Menyorot pasangan berpengaruh dari Asia Tenggara, GLAM mengupas keserasian gaya dan visi tanpa jurang buat ‘power couple’ yang membentuk identiti industri fesyen kini.
Tarikan sebenar tidak sentiasa datang daripada individu semata-mata, tetapi juga daripada keserasian dua personaliti yang bergerak dalam ritma yang sama. Dalam fesyen, hiburan dan budaya popular di Asia Tenggara, muncul pasangan pasangan yang membina empayar bersama, merapatkan jurang antara cinta dan ambisi. “No Swag Gap” bukan sekadar frasa, tetapi refleksi generasi moden yang berkongsi visi, menyelaraskan identiti serta mengaburkan garis antara peribadi dan profesional. Mereka bukan hanya pasangan, tetapi satu entiti kolektif yang memancarkan karisma, konsistensi dan pengaruh yang sukar ditandingi.
Alyssa Daguisé dan Al Ghazali
Deretan Stylish Couple Yang Menguasai Fesyen Kini
Di tengah naratif ini, Scha Alyahya dan Awal Ashaari berdiri sebagai antara pasangan paling berpengaruh di Malaysia yang memahami bahasa gaya dengan begitu intuitif. Estetika mereka berakar pada minimalisme yang diperhalusi, dengan siluet tailored dan helaian pereka yang sentiasa terasa tepat tanpa perlu berlebihan. Setiap penampilan memperlihatkan keselarasan yang cukup effortless, yang mana kedua-duanya seolah berkongsi naluri estetika yang sama. Tampilan mereka di acara minggu fesyen atau sering kali diperlihatkan bekerja dengan deretan jenama terkemuka termasuk Fendi, Bvlgari, Giorgio Armani serta banyak lagi, mengukuhkan lagi status sebagai “IT-Couple” yang bukan sahaja mencerminkan selera fesyen semasa, tetapi juga mempengaruhi arah pergerakan runcit mewah tempatan dan juga antarabangsa.
Scha Alyahya dan Awal Ashaari
Tenaga yang lebih segar pula dapat dirasai melalui Syifa Hadju dan El Rumi dari Indonesia, yang membawa pendekatan gaya yang moden dan tidak dibuat-buat. Penampilan mereka di New York Fashion Week bersama Coach memperlihatkan keserasian visual yang terasa ringan tetapi berlapis, dengan padanan yang harmoni dan relevan dengan generasi kini. Dalam nada yang sama, Alyssa Daguisé dan Al Ghazali menjadi pasangan dari Indonesia lain yang terus mengukuhkan kehadiran mereka di dalam dunia fesyen melalui kempen serta acara berprofil tinggi, menjadikan hubungan mereka satu lanjutan kepada dunia kreatif yang dibina bersama.
Syifa Hadju dan El Rumi
Sementara itu, pasangan Bianca Umali dan Ruru Madrid dari Filipina sering dirujuk sebagai antara Asia’s Most Stylish Couple, dengan tampilan gaya yang nyata konsisten dan terarah dalam landskap gaya serantau. Estetika ‘casual to cool’ menjadi signatur mereka yang bergerak antara keselesaan dan penuh pesona, menyuntik keserasian pada setiap imej pasangan ini. Penampilan mereka turut memperlihatkan kesinambungan identiti yang jelas, menjadikan mereka satu duo yang bukan sahaja relevan, tetapi juga memikat dalam membentuk naratif ‘power couple’ yang moden dan berkeyakinan.
Berbeza pula dengan naratif yang lebih polished dan berorientasikan kemewahan, Davika Hoorne dan Ter Chantavit sering dirujuk sebagai “The Gucci Couple” dari Thailand. Hubungan mereka berkembang selari dengan estetika rumah fesyen Gucci, termasuk penglibatan dalam kempen bersama serta momen peribadi seperti busana perkahwinan yang direka khas oleh jenama tersebut. Kesatuan imej dan naratif yang dibina menjadikan mereka simbol kepada hubungan yang bukan sahaja romantis, tetapi juga aspiratif.
Davika Hoorne dan Ter Chantavit
Keserasian yang terhasil terasa tepat dan selari, di mana setiap ‘It-Couple’ hadir dengan ketepatan yang sukar ditiru. Deretan pasangan dari Asia Tenggara ini membuktikan bahawa dua identiti boleh bergerak seiring tanpa saling mengatasi, lantas mencipta satu kehadiran yang terasa lengkap.