“Dreams Do Come True” - Ernie Zakri Hiasi Billboard Times Square New York - Glam Malaysia
“Dreams Do Come True” - Ernie Zakri Hiasi Billboard Times Square New York

“Dreams Do Come True” – Ernie Zakri Hiasi Billboard Times Square New York

Ernie Zakri mengikut jejak langkah beberapa penyanyi tempatan dengan muncul di papan digital gergasi di Times Square New York.

Menerusi satu perkongsian di Instagram, Ernie Zakri meluahkan rasa teruja dan tidak percaya kerana menjadi artis pilihan Spotify bulan ini. “Dreams do come true. Your girl is the EQUAL ambassador of the month! Mama, kita ada kat Billboard NYC!”

Terkenal dengan vokal mantap, pelantun Ku Bersuara ini gembira melihat segala penat lelahnya membuahkan hasil. Dia menganggap penghormatan ini sebagai satu kejayaan terbesar yang diraihnya sebagai penyanyi. “Semestinya, saya sangat gembira dengan berita ini. Saya tak pernah terbayang satu hari nanti wajah akan terpampang di papan iklan New York Times Square,” katanya, memetik laporan Utusan.

Pencapaian ini turut membakar semangatnya untuk terus menghasilkan lebih banyak karya tahun ini. “Saya bercadang untuk mengeluarkan lebih banyak lagu dan mungkin sebuah album pada hujung tahun. Banyak yang sudah saya rancang jadi tolong doakan semuanya dipermudahkan,” sambungnya.

Ernie Zakri Mahu Terus Memperkasa Wanita

Ibu kepada Nur Khawla Soleha itu dipilih oleh laman penstriman muzik digital, Spotify bagi mewakili Malaysia dan Singapura untuk kempen Equal. Kempen global ini bertujuan memupuk kesaksamaan dan mengetengahkan artis wanita dari seluruh pelosok dunia.

“Saya sentiasa ingin menjadi versi terbaik diri saya. Kebanyakan lagu saya membawa pesan pemerkasaan wanita. Dan inilah yang ingin saya laungkan. Mimpi boleh menjadi kenyataan jika kita bekerja dengan bijak. Banyak yang telah saya pelajari. Dulu saya fikir bekerja keras adalah kunci segalanya. Tapi kini setelah bergelar ibu dan isteri saya mengerti bahawa saya perlu bekerja dengan bijak jika ingin mengecapi keseimbangan.”

ernie zakri

Foto: Instagram

Penyanyi berusia 30 tahun ini mengikuti jejak langkah beberapa artis tempatan yang diberi penghargaan sedemikian. Bermula dengan Yuna, ia diikuti dengan Layla Sania, Dolla, Iman Troye, Vanessa Reynauld, Aina Abdul, Datuk Siti Nurhaliza, Aisha Retno dan Kaka Azraff. Ini turut menjadikannya artis wanita berhijab keenam dari Malaysia yang ditampilkan pada papan iklan tersebut.

 

Foto: Instagram

Baca: Dolla Hiasi Billboard Ikonik di Times Square New York