Bunga Citra Lestari Buka Lembaran Hidup Baru - Glam Malaysia
Bunga Citra Lestari Buka Lembaran Hidup Baru

Bunga Citra Lestari Buka Lembaran Hidup Baru

Lebih tiga tahun bersendiri, Bunga Citra Lestari dipercayai bakal menamatkan zaman balunya pada minggu hadapan.

Bunga dan ahli perniagaan, Tiko Pradipta Aryawardhana dilaporkan bakal disatukan sebagai suami isteri pada 2 Disember 2023 di sebuah hotel di Bali, Indonesia.

Berita gembira itu disahkan seorang kakitangan Kantor Urusan Agama Pasar Minggu Jakarta Selatan, Emma Fatmayani menerusi kenyataan di YouTube Indosiar.

“Bunga sudah pun menyerahkan dokumen yang diperlukan termasuk sijil kematian suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair. Pihak Tiko juga sudah menghantar beberapa dokumen dan surat pengesahan cerai. Jadi statusnya duda bercerai hidup,” katanya.

Spekulasi percintaan antara Bunga dan Tiko tercetus selepas mereka dirakam berpegangan tangan di majlis ulang tahun kelahiran ke-40 penyanyi itu pada Mac lalu.

Foto: Tribunpalu

Siapakah Bakal Suami Bunga Citra Lestari?

Tiko dikhabarkan seorang duda anak tiga yang bekerja dalam bidang pengurusan kewangan di sebuah bank terkemuka di Indonesia. Dia bercerai dengan isteri, Arina Winarto pada akhir tahun 2021.

See also
Dior And Roses

Walaupun kelibatnya bersama Bunga dirakam buat kali pertama pada Mac lalu, dia dilaporkan sering menemani aktres itu ke pelbagai acara sejak 2022. Ini termasuk majlis keluarga antaranya ketika sambutan ulang tahun kelahiran ibu bapa bintang My Stupid Boss itu.

Dia juga dipercayai sebagai sosok jejaka dalam foto bayang yang dikongsi Bunga sewaktu dia dan anaknya bercuti ke Universal Studio Hollywood akhir tahun lalu.

Bunga Citra Lestari

Foto: Instagram

Kehidupan peribadi penyanyi itu mencuri tumpuan ramai peminat terutama selepas suaminya, Ashraf Sinclair meninggal dunia. Aktor Malaysia-Indonesia itu menghembuskan nafas terakhir pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung ketika berusia 41 tahun.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 8 November 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Noah Aidan Sinclair, 13 tahun.

 

Baca: Mengenang Cinta Agung Ashraf Sinclair & Bunga Citra Lestari