fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
5 Inspirasi Fesyen Rasyiqah Johan Buat Gadis Muda
Jacob Elordi Curi Tumpuan Dunia Dalam Kempen Cartier Arahan Sofia Coppola
Eksklusif: Tonton Seni Pembuatan Dior Tribales
Halloween 2017 Disambut Dengan Lebih Meriah Oleh Adele, Nicki Minaj & Ramai Lagi
Kempen Fesyen Pertama Model Berhijab Halima Aden
Home > Fesyen > Sorotan Buat Pementasan Koleksi Louis Vuitton Menswear SS27

Sorotan Buat Pementasan Koleksi Louis Vuitton Menswear SS27

Pharrell Williams mengubah pentas Louis Vuitton Menswear SS27 menjadi sebuah pengalaman imersif yang menyatukan semangat surf, dunia dandy moden dengan keindahan lautan yang memukau di Paris.

Pertunjukan Louis Vuitton Menswear Spring/Summer 2027 di bawah arahan kreatif Pharrell Williams membuktikan bahawa pentas peragaan hari ini bukan lagi sekadar ruang untuk memperkenalkan koleksi baharu. Musim ini, Louis Vuitton mengubah pentas menjadi sebuah pengalaman multisensori yang membawa tetamu menyelami dunia ombak, budaya luncur air dan semangat pengembaraan global yang menjadi nadi utama koleksi tersebut.

 

Semangat Surf Bertemu Dunia Dandy Moden

Mengangkat tema A Dandy Experience, pertunjukan ini berpusat kepada idea bahawa lautan merupakan ruang yang menyatukan manusia tanpa mengira budaya, bangsa atau latar belakang. Berlatarkan langit malam Paris yang dihiasi cahaya bulan, tetamu disambut dengan bunyi deburan ombak yang bergema di seluruh ruang persembahan. Di tengah-tengah pentas pula berdiri sebuah struktur ombak gergasi yang menjadi simbol keseimbangan, merujuk kepada komuniti peluncur air yang berkongsi hubungan yang sama dengan laut di seluruh dunia.

Sebelum koleksi diperagakan, Louis Vuitton membuka persembahan dengan sebuah filem pendek yang menampilkan peluncur air profesional Mikey February dan Julian Wilson. Visual sinematik tersebut memperkenalkan naratif yang menjadi asas kepada keseluruhan koleksi, menggambarkan hubungan manusia dengan alam, kebebasan bergerak serta gaya hidup yang dibentuk oleh ombak dan perjalanan. Di sekitar ruang pertunjukan, sebuah camper van berwarna perak turut dipamerkan sebagai simbol kehidupan nomad yang sering dikaitkan dengan budaya luncur air, namun diberikan interpretasi futuristik menerusi sentuhan reka bentuk Pharrell Williams.

Seperti mana visual dan set yang memainkan peranan penting dalam membina suasana, muzik juga menjadi elemen utama dalam pengalaman tersebut. Runut bunyi eksklusif yang dihasilkan di studio Louis Vuitton milik Pharrell Williams mengiringi setiap langkah model di pentas. Bunyi air yang menghempas pantai disatukan dengan susunan muzik berskala epik, menghasilkan pengalaman yang terasa hampir sinematik dan memperkukuhkan naratif yang ingin disampaikan oleh koleksi.

Beralih kepada koleksi, Pharrell meneruskan eksplorasinya terhadap figura ‘dandy moden’ yang menjadi identitinya di Louis Vuitton. Namun musim ini, siluet tersebut diberikan perspektif baharu melalui pengaruh budaya luncur air. Sut yang sinonim dengan penampilan kemas dan sofistikated digabungkan dengan elemen yang lazim ditemui pada pakaian peluncur air, seperti tekstur yang kelihatan lusuh akibat cuaca, kemasan tampalan, material berinspirasikan wetsuit serta sentuhan bohemian yang santai.

Salah satu aspek yang paling menonjol dalam koleksi ini adalah bagaimana Louis Vuitton menggabungkan dunia tailoring mewah dengan elemen teknikal. Fabrik prestasi tinggi yang diinspirasikan oleh pakaian sukan air diterapkan ke dalam sut dan helaian formal, menghasilkan pakaian yang bukan sahaja elegan tetapi juga praktikal untuk gaya hidup moden yang sentiasa bergerak antara kota dan destinasi percutian. Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana Louis Vuitton terus mengembangkan definisi kemewahan melalui inovasi dan fungsi.

Pharrell juga meneruskan penggunaan teknik trompe l’oeil pada busana dan aksesori yang semakin menjadi tanda tangan kreatifnya. Melalui kemahiran artisan rumah fesyen tersebut, tekstur dan material harian diberikan ilusi optik yang membuatkan sesuatu helaian kelihatan berbeza daripada realitinya. Dari jauh, koleksi mungkin tampak sederhana, namun apabila dilihat lebih dekat, perincian pertukangan yang kompleks mula terserlah. Teknik ini sekali lagi menunjukkan keupayaan Louis Vuitton mengangkat elemen biasa menjadi sesuatu yang luar biasa.

Dari segi visual, koleksi ini turut disuntik dengan tenaga muda melalui penggunaan warna-warna terang yang mengingatkan kepada budaya pantai dan papan luncur. Motif papan dam atau chequerboard muncul berulang kali sepanjang koleksi, memberi penghormatan kepada dunia papan selaju yang menjadi antara pengaruh paling penting dalam perjalanan kreatif Pharrell Williams. Gabungan elemen surf dan skate menjadikan koleksi ini terasa santai tetapi masih mengekalkan kehalusan yang sinonim dengan Louis Vuitton, turut serta dengan tampilan deretan aksesori beg yang cukup mencuri tumpuan.

Di sebalik pementasan peragaan yang mempersonakan, Louis Vuitton turut menyampaikan mesej yang lebih besar berkaitan pemuliharaan alam sekitar. Berinspirasikan hubungan koleksi ini dengan lautan, rumah fesyen tersebut mengumumkan kerjasama bersama Coral Gardeners sebagai sebahagian daripada pelan kelestarian Regeneration 2030. Inisiatif itu akan menyokong usaha penanaman 1,000 batu karang baharu di French Polynesia serta membantu memulihkan habitat terumbu karang yang semakin terancam. Melalui gabungan pentas yang dramatik, muzik yang imersif dan koleksi yang menghubungkan dunia tailoring dengan budaya luncur air, Louis Vuitton Menswear Spring/Summer 2027 memperlihatkan bagaimana Pharrell Williams terus membentuk identiti baharu lelaki Louis Vuitton.

Artikel berkaitan: Pertunjukan Koleksi Louis Vuitton Cruise 2027 Tampil Di Luar Jangkaan