Izara Aishah Berbicara Mengenai Masa Depan dan Harapan

Ulang Tahun Ke-61 Malaysia Baru: Izara Aishah Berbicara Mengenai Masa Depan dan Harapan

Izara Aishah menaruh harapan pada Malaysia baru untuk menjulang kerjaya seni. GLAM mendasari lubuk hati aktres, selebriti, usahawan dan isteri ini.

 

Masih segar di ingatan saya busana tradisional nikah Izara Aishah, 26, akhir tahun lepas. Persalinan serba putih rekaan Datuk Rizalman Ibrahim membuat penampilannya begitu memukau pada hari bahagia saat dia diijab kabulkan dengan suami tercinta, Adib Datuk Seri Khalid Mohamed. Kini pelakon cantik ini bahagia meniti fasa baru sebagai seorang isteri. Beberapa kali juga saya terserempak dengan Izara bersama suami, di pusat membeli-belah. Kemesraan mereka jelas terpancar dan tangan mereka sering berkunci rapat antara satu sama lain menandakan kebahagiaan yang menjalari hati dua insan ini.

 

Selepas berkahwin, Izara cuba kurangkan sedikit aktiviti seninya dan memberi lebih fokus kepada rumah tangga yang baru dibinanya. Ramadan dan juga Hari Raya tahun ini mengukir seribu satu makna baginya kerana ini adalah kali pertama dia menyambut Syawal bersama suami tercinta. Menurutnya, Adib agak cerewet dalam soal pemakanan. Tetapi dia tidak pernah mengharapkan Izara memasak untuknya setiap hari. Izara banyak berguru dengan ibu mertuanya, Datin Seri Tengku Zawiyah untuk memasak lauk kegemaran suaminya. “Saya rasa diri sudah sedikit matang sebab bulan puasa baru-baru ini saya memasak dan sediakan semuanya sebelum kejutkan suami. Sebelum ini, bulan puasa saya jarang bersahur. Adib tidak makan sayur, jadi saya pastikan setiap hidangan untuknya tidak ada sayur.”

 

Kata Izara lagi, perkahwinannya yang baru mencecah usia tujuh bulan ini dirasakan terlalu baru dan berasa diri mereka berdua masih sedang berbulan madu. “Bila mesej Adib masuk ada nada dering khas untuknya. Bila mesej dia masuk saya pasti teruja mahu baca mesejnya dan begitu juga sebaliknya. Antara saya dan Adib nampaknya saya yang lebih kerap merajuk tetapi apabila saya yang buat salah, mula-mula saya akan minta maaf melalui Whatsapp sahaja, bila dah jumpa lama-lama baru saya minta maaf depan-depan. Saya ni ego sikit!” cerita Izara.

MADAME IZARA Pelakon yang terkenal dengan filem J Revolusi tergerak untuk mengeluarkan produk gincunya Madame Izara kerana dia sangat obses dengan bibir. Dia suka melihat wanita yang memiliki bentuk bibir yang cantik. Baginya bibir yang paling cantik dimiliki aktres Bollywood, Madhuri Dixit. “Alhamdulillah Madame Izara mendapat sambutan dan saya teruja dengan perkembangan perniagaan pertama saya ini. Istimewanya lipmatte Madame Izara terletak pada teksturnya.  Saya mengambil masa dua tahun untuk mendapatkan fomula istimewa ini. Dan Alhamdullilah kerana saya sudah keluarkan koleksi warna baru. Kalau nak tahu cerita, untuk pilihan warna-warna koleksi kedua ini pun punyalah saya cerewet. Syukur kini saya sudah dapat sijil halal di Indonesia. Cuma di Malaysia saya masih menunggu. Madame Izara bukan sahaja tahan lama, malah teksturnya membuatkan bibir tampak mungil. “Madame Izara ini efeknya tahan lama dan tidak mengeringkan bibir. Selalunya long lasting lip matte susah hendak tanggal, tapi yang ini sekali sapu dengan makeup remover sahaja sudah tanggal. Istimewanya gincu ini apabila kita mencium, kesan bibir akan berbekas cantik dan saya sangat sukakannya sebab saya suka cium baju suami dan lihat bekas gincu pada bajunya.” Jelasnya lagi Madame Izara sudah ada di pasaran Thailand, Taiwan, dan Indonesia. Terbaru Izara juga bakal membuat perniagaan perabot. “Saya bakal membuat bisnes perabot. Tapi semuanya masih dalam perancangan. Saya berasa bersemangat kerana perniagaan yang bakal saya jalankan ini mendapat sokongan daripada mentor saya, Datuk Rizalman Ibrahim.”

See also
QUZANDRIA NUR

 

Menyentuh soal karier seni, Izara jujurnya terkesan dengan kehadiran social media influencers, kerana bagi Izara mereka tidak perlu ada apa-apa pun hanya sekadar dengan bilangan followers yang tinggi mereka mendapat kelebihan seperti selebriti yang bertungkus lumus mencipta nama di industri. Dan mungkin harga mereka yang lebih murah jadi ramai pihak menggunakan khidmat mereka berbanding selebriti. Dan Izara turut meluahkan rasa kesal dengan sikap masyarakat yang suka menghukum. “Netizen nak bercakap pasal agama macam kami ini cetek sangat ilmu agama. Mereka ini menggunakan Islam to go against everything. Islam itu indah, tidak perlu mengaibkan sesiapa. Ada caranya jika mahu menegur.”

 

Harapan Izara dengan bertukarnya kerajaan ini, industri seni tanah air akan lebih dipandang serius. Dia mahu nasib artis Malaysia terbela dan kalau boleh diwujudkan sistem untuk semua anak seni di tanah air. “Kami perlukan sokongan orang atasan supaya masyarakat melihat kerjaya kami ini sebagai satu kerjaya yang serius. Jadi bila kami bayar cukai, rasa berbaloilah nak bayar. Industri seni ini tidak sebesar mana jadi sayang jika ia tidak diberi perhatian. Satu hari nanti jika nama saya sudah cukup besar di arena seni tempatan, saya berniat untuk sediakan dana agar kita dapat keluarkan filem yang bermutu. Saya mahu pelakon Melayu, Cina dan India bersatu,” sambung Izara lagi yang memberitahu GLAM dia teringin untuk memegang watak biography character.

See also
Sembang Raya Bersama Kilafairy

 

BEAUTY IS PAIN Izara berpegang teguh kepada pepatah ‘beauty is pain’ kerana baginya, kecantikan tidak akan datang bergolek, melainkan kita sendiri yang berusaha untuk mencapainya. Jika mahu muka yang bersih dan mulus, perlu selalu membuat rawatan facial juga menjaga rejim kecantikan pada waktu pagi dan sebelum tidur. Begitu juga dalam menjaga bentuk badan. Tidak boleh ikutkan nafsu selera yang mahu makan apa sahaja. Menyorot kenangan lalu, Izara bagaikan tidak percaya pada zaman remajanya dia sangat berisi. “Sewaktu umur 19, badan saya naik dan bila usia cecah 21 ramai yang mengejeknya. “Gemuknya Izara, bulatnya, buruknya,” Mak saya sendiri pun dah berbunyi “Tak eloklah besar sangat, bila senyum pun dah tak boleh buka mata.” Waktu itu saya tertekan sangat dengan bentuk badan saya. Saya tak nak tengok diri sendiri di cermin dan tak mahu swafoto. Saya rasa hodoh sangat waktu itu.”

Komen-komen yang negatif itu seakan menyuntik semangat pada Izara untuk kuruskan badannya. Dia mulakan dengan Muay Thai dan bersenam di gimnasium setiap hari. “Apabila dah kurus sangat, saya hilang aset pula, jadi selama setahun saya hanya lakukan senaman squat sahaja demi untuk dapatkan aset saya kembali,” ujar Izara yang masih saban hari ke gimnasium biarpun rumahnya terletak di Shah Alam dan gimnasium di Wangsa Maju. “Bila dah selalu excercise ini, kalau tak buat, mesti badan rasa serba tak kena. Oleh kerana itu saya mesti kena bersenam.”

See also
Datin Lynda Rahim: "Saya banyak belajar daripada kesilapan."

 

Definisi kecantikan dalaman bagi Izara ialah apabila dia mengenali hati budi seseorang dan dari segi luaran pula dia tampil  bersih dan kemas dari kanta matanya. Izara turut berkongsi cerita mengenai suaminya mengenai kecantikan. Katanya sejak empat tahun mengenali suaminya, dia pelajari beberapa tip kecantikan daripada Adib. “Adib nasihatkan saya untuk tidak mengelap wajah dengan tuala sebaliknya menggunakan tisu, ini kerana tuala mempunyai permukaan yang kasar dan ia juga tidak sebersih tisu yang baru itu,”

 

Bercerita mengenai fesyen pula, kata Izara dia tidak berpakaian mengikut trend tetapi mengikut keselesaannya. Dia adalah penggemar membeli-belah secara dalam talian. Antara website yang dia gunakan adalah Net-A-Porter.com dan juga di Farfetch. Mengimbas kenangan pertama menjinjit tas mewah, Izara bangga memberitahu dia menggunakan duitnya sendiri dan kala itu dia berusia 18 tahun. “Sejak kecil, saya akan tanya ibu apa hadiah yang dia mahu. Ibu pula mengusik saya yang dia mahu hadiah Chanel saja. Jadi tas jenama pertama saya adalah Chanel Camelia yang saya beli dengan titik peluh saya sendiri dan saya hadiahkan kepada ibu, ratu hati saya. Ibu waktu itu ingat saya main-main apabila saya hulurkan beg kertas Chanel. Kala melihat beg Chanel, ibu sangat terharu kerana itu adalah Chanel pertama pemberian anaknya meskipun dia sudah memiliki beberapa buah beg Chanel tetapi katanya hadiah itu paling bermakna baginya. Sejak hari itu saya jatuh cinta pada tas tangan Chanel dan kecintaan tersebut mekar sehingga ke hari ini. Untuk kasut pula saya sangat obses dengan Giuseppe Zanotti dan Louis Vuitton. Baju selalunya saya beli di Melium dan Club 21,” jelas Izara yang menjadikan Olivia Palermo, Victoria Beckham dan Ulyana Sergeenko sebagai ikon fesyen antarabangsa sementara Datin Ezurin dan Datin Seri Camelia ikon fesyen tempatannya.

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Ogos 2018