Gelaran Putera Philip Diwariskan Kepada Putera Edward - Glam Malaysia
Gelaran Putera Philip Diwariskan Kepada Putera Edward

Gelaran Putera Philip Diwariskan Kepada Putera Edward

Adik bongsu Raja Charles III, Putera Edward dinamakan sebagai Duke of Edinburgh sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-59.

Penganugerahan itu secara lansung memberi gelaran baharu kepada anak sulung Putera Edward, James Alexander Philip Theo Mountbatten-Windsor. Bekas Viscount Severn berusia 16 tahun itu kini memegang gelaran Earl of Wessex yang sebelum ini menjadi milik bapanya. Isteri kepada putera bongsu Ratu Elizabeth II, Sophie Helen Rhys-Jones yang bergelar Countess of Wessex and Forfar kini dikenali sebagai Duchess of Edinburgh.

Ratu menyandang gelaran itu sebelum menaiki takhta pada 1952, 70 tahun sebelum kemangkatannya. Suaminya, Putera Philip bergelar Duke of Edinburgh ketika mangkat pada April 2021 sewaktu berusia 99 tahun. Gelaran itu disandang sementara oleh Raja Charles sebelum baginda diangkat menjadi Raja pada September 2022.

putera Edward

Foto: Getty Images

Khamis lalu, Istana Buckingham mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengesahkan penganugerahan itu dengan menulis, “Duli Yang Maha Mulia Raja telah berbesar hati untuk mengurniakan Dukedom of Edinburgh kepada Putera Edward, Earl of Wessex and Forfar sempena ulang tahun ke-59 Duli Yang Teramat Mulia.

“Gelaran itu akan disandang oleh Putera Edward untuk seumur hidupnya. Ia sebelum ini dipegang oleh Putera Philip pada 1947 selepas berkahwin dengan Puteri Elizabeth yang merupakan Duchess of Edinburgh sebelum baginda menaiki takhta sebagai Ratu pada 1952.”

Kenyataan itu turut menzahirkan perasaan Putera Edward dan isterinya yang “berbangga meneruskan warisan Putera Philip dalam membuka peluang buat anak muda dari pelbagai latar belakang untuk mencapai potensi penuh mereka.”

putera Edward

Dua dekad sebelum kemangkatannya, Putera Philip sempat meluahkan harapan agar gelaran Duke of Edinburgh diwariskan kepada putera bongsunya itu. “Ratu, Duke of Edinburgh dan Putera Wales telah bersetuju untuk mengurniakan Dukedom of Edinburgh kepada Putera Edward pada masa yang sesuai, apabila gelaran yang sekarang ini disandang oleh Putera Philip dikembalikan kepada monarki,” tulis kenyataan itu yang dikeluarkan pada tahun 1999.

Selain Putera Edward, kedua-dua cahaya mata Putera Harry dan Meghan Markle turut dikurniakan gelaran Diraja di mana mereka kini bergelar Putera Archie dan Puteri Lilibet. Duke dan Duchess of Sussex menganggap penganugerahan itu sebagai ‘hak kelahiran’ anak-anak mereka dengan berkata, “Perkara ini telah lama dipersetujui dengan Istana Buckingham.”

Foto: Twitter

 

Foto: Getty Images

Baca: Raja Charles III Ambil Alih Peranan Rasmi Putera Philip