Daripada motif quilted yang ikonik hingga kempen filem Hide and Seek, COCO CRUSH menghidupkan seni pertukangan dan ekspresi gaya yang sentiasa berkembang, disempurnakan dengan inspirasi menggayakan koleksi ini dalam pelbagai interpretasi.
Ada rekaan yang memukau kerana kilauan dan ada yang kekal dalam ingatan kerana bahasa rekaannya. Selama lebih sedekad, COCO CRUSH berkembang sebagai salah satu ekspresi paling jelas tentang identiti CHANEL Fine Jewelry, berpaksikan motif quilted yang diwarisi daripada Gabrielle Chanel dan beg ikonik 2.55. Garis-garis berpotongan yang diukir pada permukaan emas menjadikan setiap barang kemas hadir dengan ritma tersendiri, mengimbangi kelembutan bentuk bersama ketepatan seni pertukangan. Ia adalah sebuah kod visual yang mudah dikenali, sentiasa relevan merentasi masa dan membentuk tatabahasa gaya yang terus berevolusi tanpa mengorbankan akar warisannya.
CHANEL COCO CRUSH Kekal Sebagai Ikon
Tahun 2026 membuka lembaran baharu buat COCO CRUSH melalui eksplorasi yang lebih organik terhadap pergerakan tubuh. Antara yang diperkenalkan oleh Studio Kreatif CHANEL Fine Jewelry termasuk rantai leher pendek dan choker yang tampil dengan struktur lebih fleksibel, membolehkan emas memeluk lekuk tubuh secara semula jadi. Kejuruteraan halus di sebalik jalinan mesh bersama sistem pengunci gelongsor menghasilkan siluet yang kemas, ringan dan terasa hampir seperti sebahagian daripada pemakainya sendiri. Dihadirkan dalam rona beige gold, emas kuning mahupun emas putih bertatahkan berlian, himpunan barang kemas ini memancarkan aura keyakinan yang lahir daripada kesederhanaan garis, bukannya kemewahan yang dipamerkan secara berlebihan. Di sini, kelembutan menjadi bahasa baharu yang menghidupkan setiap gerakan.
Fleksibiliti koleksi COCO CRUSH terus diterjemahkan menerusi rekaan anting-anting transformasi yang boleh digayakan dalam dua interpretasi berbeza. Versi panjang mengalir anggun mengiringi wajah, manakala versi pendek membawa tenaga yang lebih kontemporari dengan sentuhan rock yang halus. Ia nyata mencerminkan falsafah Gabrielle Chanel yang sejak awal lagi dalam memperjuangkan kebebasan bergerak dan keselesaan sebagai sebahagian daripada kemewahan. Setiap helaian tidak lagi terikat kepada satu cara pemakaian, sebaliknya memberi ruang kepada pemiliknya menentukan identiti sendiri mengikut rentak kehidupan, suasana dan gaya yang diingini.
Koleksi COCO CRUSH turut diraikan menerusi kempen filem ‘Hide and Seek’ yang berlatarbelakangkan Chateau Marmont. Jennie dan Gracie Abrams menjadi wajah hadapan kempen yang bermain dengan idea pencarian, pertemuan dan kejutan-kejutan kecil yang meninggalkan kesan mendalam. Lorong-lorong sunyi dan ruang tersembunyi bertukar menjadi pentas kepada momen yang intim, seolah-olah barang kemas ini menyimpan kisah yang hanya menunggu untuk ditemukan. Setiap rekaan hadir sebagai lanjutan kepada personaliti pemakainya, membawa cerita yang terus berkembang mengikut setiap langkah. Dengan karakter yang begitu versatil, COCO CRUSH membuka ruang kepada pelbagai interpretasi gaya, daripada penampilan yang bersahaja hingga ekspresi yang lebih berani.
Lima Interpretasi Menggayakan CHANEL COCO CRUSH
1. Mini But Many
Gandakan pesona Mini Crush dengan menyarung dua, tiga atau empat cincin COCO CRUSH Mini dalam variasi rona emas, sama ada polos mahupun bertatahkan berlian, merentasi jari atau kedua-dua belah tangan.
Gabungkan ketiga-tiga saiz cincin COCO CRUSH pada beberapa jari di kedua-dua belah tangan, untuk menghasilkan komposisi gaya yang lebih dinamik.
3. All For 1
Susun beberapa cincin COCO CRUSH pada satu jari dengan gabungan saiz, rona emas dan sentuhan berlian untuk mencipta gaya yang lebih berani serta berdimensi.
4. Toi et Moi Together
Gabungkan dua cincin COCO CRUSH Toi et Moi pada jari yang sama atau berbeza untuk penampilan yang moden dan penuh karakter.
5. Total Look
Himpunkan pelbagai helaian COCO CRUSH dalam satu penampilan dengan menggabungkan cincin, gelang, anting-anting dan rantai leher untuk gaya yang tampil berani serta elegan.