fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
Kaia Gerber Ulas Pengalaman Bercinta Dengan Lelaki Berusia Ketika Remaja
Taylor Swift & Joe Alwyn Bawa Perhubungan Cinta Ke Tahap Seterusnya
15 Momen Terpenting Dalam Kehidupan Permaisuri Rania
Pelayaran Peribadi Mewah di Sungai Mekong
Laut China Selatan Saksi Ikatan Cinta Abadi
Home > Gaya Hidup > Menyusuri Sejarah dan Sulaman Palestin di Muzium Kesenian Islam Malaysia

Menyusuri Sejarah dan Sulaman Palestin di Muzium Kesenian Islam Malaysia

Intai keunikan pameran Tatreez di Muzium Kesenian Islam Malaysia yang mengangkat keberanian wanita Palestin menerusi jalinan benang warisan. 

Bermula 19 Jun 2026 sehingga 25 April 2027, Muzium Kesenian Islam Malaysia membawakan sebuah pameran yang bakal menyentuh nubari setiap pencinta seni dan budaya “Tatreez: Memartabatkan Palestin melalui Sulaman”. Bertempat di Galeri Khas 1 & 2, pameran ini mengangkat tatreez bukan sekadar kraf tangan, tetapi sebagai simbol keberanian dan pemeliharaan warisan pasca-peristiwa Nakba 1948. Kehalusan seni yang sarat sejarah ini diraikan dalam satu majlis pelancaran penuh berprestij, yang disempurnakan oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail. Kehadiran beliau menyuntik naskhah keanggunan tersendiri dalam memartabatkan naratif visual wanita Palestin zaman-berzaman.

Tatreez, seni sulaman Arab purba bukan sekadar helaian benang, ia adalah naratif visual yang ditenun indah oleh jemari wanita Palestin zaman-berzaman. Setiap kawasan di Palestin memiliki identiti fabriknya yang tersendiri, dizahirkan menerusi perbezaan motif, spektrum warna, dan gaya sulaman mengikut wilayah. Kepelbagaian corak ini menjadi bukti kebebasan ekspresi dan kehalusan seni kreatif yang mendalam dalam budaya mereka. Bagi wanita Palestin, sehelai thobe (gaun longgar tradisional) ialah sebuah kanvas penceritaan yang agung. Setiap motif, pilihan warna, dan jalinan jenis fabrik daripada helaian sutera, linen, kapas, sehinggalah tafeta dan baldu yang mewah membawa maksud yang sangat mendalam. Tanpa perlu mengungkapkan sebarang kata, busana ini secara magis mampu menterjemahkan status sosial, kepercayaan, malah lokaliti geografi si pemakai. 

Jalinan Kontemporari & Rentas Wilayah

Melangkah masuk ke Galeri Khas 1, pengunjung bakal disajikan dengan interpretasi motif tradisional yang diberi nafas serta corak kontemporari. Di sini, benang-benang masa lalu dijalin rapi dengan gaya terkini, membuktikan bahawa kesinambungan budaya mampu merentasi sempadan zaman dan geopolitik.

Manakala Galeri Khas 2 pula membawa kita mengembara ke sepuluh wilayah berbeza yang kaya dengan kepelbagaian ekspresi kreatif:

  • Galilee, Nablus, dan Ramallah
  • Bethlehem, Baitulmaqdis, dan Hebron
  • Jaffa, Ramlah-Lydda, Gaza, dan Naqab

Setiap wilayah ini menampilkan DNA estetika tersendiri yang unik, daripada variasi teknik silang pangkah sehinggalah teknik suji yang halus. Selain helaian thobe, pameran ini turut mempamerkan barisan perhiasan kepala yang cukup memukau seperti ‘araqiyeh, shatweh, dan wuqayeh. Barisan aksesori ini dipadankan bersama selendang, niqab, serta perhiasan rantai perak kuno yang sarat dengan nilai seni tinggi.

Ia bukan sekadar sebuah pameran busana, tetapi ia adalah sebuah apresiasi terhadap ketabahan wanita yang memelihara sejarah mereka melalui jarum dan benang. Buat pencinta seni reka dan pengkaji tekstil tegar, pameran Tatreez di MKIM ini adalah satu destinasi wajib singgah untuk menyaksikan sendiri bagaimana fesyen mampu menjadi saksi bisu sebuah kisah perjuangan yang tidak pernah padam. Keindahan bergambar busana ini turut diabadikan dalam naskhah katalog eksklusif yang boleh didapati di Kedai Muzium sebagai koleksi peribadi anda.

Artikel berkaitan: Sisi Mewah Longines La Dolce Vita