Amaris Kini Berada Di Suria KLCC
Tubuh Selembut Sutera
7 Trik Mudah Urus Rambut Kerinting Supaya Kekal Anggun
GBC Love Wellness: Transformasi Diri Secara Holistik & Eksklusif
5 Negara Asia Terbaik Untuk Rawatan ‘Nose Job’
Home > Cantik > Ini Kesilapan Ramai Ketika Menggunakan Pelembap Wajah

Ini Kesilapan Ramai Ketika Menggunakan Pelembap Wajah

Antara kesilapannya adalah memilih pelembap yang tidak sesuai dengan jenis kulit, mengaplikasikan pelembap pada wajah yang kotor, menggosok pelembap terlalu kasar, mengaplikasikan pelembap dengan tangan yang kotor, menggunakan kuantiti yang tidak tepat, mengabaikan bahagian leher dan menganggap kulit berminyak tidak memerlukan pelembap.

Pelembap wajah menjadi salah satu langkah penting dalam rutin penjagaan kulit kerana fungsinya membantu mengekalkan kelembapan, menguatkan lapisan perlindungan kulit dan menjadikan wajah tampak lebih sihat. Walaupun nampak mudah, penggunaan pelembap sebenarnya memerlukan cara yang betul agar manfaatnya dapat dirasai sepenuhnya. Namun, masih ramai yang melakukan beberapa kesilapan ketika mengaplikasikan pelembap tanpa menyedarinya. Daripada memilih tekstur yang tidak bersesuaian dengan jenis kulit, menggunakan kuantiti berlebihan, sehinggalah mengabaikan kawasan tertentu pada wajah, tabiat kecil ini boleh menjejaskan hasil rutin penjagaan wajah anda. GLAM kongsikan kesilapan biasa ketika menggunakan pelembap wajah yang perlu anda elakkan!

Ini Tabiat Salah Ketika Menggunakan Pelembap Wajah!

1. Memilih pelembap yang tidak sesuai dengan jenis kulit

Ini Kesilapan Ramai Ketika Menggunakan Pelembap Wajah

Memahami keperluan kulit adalah langkah pertama untuk memilih formula pelembap yang sesuai dan membantu mengekalkan keseimbangan kulit. Tidak semua pelembap memberikan hasil yang sama untuk setiap individu. Kesilapan memilih formula yang tidak bersesuaian dengan keadaan kulit boleh menyebabkan masalah seperti kulit semakin berminyak, kering atau mudah mengalami iritasi. Bagi kulit berminyak, anda boleh pilih tekstur ringan seperti gel atau berasaskan air yang tidak membebankan kulit. Kulit kering pula biasanya memerlukan formula lebih berkrim dengan bahan seperti hyaluronic acid, ceramide atau glycerin untuk membantu mengekalkan kelembapan. Jika anda meneruskan menggunakan pelembap wajah tanpa mengetahui jenis kulit yang betul, ia boleh menyebabkan produk yang digunakan tidak memberikan manfaat optimum.

2. Mengaplikasikan pelembap pada wajah yang kotor 

Menyapu pelembap tanpa membersihkan wajah terlebih dahulu merupakan antara kesilapan yang sering dilakukan dalam rutin penjagaan kulit. Apabila kulit masih dipenuhi sisa solekan, minyak berlebihan atau kotoran daripada persekitaran, pelembap tidak dapat meresap dengan baik malah boleh memerangkap segala kekotoran pada permukaan kulit. Keadaan ini berpotensi menyebabkan pori-pori tersumbat, kemunculan jerawat dan menjadikan kulit kelihatan kusam. Oleh itu, pastikan wajah anda dibersihkan terlebih dahulu menggunakan pencuci muka yang sesuai sebelum mengaplikasikan pelembap agar kandungan hidrasi dapat bekerja dengan lebih efektif serta membantu mengekalkan kulit yang sihat dan berseri.

3. Menggosok pelembap terlalu kasar 

Cara mengaplikasikan pelembap wajah juga penting. Jika anda menggosok pelembap wajah pada kulit dengan terlalu kuat, ia boleh menyebabkan geseran berlebihan yang berpotensi mengganggu lapisan pelindung kulit. Sebaliknya, anda boleh gunakan hujung jari untuk menyapu pelembap secara perlahan dengan gerakan membulat atau menekan lembut sehingga produk meresap sepenuhnya.

4. Mengaplikasikan pelembap dengan tangan yang kotor

Ini Kesilapan Ramai Ketika Menggunakan Pelembap Wajah

Sebelum menyentuh wajah, pastikan tangan anda berada dalam keadaan bersih bagi mengelakkan pemindahan bakteria dan kotoran ke permukaan kulit. Mengaplikasikan pelembap menggunakan tangan yang belum dicuci boleh menyebabkan kekotoran bercampur dengan produk skincare, sekali gus meningkatkan risiko pori-pori tersumbat dan masalah kulit seperti jerawat. Walaupun nampak seperti langkah kecil, kebersihan tangan memainkan peranan penting dalam memastikan rutin penjagaan kulit lebih berkesan. Justeru, biasakan diri anda untuk mencuci tangan terlebih dahulu sebelum menyapu pelembap agar produk yang digunakan kekal bersih dan dapat memberikan manfaat optimum kepada kulit.

5. Menggunakan kuantiti yang tidak tepat 

Lebih banyak produk tidak semestinya memberikan hasil yang lebih baik. Menggunakan pelembap secara berlebihan boleh membuatkan kulit anda terasa berat, melekit dan berpotensi menyumbatkan pori-pori, terutama bagi individu yang mempunyai kulit berminyak atau mudah berjerawat. Dalam masa yang sama, penggunaan terlalu sedikit pula mungkin tidak mencukupi untuk memberikan hidrasi yang diperlukan kulit. Oleh itu, gunakan kuantiti secukupnya, bergantung kepada tekstur dan formula pelembap tersebut. Sapukan pelembap dalam jumlah kecil pada bahagian utama wajah seperti dahi, pipi dan dagu, kemudian urut secara lembut sehingga produk meresap sepenuhnya.

6. Mengabaikan bahagian leher 

Ini Kesilapan Ramai Ketika Menggunakan Pelembap Wajah

Apabila melakukan rutin penjagaan wajah, ramai hanya memberi perhatian kepada bahagian wajah sahaja sehingga terlupa kawasan leher. Namun begitu, leher anda juga terdedah kepada faktor persekitaran seperti cahaya matahari dan pencemaran. Maka, sapukan pelembap sehingga ke bahagian leher dengan gerakan lembut ke arah atas bagi memastikan kawasan tersebut turut mendapat penjagaan yang sama seperti wajah.

7. Menganggap pelembap tidak penting untuk kulit berminyak 

Ini Kesilapan Ramai Ketika Menggunakan Pelembap Wajah

Ramai beranggapan bahawa kulit berminyak tidak memerlukan pelembap wajah. Namun, hakikatnya kulit berminyak tetap memerlukan pelembapan kerana kekurangan hidrasi boleh menyebabkan kulit menghasilkan lebih banyak minyak untuk mengimbangi keadaan tersebut. Hasilnya, anda perlu pilih pelembap ringan yang memberikan kelembapan tanpa meninggalkan rasa berminyak supaya kulit kekal selesa sepanjang hari.

Apakah kesilapan yang sering dilakukan ketika menggunakan pelembap wajah?

Jawapan: Antara kesilapannya adalah memilih pelembap yang tidak sesuai dengan jenis kulit, mengaplikasikan pelembap pada wajah yang kotor, menggosok pelembap terlalu kasar, mengaplikasikan pelembap dengan tangan yang kotor, menggunakan kuantiti yang tidak tepat, mengabaikan bahagian leher dan menganggap kulit berminyak tidak memerlukan pelembap.

Mengapa penting untuk mengaplikasikan pelembap wajah dengan betul?

Jawapan: Jika anda mengaplikasikan pelembap wajah dengan betul, anda boleh memastikan kulit anda menerima manfaat optimum daripada produk yang dipilih serta dapat mengelakkan masalah kulit seperti jerawat atau iritasi.

Apakah jenis pelembap yang sesuai untuk jenis kulit kering?

Jawapan: Kulit kering biasanya memerlukan formula lebih berkrim dengan bahan seperti hyaluronic acid, ceramide atau glycerin untuk membantu mengekalkan kelembapan. Antara produk yang boleh dicuba adalah La Mer The Moisturizing Soft Cream atau Dr.Jart+ Ceramidin™ Skin Barrier Moisturizing Cream.

Adakah kulit berminyak tetap perlu menggunakan pelembap wajah?

Jawapan: Ya, kulit jenis berminyak tetap memerlukan pelembap wajah kerana kekurangan hidrasi boleh menyebabkan kulit menghasilkan lebih banyak minyak untuk mengimbangi keadaan tersebut. Anda perlu pilih pelembap ringan yang memberikan kelembapan tanpa meninggalkan rasa berminyak supaya kulit kekal selesa sepanjang hari.

Apakah jenis pelembap yang sesuai untuk kulit berminyak?

Jawapan: Bagi kulit berminyak, anda boleh pilih tekstur ringan seperti gel atau berasaskan air yang tidak membebankan kulit. Antara produk yang boleh dicuba adalah Kiehl’s Ultra Facial Oil-Free Gel Cream atau Peter Thomas Roth Water Drench® Hyaluronic Jelly Moisturizer.

Artikel berkaitan: Kesan Magis Sheet Mask Sebelum Tidur Yang Wajib Anda Tahu