Revolusi Di Pergelangan Tangan: TAG Heuer Connected Calibre E5 Satukan Gaya dan Teknologi
Dalam dunia hari ini di mana masa dan gaya bergerak seiring, TAG Heuer sekali lagi mendahului inovasi dengan pelancaran TAG Heuer Connected Calibre E5, jam tangan pintar mewah yang mendefinisikan semula standard kecanggihan Swiss. Ia bukan sekadar aksesori fesyen, tetapi simbol keanggunan moden yang menggabungkan ketukangan horologi tradisional dan teknologi digital paling canggih.
Dihasilkan dalam dua saiz iaitu 45mm dan 40mm, koleksi ini menampilkan pilihan bahan premium seperti keluli tahan karat dan titanium hitam DLC untuk rekaan maskulin, serta varian rose gold PVD bagi penampilan yang lebih halus dan sofistikated. Paparan AMOLED resolusi tinggi bersama kristal nilam berbentuk kubah menjadikan setiap sudut jam ini memancarkan kemewahan dan ketepatan yang menjadi DNA TAG Heuer sejak 1860.
Ketepatan Swiss, teknologi pintar

Dikuasakan oleh sistem operasi eksklusif TAG Heuer OS, jam tangan TAG Heuer Connected Calibre E5 ini menawarkan pengalaman digital yang pantas, intuitif dan bergaya. Antara fungsi utamanya termasuk pemantauan degupan jantung, kadar oksigen, corak tidur dan pembakaran kalori semuanya direka untuk menyokong gaya hidup aktif dan seimbang.
Ketahanan baterinya mencapai sehingga tiga hari dalam mod kuasa rendah, dengan pengecasan pantas selama 30 minit untuk penggunaan seharian. Dilengkapi dengan teknologi dual-band GNSS (L1 + L5), ia memastikan ketepatan GPS yang luar biasa, sama ada untuk pelari, pendaki atau mereka yang ingin menjejak aktiviti harian dengan data tepat.
Selain itu, pemakai boleh memilih antara muka muka jam yang diinspirasikan daripada koleksi ikonik seperti TAG Heuer Carrera, Aquaracer dan Formula 1, menjadikan setiap paparan unik mengikut cita rasa individu.
Edisi khas TAG Heuer Connected Calibre E5 40mm x New Balance

Menambah tarikan, TAG Heuer mempersembahkan TAG Heuer Connected Calibre E5 40mm x New Balance Edition, hasil kolaborasi bersama jenama sukan terkenal dari Boston. Direka untuk mereka yang mengutamakan prestasi dan gaya, edisi ini menampilkan tali getah putih serta muka jam eksklusif berinspirasikan dunia atletik New Balance.

Kombinasi gaya sporty dan ketepatan Swiss menjadikan edisi khas ini lebih daripada sekadar jam tangan, ia adalah pernyataan identiti. Sebuah ciptaan yang menghubungkan dunia kecergasan, inovasi, dan kemewahan dalam satu rekaan serba lengkap.

Dengan pelancaran TAG Heuer Connected Calibre E5, jenama ini sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap inovasi dan keanggunan. Ia mengekalkan warisan ketukangan Swiss sambil membuka lembaran baharu dalam dunia digital. Bagi mereka yang menghargai masa, gaya, dan teknologi, inilah jam tangan yang menyatukan segalanya di pergelangan tangan.
Artikel berkaitan: Jam Tangan OMEGA Baharu Ini Akan Buat Anda Jatuh Cinta Pada Setiap Detik
Farhana Fuad
Farhana Fuad merupakan Pengurus Kanan Kandungan di GLAM Malaysia. Menggabungkan kepakaran dalam penulisan editorial dan strategi SEO, Farhana menerajui kandungan semasa dan gaya hidup.

