Gabungan Avant-Garde Dan Atletisme, Buat Koleksi Balenciaga x Puma - Glam Malaysia

Gabungan Avant-Garde Dan Atletisme, Buat Koleksi Balenciaga x Puma

Kolaborasi Balenciaga x PUMA menyatukan warisan sukan dan visi fesyen kontemporari dalam himpunan high fashion yang merentasi fungsi, seni dan inovasi.

Koleksi Musim Sejuk 2025 menyaksikan penyatuan luar biasa antara dua label popular, Balenciaga dan PUMA menerusi kolaborasi yang menyuntik nafas baharu dalam persimpangan fesyen berkonsep tinggi dan warisan pakaian sukan berprestasi. Di persimpangan antara gaya avant-garde yang menjadi DNA Balenciaga dan kepakaran teknikal dalam rekaan pakaian sukan oleh PUMA, ia menampilkan himpunan koleksi dengan kesatuan fungsi teknikal dan estetika tinggi. Rekaan yang diperkemas dengan potongan praktikal, mendefinisikan semula pakaian aktif kontemporari, lantas menandakan era baharu dalam lanskap fesyen moden yang nyata berani, ikonik dan berwawasan.

Balenciaga x PUMA: Apabila Gaya Avant-Garde Bertemu Warisan Sukan Ikonik

Dilancarkan secara rasmi dalam kempen khas dari lensa jurufoto terkenal, Ari Versluis, yang terkenal menerusi siri “Exactitudes” Spring 26 lookbook Balenciaga oleh Demna, kolaborasi ini mempersembahkan visual kontras yang menarik dengan tampilan barisan model seperti Diede, Tianee, Brooks, Yav dan Joe. Mereka memperagakan helaian dari koleksi ini dengan gaya penuh tenaga ‘gabber dance’, diiringi alunan lembut lagu ikonik Françoise Hardy, ‘Tous Les Garçons et Les Filles’. Ia nyata membawa sebuah naratif visual yang menyatu antara kekuatan gerak tubuh, keanggunan muzik serta pakaian dengan nilai teknikal yang tinggi.

See also
KLFW RTW '17: FARAH KHAN

Deretan kasut dalam kolaboratif ini membawa kembali kasut Speedcat yang menjadi ikon PUMA, diperkenalkan sejak pada tahun 1999 yang kini dihadirkan dalam bentuk rekaan baharu. Versi “Destroyed Speedcat” dilucutkan dari elemen struktur asal untuk mencipta rasa seperti sarung kaki, lengkap dengan Formstrip yang terputus yang diinterpretasi moden kepada motif asal tahun 1958. Satu varian slip-on diperbuat daripada kulit lembut tanpa tali, manakala rekaan Balenciaga dan PUMA Ballerina menyatukan elemen Speedcat dengan bentuk klasik flat satin balet.

Koleksi pakaian pula menampilkan set sukan teknikal dari material molleton kering ekstra dengan perincian lambang singa Balenciaga, lantas memberi penghormatan kepada sut pemanas pemain bola sepak era dahulu. Jaket shearling dan kot bathrobe suede trompe-l’œil turut menghiasi koleksi, memperkenalkan gaya yang bernada antara sukan dan kemewahan. Item fesyen lain turut merangkumi tracksuit nilon era 90-an, hoodie, t-shirt dan celana pendek dalam siluet fitted, medium dan oversized. Kesemuanya dihiasi dengan grafik gabungan logo Balenciaga dan PUMA.

See also
Keajaiban Miu Miu Holiday 2024 Bersama Emma Corrin

Keseluruhan koleksi ini bukan sekadar sebuah gandingan dua jenama, tetapi manifestasi penuh estetika teknikal yang mengaburkan sempadan antara pakaian praktikal dan seni avant-garde. Kini, ia boleh diterokai di butik terpilih Balenciaga seluruh dunia atau secara atas talian.

Artikel Berkaitan: Pierpaolo Piccioli Buka Lembaran Baharu di Balenciaga