Profil: Kanvas seni Nini Marini
Nini Marini

Profil: Kanvas seni Nini Marini

Menginjak masuk studio Nini Marini, persekitarannya begitu indah dengan lukisan-lukisan berserta motif fabrik dan busana tergantung melambangkan dia seorang yang halus seninya.

pengarah kreatif AIZAT AIDID pengarah seni HILMAN HISHAM gambar BIBO ASWAN solekan & dandanan SAHIR SABRI barang kemas DIAMOND & PLATINUM teks MARINI MAT ZAIN

Selesa membina kerjaya di dunia penyiaran, bermula sebagai Pembantu Penerbit Sukan sehinggalah bergelar Ketua Pembangunan Karya di Media Prima. Pada ketika itu seni lukisan hanyalah sampingan selepas habis kerja. Namun hasil seninya tetap mendapat perhatian. Pernah membuat beberapa pameran dan pertunjukan seperti ‘Reflections of a Peacock Butterfly’ sepanjang 2012 sehingga 2016. Nini Marini turut dijemput membuat pameran di SURTEX, New York.

Sebelum kembali ke dunia media semula dia pernah aktif di dalam dunia produksi. Selama lima tahu dia di Fe2 Productions menjadi penerbit rancangan televisyen, iklan dan filem pendek. Ketika kembali semula ke Media Prima, Nini Marini telah mencipta konsep baharu Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Skrin. Dia memegang jawatan Pengurus Besar Animasi Media Prima sebelum membuat keputusan berhenti pada 2019 dan bertindak memulakan kerjaya seninya.

“Saya sudah memasuki usia empat dekad. Andai tidak dimulakan sekarang, kerjaya seni saya tidak akan berkembang. Kalau tak berhenti, saya mungkin tidak lagi ada tenaga atau semangat untuk mulakan kerjaya seni yang disemat sekian lama. Sejak kecil lagi saya didedahkan untuk menghargai seni. Ibu saya seorang pensyarah seni di Universiti Teknologi Mara (UiTM),” ujarnya tegas.

Nini Marini lulusan Komunikasi Visual, dididik membesar sebagai artis. Rasa ingin tahu membuak-buak. Agaknya kalau dia lebih fokus di dalam bidang seni ini, sejauh mana dia boleh pergi? Soalan tersebut sering berlegar di minda. Akhirnya dia bersedia dan memberi noktah buat dunia penyiaran sebagai ahli pengurusan korporat. Sementelah, menjadi orang korporat bertentangan dengan jiwa seni yang terpendam di jiwa. Cukuplah!

See also
Kiraan Benang Penentu Kualiti Cadar, Mitos atau Benar?

Nini Marini Tinggalkan Dunia 9 To 5

Nini Marini

Setelah itu dia tidak menoleh ke belakang lagi. Walaupun menempuh pandemik, dan dunia seakan terhenti dua tahun. Nini Marini pula bertemu jodoh dan menempuh alam rumah tangga. Berhenti menjadi orang media, kehidupannya berubah sama sekali. Rutin sehari-hari Nini Marini tidak lagi ‘9 to 5’. Sememangnya dia merancang jadual lebih tenang. Sebagai artis, dia perlu waktu untuk diri sendiri. Banyak bertenang tanpa perlu berfikir tentang hal-hal lain. Sekarang dia hanya bekerja empat hari seminggu. Waktu selebihnya untuk dirinya mengembangkan idea seni.

“Kehidupan sebagai artis ada turun naiknya. Ketika pandemik, ramai yang berpaling kepada seni untuk bertenang. Ibu saya mahir di dalam tenunan. Saya aktif menunjuk proses pembelajaran tenunan di media sosial dan menarik perhatian ramai dan minta saya mengajar. Ketika itulah saya lebih berminat dalam pembelajaran kreatif. Berkongsi ilmu dengan orang ramai.” Kalau dahulu proses pembelajaran adalah secara atas talian, kini pula secara fizikal. Nini Marini lebih senang mengajar pelajar untuk melahirkan ilham sendiri, bukan mengajar ‘final product’ melukis ‘sunflowers’ dengan rujukan lukisan Vincent van Gogh. Belajar biar dari mula, tidak semestinya perlukan kesempurnaan. Pengolahan idea asal penting. Elakkan meniru, pesan Nini Marini berkali-kali.

Berkongsi Seni Dengan Semua

Pengalaman melatih pekerja untuk lahirkan idea tersendiri dan membuat pembentangan di Media Prima, sangat bermanfaat. Sebagai pemimpin dia turut menjadi penyelesai masalah. Bagaimana perlu berfikir di luar kotak. Kebolehan itu secara tidak langsung melancarkan lagi perancangan kerjaya seninya hari ini. Menurut Nini Marini, latihan asas sebegitu amat penting. Lalu dia mula membuat perancangan di tahun hadapan, menjadi tenaga pengajar. Jadi dia sudah menyediakan ‘pilot’ bersama Institut Kraf Negara.

See also
Tonton 5 Filem Romantik Ini Bersama Pasangan Anda

Sementelah dia perlu merancang setahun kerjaya seninya. Sebanyak mana dia perlu berkolaborasi, menganjurkan bengkel atau menerima tempahan daripada klien. Ada kerjasama hanya untuk cantikkan portfolio. Ada kerja-kerja yang dilakukan menjadi punca pendapatan. Ramai orang berpendapat kerjaya seni melukis tidak ke mana. Mahupun ada yang berpendapat dia tidak fokus. Nini Marini mahu membuktikan, anggapan itu adalah salah sama sekali. “Sebab itu saya melabelkan diri Multi-Artist. Dunia hari ini semuanya tentang penjenamaan. Saya percaya seni ada masa depan. Anda boleh mencipta kerjaya paling kreatif. Semua tidak mengenal sisi saya sebagai wanita bisnes. Apa gunanya anda mahir dalam satu perkara sahaja tetapi tak ke mana. Saya sekadar meneroka semua bahagian tetapi masih dalam kategori seni kreatif,” tegasnya penuh wawasan.

Justeru Nini Marini meluaskan bakat kreatif dengan membuat cetakan fabrik, blok batik, tenunan, songkek dan banyak lagi. Inspirasi karya seni Nini Marini adalah kebanyakannya tentang alam. Dia suka menggunakan Bunga Pecah Lima untuk motif pada fabriknya.

Percaturan Nini Marini tepat. Ternyata jadual Nini Marini kian padat. Selain kerjaya seninya yang mula stabil, dia turut dimandatkan menyertai Persatuan Pencinta Tekstil Tradisi Malaysia (CITRA Malaysia) yang diasaskan oleh ibunya, Fatimah Ismail. Banyak acara CITRA mula diatur termasuk ‘workshop’ memperkenalkan tekstil tradisi kepada masyarakat. Dia berhasrat kembangkan CITRA dengan teknologi tinggi namun masih kekalkan ciri-ciri tradisional. Hajat paling besar adalah berkolaborasi dengan ibunya mengajar asas rekaan dan teori warna. Sejak terlibat dengan rekaan fabrik, dia banyak menimba pengalaman dan memperbaiki mencetak rekaan floral pada helaian kain.

Nini Marini

“Jikalau ada yang bertanya, adakah saya merindukan kerjaya lama saya sebagai ahli media. Jawapan saya, sudah tentu tidak. Saya tak mungkin menoleh ke belakang. Saya masih boleh jadi penerbit terutama untuk pameran projek sendiri. Contohnya Malaysiana dan beberapa lagi pameran sendiri termasuk buat CITRA. Apabila pilih jalan itu, anda perlu terus maju ke depan.”

See also
Padu Padan Samsung Galaxy Z Flip4 Dengan OOTD Pilihan Minggu Ini

Nini Marini semakin teruja dengan kerjaya seninya apabila terlibat dengan kolaborasi bersama Pak Ghani untuk mencipta blok batik. Dia yang tentukan sarang dibuat ikut cara orang kita. Tidak mahu generasi akan datang dengan cetakan dari negara jiran. Lalu terhasillah 21 bunga dan tukang blok tempatan membuat sarangnya.

Terkadang dia risau apabila pembikin blok kini kian pupus. Semakin sukar hendak ditemui. Agar tidak hilang, pihak bertanggungjawab perlu mengajar pelajar untuk mencintai seni seumpamanya agar melahirkan lebih ramai pelapis. Kebanyakan generasi baru hari pula lebih teruja untuk memilih jalan senang dengan trend viral dan menjadi Youtuber atau TikToker.

Hendak diikutkan, mungkin generasi hari ini lebih memandang upah yang diterima. Upah membuat blok batik agak murah. Hendak tinggikan harga pula akan memberi efek kepada harga jualan batik. Itulah dilema yang dilalui oleh pembikin batik. Bukan semua orang mampu untuk berkorban demi seni dan tradisi. Mereka perlu memikirkan masa hadapan dan tanggungan hendak dibayar juga. “Jelas sekali, duit adalah cabaran terbesar dihadapi oleh insan seni dan artis kreatif seperti kami. Terutama bagaimana mahu melangsungkan kehidupan. Siapa tak mahu bercuti, bersukan dan melakukan banyak lagi rutin sendiri. Itu juga mahu saya mendidik artis bagaimana mahu mencari klien. Sama seperti saya mendidik kakitangan di Media Prima. Ilmu perlu dikongsi,” ujarnya yang pernah berkolaborasi dengan Royal Pahang Museum, Piaget, TOMS dan Nike. Semestinya dia senang memulakan hari di studio. Ruang kerjanya di tingkat bawah. Terdapat dua ruang untuk bermesyuarat dan bilik kerja yang penuh dengan alatan seni. Nini Marini memulakan rutinnya di sini. Untuk memulakan hasil seni, dia akan memikirkan subjeknya terlebih dahulu di depan kanvas.

Nini Marini