Tiga Penggiat Seni Terkenal Dikurnia Gelaran Datuk - Glam Malaysia
Tiga Penggiat Seni Terkenal Dikurnia Gelaran Datuk

Tiga Penggiat Seni Terkenal Dikurnia Gelaran Datuk

Tiga nama besar dalam industri seni tanah air iaitu Nora Ariffin, Yusri Abdul Halim dan Habsah Hassan dikurnia pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengurniaan yang membawa gelaran Datuk itu diberikan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan semalam sebagai menghargai sumbangan besar penggiat seni dan budaya terhadap bidang mereka, jelas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Nora Ariffin yang merupakan penyanyi memberi reaksi bercampur baur kerana tidak dapat berkongsi kegembiraan bersama suami, penggubah lagu Johan Nawawi yang meninggal dunia empat tahun lalu.

Dia turut menyifatkan kurniaan ini sebagai pengiktirafan negara terhadap sumbangan Allahyarham suaminya sepanjang tiga dekad terlibat dalam industri seni.

“Pengiktirafan ini adalah pencapaian kami kerana arwah yang membawa saya masuk dan memperkenalkan nama saya dalam bidang seni dan budaya ini. Kalaulah arwah masih ada, tentu kami dapat sama-sama meraikan kejayaan ini,” katanya yang mengakui, wajah suami sentiasa terbayang di mata setiap kali dikurniakan rezeki.

See also
Diari GLAM: Itinerari Lengkap 3 Hari Di Istanbul

Namun begitu, dia bersyukur kerana dapat meraikan bersama tiga anaknya, Mohd Syakir Iman, Putri Nur Dahlia dan Putri Nur Fateha.

“Anak-anak yang sangat teruja dan gembira. Mereka menangis bila saya kongsikan berita gembira ini. Kami kongsi kegembiraan ini bersama.”

Penyanyi Di Persimpangan Dilema ini mengakui gelaran Datuk yang diberi datang bersama tanggungjawab yang cukup besar.

“Pada saya, anugerah ini amanah dan tanggungjawab buat saya. Ia memberikan saya semangat untuk terus aktif dan menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” katanya.

Selain Nora, dua penggiat seni lain yang turut dikurniakan gelaran Datuk adalah pengarah, komposer, penyanyi dan pelakon, Yusry Abdul Halim serta penerbit dan penulis lirik tersohor, Habsah Hassan yang telah menghasilkan ribuan naskhah.

Nora Ariffin, Habsah Hassan dan Yusry Abdul Halim kini bergelar Datuk,  dikurnia pingat Panglima Mahkota Wilayah - Hiburan | mStar
Habsah Hassan, Yusri Abdul Halim dan Nora Ariffin. Foto: Mstar

Kata Habsah atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Chah, pingat kebesaran PWM yang dikurniakan ini memberi makna yang cukup besar buatnya setelah lebih empat dekad aktif sebagai penggiat seni.

“Ini adalah kurniaan yang amat istimewa. Saya menjunjung kasih atas kurniaan daripada Yang di-Pertuan Agong. Tentu sekali anugerah kebesaran ini akan memberi motivasi kepada saya untuk terus berkarya,” jelasnya.

See also
GLAM Sejenak Bersama Sharifah Rose, Kongsi Pembelian Terkininya Bulan Ini

Nora, Yusri dan Habsah merupakan antara 335 penerima Darjah Kebesaran, Pingat dan Bintang Wilayah Persekutuan tahun ini. Walau bagaimanapun, tarikh penyempurnaan istiadat ini masih belum ditentukan kerana mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19.

Foto: Instagram

Baca: Sejarah Tercipta! Nama Siti Nurhaliza Bakal Diabadikan Di Walk of Fame Adelaide