaiz mini, kini siluet yang lebih besar kembali menjadi pilihan pencinta fesyen menerusi pentas peragaan dan gaya jalanan. Selain tampil lebih praktikal, ia turut memberikan sentuhan chic yang melengkapkan penampilan dari pagi hingga ke malam. Sama ada untuk ke pejabat, menghadiri mesyuarat, menikmati hujung minggu bersama teman mahupun sebagai teman perjalanan, tas tangan bersaiz besar menawarkan ruang yang mencukupi untuk menyimpan segala keperluan harian. Dengan pelbagai pilihan siluet, material dan rona yang versatil, aksesori ini menjadi pilihan yang bijak untuk mereka yang inginkan satu tas tangan yang mampu memenuhi pelbagai keperluan dan melengkapkan setiap gaya.

Ini 7 Tas Tangan Untuk Semua Keperluan Harian Anda!

1. Coach Brooklyn Shoulder Bag 39

Bagi mereka yang mengutamakan ruang penyimpanan bersama rekaan beg yang elegan, Coach Brooklyn Shoulder Bag 39 merupakan pilihan yang sukar untuk dilepaskan. Dengan rekaan yang besar, tas tangan ini direka untuk memenuhi keperluan harian, sama ada ke pejabat, kampus mahupun ketika menghabiskan masa di kafe kegemaran. Diperbuat daripada suede dua lapis yang lembut dengan kemasan tahan lasak, ia menawarkan keseimbangan sempurna antara kemewahan dan fungsi. Misalnya, ruang dalamnya yang luas mampu memuatkan komputer riba bersaiz sehingga 15 inci bersama pelbagai barangan lain, menjadikannya teman ideal untuk hari yang padat. Poket snap pada bahagian dalam pula memudahkan akses kepada barangan penting seperti telefon atau dompet, manakala tali bahu yang lebih lebar memastikan keselesaan ketika dipakai sepanjang hari. Penutupan magnetik melengkapkan rekaan ini dengan sentuhan praktikal yang menjadikan setiap penggunaan lebih mudah dan efisien.

2. Longchamp Le Pliage One L Handbag

Longchamp telah lama dikenali sebagai jenama pilihan bagi tas tangan yang bukan sahaja praktikal, malah tahan lama. Longchamp Le Pliage One L Handbag mengangkat semula rekaan ikonik Le Pliage® menerusi versi top-handle bersaiz besar yang tampil dengan estetika monokrom tona senada. Padanan kemasan dan kanvas dalam rona yang sama menghasilkan penampilan yang moden serta menyerlahkan karakter minimalis yang sofistikated. Garis rekaannya yang kemas menjadikan tas tangan ini mudah digayakan untuk pelbagai acara, sama ada ke pejabat mahupun ketika mengisi jadual harian yang padat. 

3. Bottega Veneta Large Campana

Menampilkan siluet arkib yang diolah semula dengan sentuhan kontemporari, Bottega Veneta Large Campana ini diperbuat daripada kulit intrecciato yang lembut, sekaligus menyerlahkan identiti ikonik jenama tersebut. Rekaan yang luas dipadankan dengan penutupan tali kulit bersama magnet tersembunyi, menghasilkan kemasan yang rapi serta elegan tanpa mengabaikan aspek praktikal. Direka untuk memenuhi keperluan harian, ruang dalamnya yang luas mampu memuatkan komputer riba bersaiz sehingga 13 inci, selain dilengkapi poket berzip untuk menyimpan barangan penting dengan lebih teratur. Hadir dalam pelbagai rona  seperti coklat gelap, hitam, biru dan hijau tua yang sofistikated, ia turut disempurnakan dengan kemasan perkakasan brass. Tas tangan buatan Itali ini menjadi pilihan ideal buat mereka yang menghargai estetika minimalis terutamanya bersama rekaan anyaman dengan sentuhan kemewahan yang abadi.

4. Brik Upsized Slouchie Bag

Diperbuat daripada material velvet suede yang lembut, Upsized Slouchie Bag daripada jenama tempatan Brik hadir dalam siluet yang lebih besar dengan rekaan slouchy yang menyerlahkan gaya santai tetapi tetap chic. Teksturnya yang gebu bukan sahaja memberikan keselesaan ketika dibawa, malah menjadikannya aksesori yang mudah dipadankan dengan pelbagai gaya, daripada kasual hinggalah penampilan yang lebih elegan. Menawarkan ruang dalaman yang luas, Upsized Slouchie direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden seperti komputer riba, beg alat solek dan botol air. Bagi mereka yang sering membawa lebih daripada keperluan asas, rekaan ini membuktikan bahawa kapasiti yang besar tidak semestinya mengorbankan gaya.

5. Saoi Vista Bag

Diinspirasikan daripada rekaan tas tangan eksotik vintaj, Saoi Vista Bag merupakan antara aksesori yang menyuntik karakter pada setiap penampilan harian. Menampilkan siluet klasik beg bahu, rekaan ini disempurnakan dengan perkakasan berona perak, penutupan dwi-zip serta perincian logo timbul SAOI yang menyerlahkan estetik retro dengan sentuhan moden. Pada bahagian dalam, Vista Bag dilengkapi lapisan kanvas bersama satu ruang berzip yang memudahkan penyimpanan barangan penting seperti dompet, telefon dan kunci. Ditawarkan dalam corak leopard, python dan rona Desert Red, tas tangan ini sesuai dijadikan statement piece yang menyerlahkan personaliti serta cita rasa fesyen anda. 

6. Nelissa Hilman Wrapt01 

Menggabungkan elemen kraf tradisional dengan estetika moden, Nelissa Hilman Wrapt01 tampil menerusi siluet lembut yang dihiasi lipatan halus, sekali gus menyerlahkan rekaan yang cukup unik. Diperbuat daripada kulit mikrofiber dengan lapisan suede, tas tangan ini dilengkapi tali bahu berbalut serta tali silang badan boleh laras untuk keselesaan maksimum. Ruang dalamnya yang luas merangkumi satu kompartmen utama, satu poket berzip dan dua poket slip, membolehkan anda untuk menyimpan komputer riba bersaiz 13 inci, buku nota, telefon, dompet, serta pelbagai keperluan harian dengan kemas. Disempurnakan dengan perkakasan berkemasan perak, Wrapt01 membawa gaya bersahaja, sesuai wanita moden yang sentiasa bergerak dengan jadual yang padat. 

7. CHANEL 25 Large Handbag

Buat wanita yang menggemari tas tangan berkapasiti besar dengan sentuhan klasik, CHANEL 25 Large Handbag menghadirkan siluet yang lembut bersama kulit berkuilt ikonik. Tas tangan ini lengkap dengan kemasan grained calfskin berona hitam lantas menyerlahkan estetika klasik yang tidak lapuk dek zaman. Tas tangan ini mengekalkan kod rekaan signature CHANEL sambil disesuaikan dengan gaya hidup kotemporari. Ruang dalamnya yang luas membolehkan anda menyimpan pelbagai keperluan harian, daripada buku nota hinggalah alat solek. Disempurnakan dengan tali rantai kulit tenunan dan perincian logo Double C, CHANEL 25 Large Handbag membuktikan bahawa kemewahan dan fungsi mampu bergabung dalam satu aksesori yang versatil, sesuai digayakan dari urusan harian hingga ke acara istimewa.

Artikel berkaitan: Beg Tangan Coach Pilihan GLAM Buat Gaya Musim Panas Anda