Beyonce Sumbang RM2 Juta, Bantu Tangani Krisis Perumahan - Glam Malaysia

Beyonce Sumbang RM2 Juta, Bantu Tangani Krisis Perumahan

Beyonce bukan sahaja dikenali dan disayangi peminat kerana bakatnya yang hebat dan penampilannya yang sentiasa mempesona, tetapi juga kerana kebaikan hati dan sifat pemurah yang tertanam dalam dirinya.

Beberapa hari lalu, dia membuat pengumuman untuk menyumbang sebanyak RM2 juta kepada mereka yang mendapat notis pengusiran akibat krisis perumahan di Amerika Syarikat yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Seramai 100 orang akan menerima sumbangan tersebut pada akhir Januari tahun hadapan melalui BeyGOOD, yayasan yang ditubuhkan Beyonce untuk memberikan bantuan kewangan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan disebabkan penyakit atau pengurangan tenaga kerja syarikat.

Sangat membanggakan kerana hingga ke saat ini, BeyGOOD telah menghulurkan berjuta-juta dolar Amerika sepanjang pandemik untuk membantu menyediakan unit ujian mudah alih, sokongan untuk perniagaan milik orang kulit hitam, dan sokongan kesihatan mental.

Dan menurut sumber dari yayasan tersebut, Beyonce akan terus memberi sokongan dan bantuan bila-bila sahaja diperlukan. “Kini fasa kedua BeyGOOD Impact Fund akan membantu mereka yang terjejas dengan krisis perumahan. Moratorium perumahan dijadualkan berakhir pada 26 Disember, mengakibatkan penyitaan gadai janji dan pengusiran sewa.

See also
Trend - Warna Kehidupan Jotun untuk 2018

“Banyak keluarga terkena impaknya akibat pandemik yang menyebabkan kehilangan pekerjaan, penyakit dan kemerosotan ekonomi secara keseluruhan,” tambah sumber tersebut.

Moratorium perumahan tidak membenarkan tuan tanah mengusir keluar penyewa yang tidak mampu menjelaskan sewa rumah akibat kehilangan pekerjaan semasa pandemik. Kini apabila moratorium berakhir, penyewa perlu berbincang dengan tuan tanah mengenai pelan pembayaran, atau berhadapan dengan risiko pengusiran.

Foto: Richard Young/Shutterstock

Baca: Idam Majlis Bebas Covid, Gwen Stefani Dan Blake Shelton Tunda Perkahwinan