Trend Sarung Tangan Opera Yang Semakin Digilai Selebriti - Glam Malaysia
Trend Sarung Tangan Opera Yang Semakin Digilai Selebriti

Trend Sarung Tangan Opera Yang Semakin Digilai Selebriti

Sama ada pengaruh Beyonce mahupun siri popular Bridgerton, sarung tangan opera terus menjadi trend fesyen paling diminati pada 2023.

Beyonce yang menyarung sarung tangan opera versi kulit pada majlis Grammys bukanlah satu-satunya bintang yang gemar menggayakannya.

Puteri Wales, Kate Middleton memakai sarung tangan serupa rona hitam bersama helaian Alexander McQueen di karpet merah Bafta 2023. Dua Lipa turut menggayakannya sepanjang konsert jelajah Future Nostalgia.

Begitu juga Gigi Hadid yang berjaya membuktikan bahawa trend itu bukan hanya untuk acara malam. Dia memadankan baju panas senteng rona kelabu dengan sarung tangan Valentino sedondon ketika muncul di rancangan Good Morning America.

Trend Sarung Tangan Opera Yang Semakin Digilai Selebriti

 

Sarung tangan opera juga semakin hangat di pentas peragaan kebelakangan ini. Ia menambah tekstur, elegan dan keunikan. Variasi lateks yang digandingkan bersama sifon dipersembahkan di pertunjukan Victoria Beckham manakala versi renda hitam menggoda dihidangkan di pentas Dolce & Gabbana dan Versace Musim Bunga/Panas 2023.

Versi sutera dan perincian dramatik turut ditampilkan di pertunjukan haute couture Schiaparelli, Thom Browne, Balenciaga dan Valentino baru-baru ini.

Valentino Musim Bunga/Panas 2023

Sarung Tangan Opera Dahulu Hingga Kini

Sarung tangan opera glamor atau paras siku yang kebanyakannya dipakai pada acara malam telah wujud sejak abad ke-15. Ratu Elizabeth I amat meminati gaya itu dan ia dipakai sebagai tanda kekayaan serta status.

See also
Koleksi Mewah 'Regal Raya' Larney Sempena Aidilfitri 2022

Bagaimanapun tiada siapa boleh menggayakannya lebih baik daripada Marilyn Monroe dalam Gentlemen Prefer Blondes. Juga Audrey Hepburn dalam Breakfast at Tiffany’s.

Bekas wanita pertama Amerika Syarikat dan ikon stail, Jacqueline Kennedy juga menggemari gaya itu. Dia dirakam memakai sarung tangan panjang rona putih pada pelantikan Presiden John F Kennedy, acara malam formal dan kebanyakan majlis anjuran White House.

Foto: Bettmann Archieve

Kathryn Eisman, hos rancangan realiti fesyen Undressed dan pengasas High Heel Jungle berkata sarung tangan opera yang menjadi kegilaan semasa dan selepas berakhirnya pandemik Covid adalah reaksi terhadap tempoh gelap yang dilalui.

“Berakhir sudah stail sut sukan dan penampilan monoton membosankan yang mendominasi fesyen sejak beberapa tahun lalu. Cetakan, warna berani, sarung tangan opera dan stokin fesyen adalah trend masa kini.

“Sekarang ini semakin ramai pelanggan kami berminat dengan helaian bertenaga yang menampilkan warna terang, cetakan, stokin luar biasa dan sarung tangan opera.”

Menggayakan sarung tangan paras siku sama ada versi sutera klasik, berenda atau berperincian adalah tanda bahawa “kita telah keluar dari kepompong peraturan dan sekatan fesyen pada zaman pandemik,” tambahnya.

See also
Bonia Dan Ameera Khan Berlebaran Dengan 'Santapan' Unik

 

Foto: Getty Images

Baca: 9 Trend Fesyen Sinonim Dengan Gen-Z