Datin Bermadukan Anak Jiran Sebelah

Datin Bermadukan Anak Jiran Sebelah

Panas! Panas! Panas! Sepanas cuaca sekarang. Kerana kini sudah ramai anak gadis seawal 20-an atau yang mungkin baru tamat pengajian di STPM sudah lebih panjang langkah dalam memburu cinta dan suami kaya.

Ada segelintir kelompok generasi anak gadis kini mahu cepat hidup senang, semuanya ada di hadapan mata dan dalam genggaman tanpa perlu usaha. Apatah lagi melengkapkan diri dengan ilmu di menara gading. Kerana mereka ini mengambil keputusan untuk terus mendirikan rumah tangga.

Biarlah menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat. Asalkan pasangan yang dinikahi itu kaya raya. Mungkin ini penangan sosial media sekarang? Melihat orang ada, mereka juga mahu dapatkannya.

Datin X punya jiran setaman juga terkena benda yang sama. Tapi ini macam lain kesnya kerana, si isteri pertama sendiri yang membuka rumahnya buat anak gadis itu untuk menjadi madunya.

datin bermadukan anak jiran sebelah

Foto: Freepik

Kisahnya, si anak gadis jiran sebelah itu memang cantik orangnya. Putih mulus, tinggi lampai, kalau menyapu di luar pekarangan rumah pasti akan nampak wajahnya. Baik juga tutur bicara, senang menyapa jika terserempak sesiapa yang dikenali. Ringan mulut dengan orang-orang yang lebih dewasa. Sampaikan Datuk Mat jatuh hati dengan anak gadis itu.

See also
Tip Berpuasa Sempena Bulan Ramadan

Diusulkan kepada isteri, terus masuk meminang untuk suaminya. Ibu bapa anak gadis itu pun tak kisah. Mungkin tahu yang anak gadisnya akan hidup terjamin. Tapi janji anak gadis itu mahu tamatkan belajar juga. Doa Datin X, agar kekal bahagiakan tiga orang ini di rumah banglo 3 tingkat di atas bukit itu.

Bukan semuanya cerita indah sebegini. Ada juga anak gadis yang tidak pandai menutup godaan manjanya.

Mahu dijadikan cerita, ada kisah tentang Datin Melur dengan Datuk Adam. Isterinya masih sedih di rumah. Sampaikan tidak lagi kunjung ke masjid buat berjemaah maghrib dan isyak bersama kami semua.

Kerana di masjid, tempat kita sepatutnya memberi diri sepenuhnya kepada tuhan yang maha esa, ada juga anak gadis yang cuba melirik mata pada abang-abang tua berstatus tinggi. Sampaikan suami Datin Melur tergoda dan mahu menjadikan budak lepasan STPM itu sebagai isterinya.

Kami kawan-kawan cuba selidik siapa gerangan gadis itu, tetapi tiada yang tahu anak siapa. Memang si gadis ini bijak, datang solat ke masjid kejiranan VIP dan tangkap seorang untuk dijadikan suami.

See also
An Affair with Timekeepers

Datin X ada juga cuba memujuk Datin Melur untuk datang semula berjemaah dengan kami semua. Tetapi hatinya keras lagi, kerana di masjid itulah pasangan yang baharu kawin itu datang mengerjakan solat mereka. Suami Datin Melur pula tidak lagi semesra yang dahulu. Dengan suami Datin X pun dia tidak lagi mahu bercakap.

Datuk Adam hidup berdua dengan isteri baharunya. Beli rumah di kawasan yang sama isteri pertama. Sebab isteri muda mahu hidup di alamat mewah ini.

Khabarnya dekat dengan teman-teman sekuliah. Tapi hanya benarkan Datuk Adam pulang ke rumah Datin Melur pada malam isnin sahaja. Datin Melur akur. Kerana jika hendak minta cerai, kemana pula mahu dia bawa diri.

Satu petang itu, kami semua datang ke rumah Datin Melur kerana mahu menemanimya yang sudah berbulan-bulan tidak keluar rumah.

“Suami I sekarang sudah tidak lagi mahu duduk di sini. Dia akan pindah ke Kelantan untuk ikut isteri mudanya,” perkongsian sensasi Datin Melur. Barulah kami tahu, madunya yang dikira boleh dijadikan anak angkat itu asal jauh dari sini. Datang ke Kuala Lumpur untuk menyambungkan pengajian, tetapi tak habis belajar sebab miang mahu hidup bagaikan permaisuri. Datin X cuba juga tanya apa akan jadi dengan bisnes Datuk Adam di sini?

See also
Tema Paling Bekontroversi Buat Met Gala 2018

“I pun tidak tahu. Sebab secretary sudah bertukar, driver juga bukan lagi orang yang sama. Semua yang I kenal sudah diberhentikan kerja,” sambung Datin Melur.

Kesian Datin X melihat Datin Melur. Kebahagiaan yang didirikan selama berpuluh tahun di mahligai mewah ini menjadi satu mimpi yang kelam buatnya. Ada suami yang dahulunya rajin menjaga isteri, tetapi ditinggalkan sebab mahu ikut isteri muda hidup berjauhan.

Tinggallah dia seorang diri bertemankan orang gaji di rumah itu. Jangan tanya mana pergi anak Datin Melur, sebab yang Datin X tahu semuanya sudah hidup selesa di luar negara. Selebihnya, hanya Datin Melur dan Datuk Adam sahaja yang tahu.

Artikel berkaitan: DATIN X: Berdesing Telinga Datin Bila Ibu Tiri Muda Dipuja-puja