K11 Musea Adalah Destinasi Beli Belah Paling Unik

Lima Tip Penting Apabila Berkunjung Ke K11 MUSEA

K11 MUSEA bakal memberi aspirasi dan inspirasi kepada pengunjung dengan daya kreativiti serta inovasi mereka.

Jika mahukan satu pengalaman unik ketika membeli belah, silalah buat perancangan ke K11 MUSEA. Satu idea yang dihasilkan oleh Adrian Cheng yang memadukan pengalaman mewah dengan daya kreatif paling jitu. K11 MUSEA yang terletak di Victoria Dockside menjadi mercu tanda Hong Kong terkini. Bukan sahaja kerana mempunyai barisan jenama mewah mahupun restoran bermutu tinggi. Di sini juga Cheng meletakkan aspek seni yang cukup dekat dengan hatinya.

MENGHARGAI OBJEK SENI DARI CHIHARU SHIOTA HINGGA KE STERLING RUBY

k11 musea

Melangkah masuk ke K11 MUSEA cukup unik sekali. Ia bukan seperti pusat membeli belah yang lain ada di Kuala Lumpur mahupun sekitar Asia. Adrian Cheng cukup cintakan seni. Maka nampak jelas sekali pada setiap ruang K11 MUSEA kerana setiap ruangnya diisi dan diperindah dengan hasil kreatif karya penting seni moden sekarang. Instalasi seperti daripada Sterling Ruby yang bertajuk CDCR menyambut ketibaan pengujung yang tiba di lantai bawah. Chiharu Shiota pula menghasilkan instalasi menggunakan kertas merah yang bergantungan dari atap utama KK11 MUSEA. Dalam setiap kertas itu mempunya harapan yang ditulis oleh orang ramai tentang apa yang mereka mahukan buat masa hadapan. Di luar K11 MUSEA pula ada Hot Dog Bus ilham Erwin Wurm dimana Volkswagen Microbus vintaj ditukar menjadi van seakan hot dog.

ALAMI PAMERAN KREATIF ‘CITY AS STUDIO’

Usaha lain yang dijulang oleh Adrian Cheng adalah memberi pendekatan seni kepada semua. Maka K11 MUSEA bersama K11 Art Foundation telah memilih melancarkan pameran City as Studio. Ia merupakan pameran seni yang berkisar tentang grafiti dan seni jalanan paling besar pernah dianjurkan di China. Ada lebih 100 karya seni yang dipamerkan mengikut lokasi penting seperti New York dan Los Angeles. Karya-karya ini adalah hasil daripada 30 artis yang dipilih oleh Jeffrey Deitch, kurator kepada pameran City as Studio. Nama artis yang terlibat buat pameran unik ini termasuklah Jean-Michel Basquiat, KAWS dan Martin Wong. Pameran ini berlangsung sehingga 14 Mei 2023.

MASUK KE KELAS L’ÉCOLE, SCHOOL OF JEWELRY ARTS

Terletak di tingkat lima di K11 MUSEA, kelas barang kemas ini adalah tarikan yang penting kepada semua. L’école, School of Jewelry Arts pertama ditubuhkan pada 2012 di Place Vendôme dan hanya dua tahun kemudiannya, L’école, School of Jewelry Arts dibuka di luar Paris. Hong Kong menjadi lokasi pilihan dan paling mengbanggakan adalah kerana berlabuh di K11 MUSEA. Komuniti peminat barang kemas sekitar Asia terbang ke sini untuk mempelajari tentang seni pertukangan barang kemas. Selain itu, L’école, School of Jewelry Arts juga melangsungkan pelbagai pameran tentang barang kemas. Ada juga perpustakaan mini yang disediakan khas buat tetamu ke L’école, School of Jewelry Arts.

k11 musea

NIKMATI AFTERNOON TEA DI 161 AT FORTNUM & MASON

k11 musea

Apa yang lebih klasik daripada menikmati hidangan teh yang mempunyai resepi tiga abad lamanya. Inilah keunikan yang ada di 161 At Fortnum & Mason. Melangkah masuk ke kafe ini, tetamu akan berkenalan dengan pelbagai teh yang ada daripada jenama yang menjadi kegemaran keluarga diraja Britain. Naik ke tingkat atas pula, tersedia ruang makan dengan pemandangan laut di Victoria Harbour. Khas buat 161 At Fortnum & Mason adalah hidangan afternoon tea mereka. Hidangan ini disediakan sama sejak abad ke-19. Selain itu sesi High Tea di 161 At Fortnum & Mason pula dicipta oleh Fortnum pada 1738 dengan hidangan mudah seperti Scott Egg. Menu lengkap afternoon tea di 161 At Fortnum & Mason  ada di sini.

KENALI BINTANG ASIA DI AVENUE OF STARS

k11 musea

Apabila malam menjelma, adalah masa terbaik untuk tetamu keluar menikmati udara malam yang nyaman di sekitar Victoria Dockside. Tarikan yang ada di luar K11 MUSEA adalah Avenue of Stars. Sepanjang 440 meter, ada banyak cetakan tangan atau autograf dari bintang terkenal Hong Kong serta yang lahir dari Asia. Nama besar seperti Bruce Lee, Jackie Chan, Eric Tsang dan bintang kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh juga sudah menerima plak cetakan tangan mereka di Avenue of Stars ini. Paling menarik di Avenue of Stars juga adalah patung ganga Anita Mui yang diletakkan pada 2014, sebagai tanda penghargaan kepada primadona penting Hong Kong.

Artikel Berkaitan: Ini Apa Yang Perlu Anda Tahu Tentang Met Gala 2023