Related Stories
Terokai Aksesori Buatan Jenama Asia Tenggara
Asia Tenggara yang dikenali kaya dengan budaya dan warisan yang unik turut menyerlah sebagai pusat kreatif yang melahirkan pelbagai jenama aksesori beridentiti tersendiri. Dengan gabungan kemahiran pertukangan tradisional, inovasi moden serta sentuhan reka bentuk bersama pesona sendiri, jenama-jenama dari rantau ini berjaya menghasilkan aksesori yang bergaya dan sarat dengan nilai istimewa. Daripada tas tangan yang direka dengan penuh ketelitian sehinggalah kepada kasut yang menampilkan estetika serantau, setiap rekaan menzahirkan keunikan Asia Tenggara di pentas global. GLAM kongsikan aksesori buatan jenama Asia Tenggara yang boleh anda terokai dan miliki.
Ini Himpunan Aksesori Asia Tenggara Yang Perlu Ada Dalam Koleksi Anda!
1. Aupen

Diasaskan oleh Skye Tan dari negara Singapura, Aupen adalah jenama yang menyatukan fungsi serta estetika dalam setiap rekaan aksesori mereka. Mereka komited dalam membentuk definisi baharu kemewahan yang lebih berteraskan kesedaran dan ketelitian pada setiap peringkat penghasilan. Setiap tas tangan daripada jenama Aupen direka dengan mengambil kira aspek ketahanan dan versatiliti sekaligus menjadikannya item aksesori yang boleh diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Pernah digayakan oleh bintang Hollywood terkemuka seperti Taylor Swift, Hailey Bieber dan Kylie Jenner, rekaan asimetri yang menjadi identiti Aupen itu berjaya menempatkan jenama itu dalam radar pencinta fesyen global menerusi estetika moden yang ringkas namun cukup unik. Antara koleksi yang meraih perhatian adalah Nirvana Noir yang didandankan oleh Taylor Swift.
2. Self-Portrait

Diasaskan pada tahun 2013 oleh pereka kelahiran Malaysia, Han Chong, Self-Portrait telah menjadi antara jenama fesyen kontemporari yang dikenali di pentas global. Berpusat di London, jenama ini terkenal dengan rekaan feminin yang menampilkan perincian unik, siluet yang terstruktur serta sentuhan moden yang mudah digayakan untuk pelbagai acara. Self-Potrait turut menghasilkan tas tangan, helaian pakaian dan barang kemas yang sarat dengan perincian eksklusif. Rekaan jenama dari Asia Tenggara ini turut menjadi pilihan beberapa nama besar antarabangsa seperti Emily Blunt dan Jisoo daripada Blackpink.
3. Pipatchara

Pipatchara merupakan jenama yang memadukan kreativiti, ketelitian dan kesedaran terhadap kelestarian dalam setiap rekaannya. Diasaskan oleh adik-beradik Pipatchara dan Jittrin Karlalerk dari negara Thailand, jenama ini dikenali menerusi aksesori yang dihasilkan menggunakan teknik anyaman tangan yang rumit, sekali gus menyerlahkan kehalusan seni kraf tempatan. Dengan pendekatan yang mengutamakan penggunaan bahan kitar semula serta penghasilan yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar, Pipatchara berjaya membuktikan bahawa fesyen dan kelestarian boleh bergerak seiring. Selain menghasilkan aksesori, Pipatchara turut memperkenalkan koleksi pakaian yang diperbuat daripada bahan kitar semula. Keunikan rekaannya turut menarik perhatian selebriti antarabangsa seperti Barbara Palvin, yang pernah menggayakan jenama ini.
4. Khoon Hooi

Diasaskan oleh pereka Malaysia, Lee Khoon Hooi pada tahun 1999, Khoon Hooi merupakan jenama fesyen yang terkenal dengan rekaan pakaian dan tas tangan khas yang menggabungkan kemewahan moden dan ketelitian pertukangan. Identiti jenama ini terserlah menerusi siluet yang berani, palet warna yang ekspresif serta penggunaan corak yang artistik, sekali gus menterjemahkan estetika yang elegan.Sejak tahun 2010, Khoon Hooi terus mengukuhkan namanya di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam rangkaian perdagangan sempena Minggu Fesyen Paris. Kejayaan jenama ini turut menonjol apabila rekaannya menghiasi pelbagai acara berprestij termasuk Golden Globe Awards dan Vanity Fair Oscar Party.
5. Munimuni

Jenama Asia Tenggara ini lahir daripada cita-cita tulus untuk menggalakkan cara penggunaan yang lebih sedar dalam era fesyen masa kini. Munimuni yang membawa maksud merenung atau berfikir secara mendalam dalam bahasa Filipina, menjadi simbol kepada komitmen jenama ini dalam mengamalkan pendekatan yang beretika serta menyokong komuniti artisan tempatan di Filipina. Berteraskan visi untuk mewujudkan ruang yang memartabatkan para penggiat seni, Munimuni menekankan keseimbangan antara rekaan yang baik, kualiti tinggi dan penghasilan produk yang lebih bertanggungjawab. Koleksi jenama ini merangkumi kasut dan helaian pakaian yang unik, diperkaya dengan identiti tersendiri melalui elemen anyaman dan perincian berasaskan kayu.
6. Klove

Klove diasaskan pada tahun 2012 oleh dua sahabat, Colleen dan Natalia, hasil daripada inspirasi perjalanan mereka ke serata dunia serta kecintaan terhadap seni pertukangan kulit. Jenama ini mengharmonikan elemen keanggunan harian bersama rekaan yang menitikberatkan fungsi, keselesaan dan gaya. Berpusat di Indonesia, setiap item daripada jenama Klove dihasilkan oleh artisan mahir yang mewarisi kepakaran ketukangan tangan tradisional. Komitmen terhadap kualiti dan perincian ini jelas terlihat dalam setiap rekaan, daripada tali beg yang diinovasikan semula sehinggalah kepada koleksi beg tangan yang sofistikated. Rekaan tas tangan mereka menghadirkan estetika minimal namun elegan yang sesuai digayakan untuk acara istimewa mahupun kegunaan harian.
Artikel berkaitan: Pencinta Gaya Feminin, Ini Helaian Klasik Yang Perlu Ada
Advertisement - Continue Reading Below
ADVERTISEMENT
SCROLL TO CONTINUE WITH CONTENT
Advertisement - Continue Reading Below
ADVERTISEMENT
SCROLL TO CONTINUE WITH CONTENT
