fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
Sazzy Falak, The It-Woman
Taking Matters Into Her Own Hands, Gigi ‘Halau’ Model Lain Di Pentas Peragaan Chanel
20 Gaya Terbaik Selebriti Di Tayangan Perdana Filem Barbie
10 Gaya Terbaik & Menyerlah Di Anugerah Tony 2021
Barisan Personaliti Tempatan Turut Menghadiri Pertunjukan Coach S/S ’19
Home > Fesyen > Kod Gerobok Fesyen Sebagai Cerminan Identiti Diri

Kod Gerobok Fesyen Sebagai Cerminan Identiti Diri

Padanan busana seolah bisikan jiwa, menari melalui pemilihan cita rasa dan gaya yang mendedahkan identiti diri tanpa perlu berbicara.

Dalam lensa dunia editorial, pakaian tidak pernah hadir sebagai sesuatu yang kosong. Ia adalah refleksi ‘tanpa suara’ yang membawa makna, menyampaikan emosi dan mengungkap sisi diri yang kadangkala sukar diterjemahkan melalui kata-kata. Setiap helaian yang disarungkan menjadi cerminan kepada mood mahu pun prinsip, malah cara seseorang melihat dunia di sekelilingnya. Terdapat kumpulan penggemar fesyen yang meminati kod pakaian chic, ada yang terdorong kepada gaya avant-garde gelap dan berani, dan ada juga yang mewarnai gerobok pakaian mereka dengan sentuhan whimsical. Tanpa disedari, setiap busana yang dipadukan sebenarnya sedang berbicara bagi pihak diri kita.

How Your Outfit Speaks About Yourself?

Ada hari kita memilih sesuatu yang minimal dan bersih, seolah menggambarkan keinginan untuk tenang dan tidak terganggu. Ada pula ketika kita ingin tampil lebih berani dengan rona terang atau siluet dramatik yang menjadi pilihan, lantas mencerminkan keyakinan dan keinginan untuk diraikan. Dalam konteks gaya peribadi, cara berpakaian sebegini bukan sekadar trend, tetapi bahasa visual yang memperlihatkan lapisan emosi manusia yang sentiasa berubah. Justeru, tidak hairanlah jika personal style sering dianggap sebagai satu bentuk identiti yang terus hidup dan sentiasa berkembang seiring perjalanan diri.

Menariknya, perspektif ini turut dapat dilihat dalam dunia rumah fesyen mewah, di mana setiap koleksi membawa suara yang berbeza mengikut individu di belakangnya. Begitu juga dengan sesebuah koleksi daripada setiap jenama terkemuka oleh seseorang pereka. Contohnya, Chanel kini tampil lebih segar dan cukup mempersonakan di bawah naungan Matthieu Blazy, yang menghadirkan pendekatan lebih lembut dan moden tanpa menghilangkan sentuhan klasiknya. Estetika yang diolah terasa lebih ringan dan bernada segar, seolah mengajak wanita untuk bergerak bebas dalam gaya yang tetap elegan tetapi tidak terlalu terikat dengan struktur lama.

Begitu juga dengan perbezaan di rumah fesyen Dior oleh Jonathan Anderson yang kini diberi nafas baharu namun kekal berakar pada DNA romantisisme dan kehalusan seni rumah tersebut. Pengarah Kreatif ini memperkenalkan pendekatan yang lebih intelektual dan artistik, menjadikan setiap helaian busana seolah karya yang mempunyai cerita tersendiri. Sementara itu, Gucci di bawah Demna pula tampil dengan aura yang lebih berani, sensual, eksperimental dan penuh dengan komentar budaya, yang mana memperlihatkan sisi fesyen yang lebih lantang dan penuh provokasi. 

Apa yang dapat dirumuskan daripada peralihan ini adalah satu hakikat yang cukup jelas. Hal ini membuktikan bahawa setiap manusia, seperti mana setiap pengarah kreatif, memiliki identiti tersendiri yang terpancar melalui pilihan cita rasa mereka. Di mana, pakaian seperti cermin bisu tentang siapa diri kita dan bagaimana kita ingin dunia menafsirkannya. Setiap rumah fesyen turut memiliki identiti tersendiri di bawah arah tuju pengarah kreatif yang berbeza, begitu jugalah manusia dengan gaya peribadi mereka. Tiada satu definisi yang mutlak tentang apa itu ‘gaya yang betul’ kerana setiap pilihan datang daripada pengalaman, latar belakang dan jiwa berbeza yang mempengaruhi cita rasa buat setiap individu.

Akhirnya, gaya yang ditampilkan bukan hanya tentang busana, tetapi cara kita menyampaikan identiti diri sendiri. Pilihan warna, siluet, tekstur mahupun deretan aksesori menjadi bahasa halus yang mendedahkan identiti, mood dan aspirasi kita tanpa perlu bersuara. Setiap helaian yang disarungkan memberi petunjuk tentang siapa kita, apa yang kita hargai dan bagaimana kita ingin dilihat oleh dunia. Ia adalah medium ekspresi sebagai satu bentuk pengenalan diri atau first impression, tetapi diterjemah melalui setiap padanan yang digayakan.