8 Inspirasi Gaya Segar & Berani Suki Waterhouse - Glam Malaysia
8 Inspirasi Gaya Segar & Berani Suki Waterhouse

8 Inspirasi Gaya Segar & Berani Suki Waterhouse

Bintang Inggeris, Suki Waterhouse mengesahkan kehamilannya ketika membuat persembahan di Mexico baru-baru ini.

Menerusi video yang dikongsi di TikTok, Suki memberitahu penonton bahawa dia memilih untuk menyarung persalinan berkilauan bagi mengalihkan perhatian daripada perutnya. “Saya tidak pasti sama ada strategi saya ini berkesan,” selorohnya.

Suki yang merupakan model, penyanyi dan pelakon menggunakan fesyen sebagai cara untuk mengesahkan kehamilan. Bagaimanapun ini bukanlah kali pertama dia membuat bold statement dengan penampilannya.

Glam kongsikan lapan stail berani Suki Waterhouse dahulu hingga kini

 

Pada 2018, Suki Waterhouse dirakam menyarung sut celana rona biru Diraja bersama perincian emas di New York City.

Menurut foto yang dikongsi Vogue, dia memakai persalinan memukau mata itu ketika menghadiri tayangan perdana filem lakonannya, Assassination Nation. Penampilannya disempurnakan dengan kasut tumit platform, rambut kepuk dan pembayang mata rona biru sepadan.

 

Beberapa bulan kemudian, dia tiba di Fashion Awards menggayakan gaun mini klasik.

Suki tiba di karpet merah Fashion Awards 2018 dalam gaun mini rona kuning air, stail sama yang sering digayakan ikon fesyen Twiggy pada 60-an. Sama ada pilihan fesyennya itu disengajakan atau tidak, dia melengkapkan penampilannya dengan klac merah jambu pastel, tumit logam gangsa dan gaya rambut retro.

See also
Mengapa Persalinan Biru Sering Menjadi Pilihan Kate Middleton & Keluarga?

 

Tiga tahun kemudian, Suki Waterhouse sekali lagi tampil memukau di Fashion Awards dalam gaun couture berkilauan.

Gaun perak yang menggabungkan fesyen atasan dan pakaian disko itu dicipta oleh pereka Perancis, Alexandre Vauthier untuk koleksi Musim Luruh/Sejuk 2018. Ia menampilkan sulaman bunga halus yang dipadankan bersama tali pinggang dan kasut but sedondon. Penampilannya diserikan dengan aksesori ringkas dan solekan nipis.

 

Hampir setahun selepas pelancaran album pertamanya, Suki Waterhouse membuat persembahan di Nashville dalam jaket bulu merah jambu.

Suki mengeluarkan album pertama berjudul I Can’t Let Go pada 2022 sebelum memulakan konsert jelajahnya ke seluruh Amerika Syarikat. Semasa membuat persembahan di Nashville, Tennessee pada bulan Februari 2023, dia menaiki pentas dengan menyarung rompi berbulu merah jambu yang hampir mencecah lantai. Dia memadankan ves tersebut dengan but dan celana hitam.

 

Untuk tayangan perdana Daisy Jones & The Six di Los Angeles, Suki Waterhouse membuat bold statement dalam gaun tipis dengan potongan leher seksi.

Suki yang memainkan watak Karen Sirko dalam siri adaptasi novel itu tampil dalam gaya eklektik 70-an. Dia menyarung gaun jarang rona hijau zamrud dengan potongan leher U hingga ke bahagian perut. Penampilannya disempurnakan dengan anting-anting dempak emas, klac hijau dan stiletto hitam.

See also
Kendall Jenner Wajah Baru La Perla

 

Suki Waterhouse mengayakan satu lagi helaian jarang kala menghadiri Met Gala 2023.

Sempena tema Met Gala yang memberi penghormatan kepada mendiang Karl Lagerfeld, dia memilih gaun bermotif bunga daripada salah satu koleksi terakhir pereka itu yang direka untuk Fendi. Dia memberitahu media bahawa dia membelek beberapa gaun tetapi serta-merta tahu mana satu yang akan dipilih. “Saya amat terpikat dengan feminisme gaun itu. Saya rasa sulaman tangannya yang menarik perhatian saya,” katanya.

 

Suki Waterhouse membuat persembahan di Lollapalooza, Chicago dalam sut badan renda bersama bralette rona nude.

Untuk penampilannya di festival muzik, dia memakai sut badan rekaan Alessandra Rich, pereka kegemaran kerabat Diraja Britain. Ia menampilkan garis leher seksi yang dihiasi reben besar di bawah dada. But paras lutut dan bralette melengkapkan gayanya.

 

Sebulan sebelum mengesahkan kehamilannya, Suki Waterhouse muncul di karpet merah menyarung gaun tipis.

Suki tampil manis di sisi Robert Pattinson dalam gaun jarang pada gala GO Campaign di Los Angeles bulan lalu. Sama seperti persalinan serba hitam kekasihnya, dia memilih estetika warna lebih gelap iaitu bralette dan stoking hitam untuk dipadankan bersama gaun merah pulasannya.

See also
Sepuluh Bintang "BERSINAR" di Karpet Merah Cannes

 

Foto: Getty Images/GC Images/FilmMagic

Baca: Inspirasi Fesyen Jalanan Taylor Swift Mengikut Era