Wajarkah Hadir Kaunseling Pra Perkahwinan? - Glam Malaysia

Wajarkah Hadir Kaunseling Pra Perkahwinan?

Sesi kaunseling merangkumi pelbagai topik, mungkin kita jarang sekali mendengar sesi kaunseling untuk pra perkahwinan. Dan masyarakat kita sudah biasa mendengar sesi kaunseling untuk selamatkan rumah tangga yang sudah retak. Kaunseling sebelum melalui alam perkahwinan ini perlu dilakukan bersama dengan kedua-dua bakal pengantin. Sudah menjadi lumrah manusia apabila kita bercinta terlalu banyak yang manis dari yang pahit. Orang tua-tua kata masa bercinta bau kentut pun dikata wangi. Manakala di alam perkahwinan ia hadir dengan komitmen. Komitmen dari segi ketelusan dari dua-dua pihak juga berkongsi tanggungjawab. Apabila anda dan pasangan faham akan tanggungjawab masing-masing ia akan melicinkan lagi hubungan kalian. Rumah tangga adalah asas pembentukan keluarga yang menjadi tunggak dalam pembinaan sistem sosial masyarakat.

TERAPI KAUNSELING PRA PERKAHWINAN

Pendekatan kaunseling semakin popular di Malaysia, ia sebagai satu perkhidmatan pencegahan, perkembangan, pemulihan, dan rawatan menangani isu-isu yang berkaitan dengan jiwa dan sikap seorang individu itu. Kaunseling Pra Perkahwinan sering dilakukan dalam bentuk pendidikan. Seperti yang kita sedia maklum sebagai orang Islam, di Malaysia kita wajib untuk memasuki kelas kursus perkahwinan sebagai persiapan untuk bergelar suami dan isteri. Ia juga adalah proses melengkapkan ilmu asas kepada pasangan apa yang dituntut dalam agama apabila sudah berkeluarga nanti. Pun begitu, kursus perkahwinan sahaja tidak memadai. Khidmat sesi kaunseling pra perkahwinan juga amat penting, tetapi sayangnya masyarakat jarang-jarang sekali ambil sesi kaunseling ini sebelum mereka diijab kabulkan.

See also
Update Terkini Fesyen Mesti Tahu

Secara ringkasnya, kaunseling merujuk kepada khidmat profesional yang ditawarkan oleh seorang kaunselor terlatih dan cekap dalam bidang kaunseling. Pentingnya kaunseling pra perkahwinan, anda dan bakal pasangan akan duduk bersama dengan kaunselor dalam suasana tereupeutik dan bincangkan karakter masing-masing, dan apa karakter pasangan yang anda kurang senangi. Juga berbincang mengenai perancangan untuk berkeluarga.

PROSES KAUNSELING

Melalui proses-proses ini anda dan pasangan akan mendapat ilmu untuk menangani masalah sekiranya terperangkap dengan isu-isu berikut:

  1. Kemahiran mengurus kewangan. Anda dan pasangan akan berbincang dengan lebih terperinci mengenai perancangan kewangan. Bagaimana mahu salurkan wang dengan bijak, termasuklah perancangan pelaburan bersama seperti aset dan sebagainya.
  2. Kemahiran dan persiapan untuk bergelar ibu-bapa. Apa langkah-langkah dan persiapan yang perlu dilakukan. Misalnya wanita yang mengandung disarankan mengambil insuran untuk kandungan sebagai persiapan sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku.
  3. Kemahiran dalam membuat keputusan bersama. Ini kerana selepas berkahwin, segala apa yang dilakukan ia adalah usaha bersama. Begitu juga dalam membuat sesuatu keputusan ia harus mendapat persetujuan dari kedua belah pihak.
  4. Kepentingan komitmen dalam perkahwinan. Isu ini harus dikupas, komitmen hadir dengan adanya rasa tanggungjawab pada seseorang individu itu. Ketahui apa itu komitmen bersama dan komitmen persendirian juga pembahagian komitmen dalam keluarga.
  5. Mengenal pasti perbezaan antara pasangan. Setiap pasangan dibesarkan dengan keluarga masing-masing sebelum dewasa. Jadi tentunya cara dibesarkan mempengaruhi karakter seseorang individu itu. Di dalam perkahwinan pasangan hendaklah berlapang dada apabila ada sikap pasangan yang kurang disenangi. Gunakan ayat-ayat positif agar pasangan akan berasa senang untuk berubah. Dan dengan ini, anda lebih senang untuk membentuk sistem keluarga yang baru.
See also
Trend - Memori Monokrom Omar Khan

Istimewanya sesi ini adalah kaunselor terlatih ini, akan menggalakkan anda dan pasangan untuk bercakap jujur apa yang tersirat dalam hati. Ia seperti open communication between couples. Jadi melalui sesi ini, pasangan akan lebih faham apa yang diharapkan dalam perkahwinan nanti. Kaunselor pra perkahwinan juga akan menilai bagaimana anda dan pasangan bercakap antara satu sama lain, dan akan memberi pandangannya di akhir perbincangan nanti. Dan biasanya di akhir sesi, pasangan akan diminta menulis di atas kertas apa yang mereka harapkan dalam perkahwinan mereka nanti. Dari situ kaunselor akan cuba memberi solusi bagaimana mahu capai target yang diinginkan. Sesi kaunseling pra perkahwinan adalah satu sesi yang bagus untuk kesihatan mental bakal pengantin sebelum menjejaki alam perkahwinan.

Arkib GLAM Weddings 2018