Michelle Yeoh Berkongsi Momen Romantis Sebagai Pengantin Baru - Glam Malaysia
Michelle Yeoh Berkongsi Momen Romantis Sebagai Pengantin Baru

Michelle Yeoh Berkongsi Momen Romantis Sebagai Pengantin Baru

Selepas 19 tahun perkenalan dan 6992 hari bergelar tunangan, Tan Sri Michelle Yeoh dan Jean Todt akhirnya disatukan sebagai suami isteri.

Penantian hampir 20 tahun itu diraikan dalam satu majlis perkahwinan intim di Geneva, Switzerland. Khabar gembira itu dikongsikan kepada umum buat kali pertama oleh bekas pelumba kereta Formula 1, Felipe Massa. Dia berkongsi beberapa foto perkahwinan berserta kapsyen ringkas, “Happy marriage Jean Todt & Michelle Yeoh. Love you so much.”

Michelle Yeoh

Foto: Instagram

Selain foto majlis, dia turut memuat naik kad jemputan yang mendedahkan detik perkenalan aktres dan tokoh perlumbaan permotoran itu. Tertulis pada kad, “Kami bertemu di Shanghai pada 4 Jun 2004. Pada 26 Julai 2004, J.T melamar M.Y dan dia bersetuju. Hari ini selepas 6992 hari pada 27 Julai 2023 di Geneva, dikelilingi ahli keluarga dan rakan tersayang, kami teruja untuk meraikan detik istimewa ini bersama.”

Selepas berita itu tular, Jean Todt memberi pengesahan menerusi satu ciapan di Twitter. “Memandangkan seorang lagi ‘anak’ saya @MassaFelipe19 telah diam-diam menyebarkan berita baik ini, saya dengan gembiranya mengesahkan perkahwinan dengan cinta hati saya, Michelle Yeoh.”

See also
Adele Dedah Kebenaran Mengenai Perkahwinan Rahsia Bersama Paul Rich

Detik Bahagia Michelle Yeoh & Jean Todt

Aktres berusia 61 tahun itu turut berkongsi momen ratu seharinya di Instagram buat tatapan 2.4 juta pengikutnya. Antaranya adalah foto dia menyarung cincin pada jari Jean Todt serta momen romantis mereka di atas katil sebagai pasangan suami isteri yang sah. Terdapat juga foto poster filem James Bond lakonannya, Tomorrow Never Dies yang telah disunting dan dibingkai. Selain tajuknya yang ditukar menjadi ‘Love Never Dies’, wajah pelakon utama, Pierce Brosnan turut disunting kepada wajah Jean Todt. Menurut pasangan itu, ia merupakan ‘hadiah perkahwinan menyentuh hati’ daripada rakan baik mereka, Barbara Broccoli.

Ibu Michelle Yeoh, Janet yang mengakui tidak dimaklumkan mengenai perkahwinan itu berharap mereka dapat pulang dan mengadakan majlis resepsi di Malaysia. “Anak saya sentiasa menghubungi saya tetapi dia tidak beritahu pun (berkenaan perkahwinan) ketika kami bercakap dua minggu lalu. Mungkin dia sengaja nak beri kejutan.

“Todt sudah banyak kali melamar dan dia hanya ketawa serta berkata seronok setiap kali dilamar. Todt memang terlalu cintakan Michelle,” katanya.

Ini bukanlah perkahwinan pertama buat pasangan pengantin baru itu. Michelle pernah bergelar isteri kepada usahawan tersohor Hong Kong, Dickson Poon dari tahun 1988 hingga 1992. Jean Todt juga pernah berkahwin namun tiada maklumat lanjut mengenai bekas isterinya. Hasil perkahwinan, dia dikurniakan seorang anak lelaki bernama Nicolas Todt yang kini berusia 46 tahun.

Foto: Instagram

 

Foto: Getty Images

Baca: Michelle Yeoh Bakal Dikurnia Bintang Hollywood Walk Of Fame