Dari Runway Ke Realiti, SHALS Lancar Coming of Age: Phase 2
Label lokal, SHALS kembali dengan Coming of Age: Phase Two, meraikan evolusi identiti dan ekspresi diri melalui tujuh rekaan runway ikonik yang diperhalusi semula dalam gaya yang lebih matang dan bermakna.
SHALS mempersembahkan koleksi kapsul terbarunya, Coming of Age: Phase Two. Sebuah kesinambungan penuh makna daripada kemunculan pertamanya di pentas fesyen tahun lalu. Koleksi ini membawa penonton fesyen menyusuri lembaran baru dalam naratif jenama ini yang kini menginjak usia 13 tahun dalam dunia industri fesyen tempatan.
SHALS “Coming of Age: Phase Two” — Evolusi Gaya yang Lebih Matang dan Bermakna
Menampilkan tujuh rekaan terpilih daripada koleksi asal Coming of Age, setiap satu diolah semula dalam dua rona berbeza. Koleksi ini bukan sekadar penampilan semula, tetapi sebuah penghargaan terhadap perjalanan kreatif SHALS. Jenama yang membawa kisah tentang evolusi identiti, perubahan dan kematangan lantas diterjemahkan ke dalam bentuk busana yang bersahaja namun berjiwa.
Ketika pertama kali diperkenalkan, koleksi asal mengangkat simbol kepompong sebagai metafora transformasi, proses melepaskan yang lama dan menyambut yang baharu. Dengan pendekatan reka bentuk berstruktur lembut, potongan longgar dan gaya uniseks, koleksi ini menjadi manifestasi kesungguhan SHALS dalam merangkul fesyen sebagai medium ekspresi diri.
Koleksi fasa kedua ini menyaring semangat itu dalam seleksi rekaan yang lebih fokus, seiring dengan prinsip slow fashion dan produksi yang beretika. Rekaan-rekaan ini mengekalkan estetika “elevated basics” SHALS, yang cukup popular dengan potongan bersih, tekstur selesa serta gaya versatil yang direka untuk dipakai berulang kali merentas musim. “Ia tentang memperhalusi visi kami, kekal autentik dan hanya menghasilkan apa yang benar-benar mencerminkan siapa kami selepas 13 tahun,” ujar pengasas dan pengarah kreatif SHALS, Shalma Ainaa.
Acara pelancaran buat koleksi ini telah berlangsung dalam suasana yang lebih tertumpu dan bersifat peribadi. Ia menjadi satu ruang tenang untuk mendekatkan jenama dengan para penyokongnya, serta meraikan peralihan SHALS dengan jiwa yang lebih matang dan mendalam. Koleksi Coming of Age: Phase Two nyata menzahirkan falsafah bahawa pakaian seharusnya mencerminkan jiwa, bukan sekadar gaya dan kini boleh diterokai secara dalam talian atau di butik.
Artikel Berkaitan: Memori Kehilangan Tujuan Koleksi SHALS Raya