Baguette Re-Edition 2026 oleh Fendi hadir sebagai simbol identiti moden yang bebas ditafsir, meraikan personaliti wanita yang kompleks, intim dan tidak pernah terikat pada satu definisi.
Fendi memperkenalkan Baguette Re Edition 2026 yang bukan hanya hadir sebagai kemunculan semula sebuah beg ikonik, tetapi sebagai refleksi tentang identiti wanita yang tidak pernah hadir dalam satu definisi tetap. Inspirasi koleksi ini lahir daripada momen intim antara Marilyn Monroe dan Truman Capote di New York City. Dalam memoir A Beautiful Child, Marilyn digambarkan berjalan tanpa solekan, rambut dibalut skarf sifon serta tidak dikenali sesiapa ketika menyusuri South Street Pier. Di dalam tas tangannya tersimpan biskut yang dicuri dari restoran untuk diberi kepada burung camar, satu perincian kecil yang memperlihatkan sisi dirinya yang paling jujur. Dalam momen sederhana itulah, Truman Capote melihat Marilyn yang sebenar, bukan simbol glamor yang dipuja dunia. Tas tangannya menjadi metafora kepada personaliti dan ruang paling intim yang menyimpan lapisan karakter yang tidak dapat dibaca melalui penampilan luaran.

Fendi Baguette Re Edition 2026 Meraikan Personaliti Dalam Pelbagai Sisi
Hampir tiga dekad selepas kelahirannya pada tahun 1997, Baguette kembali dengan pendekatan yang lebih berani di bawah arahan kreatif Maria Grazia Chiuri. Dengan pelbagai versi yang diperkenalkan, Baguette Re Edition 2026 menolak idea tentang satu identiti tunggal. Sebaliknya, ia membuka ruang untuk setiap wanita mencipta definisinya sendiri tanpa perlu berpandukan model yang telah ditetapkan. Melalui pendekatan ini, Fendi mengangkat idea bahawa personaliti bukan sesuatu yang perlu disembunyikan atau diseragamkan. Ia boleh hadir dalam pelbagai bentuk, berkilau atau terkawal, kemas atau tidak terjangka, dramatik atau minimal. Dalam dunia yang sering menilai wanita melalui imej yang sempurna, koleksi ini hadir dengan mesej yang lebih bebas bahawa personaliti itu sendiri adalah bentuk kecantikan yang paling jujur.

Di sebalik naratif tersebut, koleksi Baguette turut berdiri sebagai simbol ketelitian seni pertukangan yang terus berkembang bersama masa. Sejak diperkenalkan pada akhir 1990-an, Fendi membentuk identiti Baguette melalui pendekatan reka bentuk yang sentiasa membuka ruang baharu buat eksplorasi material dan teknik buatan tangan. Dari awal lagi, visi ini menemukan hubungan semula jadi bersama Chanakya menerusi kolaborasi yang diasaskan atas nilai inovasi dan kecemerlangan kraf. Bersama, kedua-duanya membentuk dialog antara warisan dan pembaharuan, lantas menjadikan koleksi ini seolah simbol kepada seni yang terus hidup merentasi generasi. Kolaborasi ini juga kembali kepada akar asalnya dengan menghidupkan semula beberapa rekaan awal melalui sentuhan tangan yang penuh sensitiviti dan ketelitian, memperlihatkan bagaimana warisan mampu bergerak seiring evolusi moden tanpa kehilangan jiwanya.

Melalui koleksi ini, Fendi sekali lagi menegaskan bahawa fesyen bukan hanya tentang objek keinginan, tetapi satu bentuk bahasa yang menyampaikan idea yang sentimental. Baguette Re Edition 2026 menjadi refleksi tentang kebebasan untuk menjadi diri sendiri tanpa perlu menjelaskan siapa diri sebenar kepada dunia. Seperti persoalan yang pernah diajukan Marilyn, “Jika seseorang bertanya siapa diri saya yang sebenar, apa jawapan kamu?” mungkin jawapannya tidak pernah terletak pada imej luar, tetapi pada segala sisi diri yang disimpan dalam diam dengan sebuah tas tangan.

Artikel berkaitan: Pertemuan Kontemporari-Klasik Dalam Himpunan Beg Ikonik Fendi