Hidap Endometriosis, Emma Roberts Akhirnya Bergelar Ibu - Glam Malaysia

Hidap Endometriosis, Emma Roberts Akhirnya Bergelar Ibu

Tahniah diucapkan kepada pelakon berusia 29 tahun ini kerana telah dikurniakan seorang anak lelaki bersama teman lelakinya, Garrett Hedlund!

Bayi yang diberi nama Rhodes dilahirkan di Los Angeles Ahad lalu dengan berat 4.1 kilogram. Namun sehingga kini belum ada apa-apa pengesahan daripada tuan empunya badan sendiri.

Emma mengumumkan kehamilannya Ogos lalu dan turut mendedahkan jantina bayi di dalam kandungannya.

Dia sudah lama memendam keinginan untuk menjadi ibu, kongsinya kepada Cosmopolitan di mana dia turut bercakap mengenai isu ketidaksuburan yang dialaminya.

“Sejak kecil lagi saya mahukan bayi, secara teorinya. Saya merayu kepada ibu untuk berikan saya adik. Pada usia 16 tahun, saya sudah berazam untuk berumah tangga dan memiliki cahaya mata apabila umur saya mencapai 24 tahun. Namun dengan kesibukan bekerja, ia tidak kesampaian,” ujarnya.   

Akui Emma, dia mula serius memikirkan perkara ini apabila didiagnosis menghidap endometriosis. Sememangnya sejak remaja dia sering mengalami kekejangan teruk ketika haid sehingga terpaksa ponteng sekolah atau batalkan temu janji. Setelah menjalani beberapa ujian, dia disahkan menghidap penyakit tersebut namun ia sudah mengganggu tahap kesuburannya.

See also
Eva Celia dari Jakarta, ‘GIRL-CRUSH’ Baru GLAM!

“Apabila mendapat tahu tentang masalah ini, saya terkejut. Kemudian saya berkongsi dengan wanita lain, dan tidak semena-mena ia membuka satu perbualan mneyeluruh mengenai endometriosis, ketidaksuburan, keguguran, rasa takut kerana tidak mampu memiliki anak. Saya sangat bersyukur kerana tidak bersendirian.”

Tambah Emma lagi, sebaik sahaja dia berhenti memikirkan segala perkara ini, dia mendapat tahu dirinya hamil. “Namun saya tidak meletakkan harapan yang tinggi pada kehamilan ini, apa sahaja boleh terjadi. Sebab itulah saya tidak berkongsi di Instagram.”

Memandangkan kini semuanya sudah selamat, tunggu sahaja pengumuman daripada Emma Roberts sendiri!

Foto: Getty Images/Dia Dipasupil

Baca: Dandanan Edgy Baharu Emma Roberts!