Hari ini, perkataan “glow-up” sering dikaitkan dengan perubahan fizikal, yakni kulit lebih cantik, badan lebih langsing atau kehidupan yang nampak lebih sempurna di media sosial. Tetapi buat Sofia Arissa dan Wirda Elliesa dari The Chic Code (TCC) Podcast, glow-up sebenar jauh lebih besar daripada itu.
Di sebalik penampilan yang sentiasa kemas, keyakinan diri dan personaliti yang menyerlah di depan kamera, kedua-duanya pernah melalui fasa paling rapuh dalam hidup. Pernah merasa tidak cukup baik, pernah dipersoalkan kemampuan diri sendiri dan pernah cuba mencari nilai diri di tempat yang salah.
Dan mungkin itu yang membuatkan kisah mereka terasa dekat. Glow-up bukan tentang menjadi orang lain, tetapi tentang akhirnya menerima diri sendiri.
Keyakinan bermula dengan penerimaan diri
Bagi Sofia Arissa, perubahan terbesar dalam hidupnya berlaku secara mental dan emosi. Sebelum terlibat dengan The Chic Code, Sofia mengakui dirinya berada dalam keadaan yang sangat gelap selepas melalui beberapa fasa sukar dalam hidup.
“Bila TCC mula jadi sebahagian dalam hidup saya, ia terasa seperti cahaya di hujung terowong,” katanya.
Perubahan itu tidak berlaku secara mendadak. Tetapi Sofia sedar dirinya sudah berubah apabila dia mula mengendalikan hidup dengan lebih tenang dan tidak terlalu mengikut emosi seperti dahulu.
Di sebalik keyakinannya hari ini, Sofia mengakui dia pernah terlalu keras terhadap diri sendiri. Membesar dengan masalah jerawat hormon yang serius membuatkan dia sentiasa rasa rendah diri setiap kali orang memandang wajahnya.
“Saya boleh tahu bila orang sebenarnya sedang tengok jerawat dekat muka saya,” katanya jujur.
Namun satu perkara yang paling menarik tentang Sofia adalah bagaimana dia akhirnya belajar menerima warna kulitnya sendiri. Membesar dalam persekitaran yang terlalu mengagungkan kulit cerah membuatkan dia pernah membenci kulit sawo matang miliknya.
“Tetapi lama-lama saya sedar, kulit saya unik. Brown is beautiful.”
Buat Sofia juga, menjadi ibu banyak mengubah dirinya. Menjadi seorang ibu memberi perspektif baru tentang keyakinan, kehidupan dan cara dia melihat dirinya sebagai seorang wanita.
Berbeza pula dengan Wirda Elliesa yang melihat glow-up sebagai sesuatu yang bermula daripada mindset.
“Semakin saya meningkat usia, saya semakin tak mencari validation daripada media sosial,” katanya.
Bagi Wirda, perubahan diri berlaku setiap hari. Dia percaya manusia sentiasa berubah dan berkembang mengikut pengalaman hidup.
Kritikan membentuk versi Wirda yang lebih kuat
Dan kisah hidup Wirda juga bukan tanpa luka.
Ketika di sekolah rendah, dia pernah mendapat markah paling rendah dalam kelas malah dalam kelas paling corot di sekolah. Pengalaman itu membuatkan dia rasa dirinya bodoh dan tidak cukup bagus berbanding orang lain.
Tetapi daripada rasa rendah diri itulah lahir satu keinginan besar untuk membuktikan dirinya mampu berjaya.
“Saya selalu cakap dekat diri sendiri, bila besar nanti saya akan jadi usahawan berjaya.”
Wirda juga berkongsi bagaimana kata-kata orang sekeliling pernah memberi kesan mendalam terhadap dirinya. Daripada pernah diejek terlalu kurus ketika remaja, hinggalah satu pengalaman yang dia masih ingat sampai hari ini di mana ketika dia berusia sekitar 16 atau 17 tahun dan sedang aktif dengan saluran YouTube sendiri.
“Ya, saya ada saluran YouTube masa tu. Umur saya 16, 17 tahun. Saya buat video tutorial make-up, rambut dan vlog,” katanya.
Waktu itu dia menganggapnya sekadar minat dan hobi sendiri. Namun suatu hari, ketika menghadiri sebuah job modelling, dia dipanggil oleh seorang jurusolek.
“Dia tanya saya, ‘awak ke yang selalu post video YouTube?’ Saya jawab ya, dengan gembira.”
Namun respon selepas itu sangat mengejutkan dia.
“Dia cakap… ‘Saya rasa awak kena berhenti.’ Dia cakap sambil senyum.”
“Waktu tu saya masih senyum, tapi bila balik rumah saya terus rasa sedih,” katanya.
Dia kemudian buka semula akaun YouTube-nya dan padam semua video yang pernah dia buat.
“Mean girl energy,” katanya.
Lebih menyedihkan, individu itu ketika itu sudah pun berusia lewat 30-an. “Saya takkan buat macam itu pada sesiapa pun,” tambahnya.
Namun mungkin antara perkara paling indah tentang kisah Wirda adalah bagaimana ibunya membentuk keyakinan dirinya sejak kecil. Ketika dia pulang menangis kerana diejek berkulit gelap, ibunya hanya memandangnya dan berkata
“Tan is beautiful, darling.”
Dan mungkin dari situlah lahirnya keyakinan yang dimiliki Wirda hari ini, keyakinan yang tidak bergantung pada standard kecantikan orang lain.
Glow-up bukan tentang menjadi sempurna, tetapi menjadi diri sendiri
Menariknya, kedua-dua wanita ini berkongsi pandangan yang hampir sama tentang media sosial. Mereka tidak melihat wanita lain sebagai pesaing, tetapi sebagai inspirasi untuk menjadi lebih baik.
Buat Sofia, dia percaya bila kita dikelilingi orang yang mempunyai mindset dan tenaga yang baik, perkara itu secara automatik akan mempengaruhi cara kita melihat diri sendiri.
Manakala bagi Wirda pula, glow-up sebenar berlaku apabila seseorang berani keluar daripada hubungan, pekerjaan atau lingkungan yang toksik.
“Bila kita berani keluar daripada situasi yang toksik, saat itulah kita mula glow-up.” katanya.
Dan mungkin itu inti sebenar perbualan ini, glow-up bukan tentang menjadi wanita paling cantik. Tetapi tentang menjadi wanita yang akhirnya tahu nilai dirinya sendiri.
Dalam dunia yang terlalu mudah meletakkan standard terhadap wanita, Sofia Arissa dan Wirda Elliesa mengingatkan bahawa keyakinan sebenar hadir apabila kita berhenti mengecilkan diri demi orang lain
Kerana kadang kadang, glow-up terbesar dalam hidup bukan apabila orang lain mula melihat perubahan pada diri kita. Tetapi apabila akhirnya kita sendiri percaya bahawa kita memang sudah cukup sejak awal lagi.