Coach Airways Beri Pengalaman Beli-Belah Berbeza - Glam Malaysia
coach airways

Coach Airways Beri Pengalaman Beli-Belah Berbeza

Coach Airways, stor pop-up terbaru yang tampil luar biasa dengan melabuhkan kapal terbang sebenar buat pengunjung rasai pengalaman beli-belah yang berbeza!

7 Jun yang lalu, GLAM dibawa ke Melaka untuk merasai sendiri pengalaman eksklusif membeli-belah di Coach Airways yang bertempat di Freeport A’Famosa Outlet. Stor pop-up yang pertama dibina sebegini bertujuan bagi meraikan semangat serta inovasi tanpa henti Coach dalam memastikan para pelanggannya sentiasa dapat merasai pengalaman baru ketika membeli-belah. Menerusi Coach Airways ini, anda semua bakal merasai suatu pengalaman baharu yang tidak mungkin dapat dilupakan.

coach airways

Dibina di dalam sebuah kapal terbang sebenar berkeluasan 4,198 kaki persegi, Coach memilih untuk menghiasi dalaman kapal terbang ini dengan dekorasi retro era 70-an dengan suntikan rona-rona serta signatur Coach. Bahagian arkitektur dalaman kapal termasuk bahagian kokpit, kabin dan tempat duduk sememangnya mengingatkan kembali kepada era penerbangan dulu kala.

coach airways

Di sini anda boleh saksikan koleksi ready-to-wear untuk semua jantina, beg juga kelengkapan pengembaraan yang diinspirasikan daripada fesyen generasi masa hadapan. Menariknya lagi di sini, anda juga berpeluang untuk menikmati kopi segar di Coach Cafe yang turut terdapat di dalam kapal terbang ini. Bukan itu sahaja, anda juga berpeluang untuk mendapatkan koleksi edisi terhad Coach pelancaran stor pop-up ini. Kemeja T, sarung kulit untuk passport, beg kembara serta pelbagai lagi aksesori menarik yang boleh anda dapatkan bersempena koleksi ikonik Signature mereka ini.

See also
Kate Middleton Menyebabkan Jenama Fesyen Ini Lingkup Dengan "The Kate Effect"

Kunjungi Coach Airways yang kini dibuka bermula 10 pagi hingga 10 malam di FAO Airplane, Freeport A’Famosa Outlet, Jalan Kemus/Sempang Ampat, 78000 Alor Gajah, Melaka.

Pautan Berkaitan: Coach Cafe Pertama Di Dunia Dibuka Di Singapura