GLAM HIJAB 2022, Pesona Ameera Khan - Glam Malaysia

GLAM HIJAB 2022, Pesona Ameera Khan

PENGARAH KREATIF: AIZAT AIDID, PENGARANG RENCANA : ZUHAIRIE SAHROM, PENGARANG FESYEN: JOHAN KASSIM, ARAHAN SENI: AMIRUL ARIFFIN, GAMBAR : CHEE WEI, SOLEKAN : KHIR KHALID, PENATA GAYA HIJAB : NAZLIVINGSTYLE

“Terlebih dahulu saya tidak memanggilnya perjalanan berhijab. Kerana ia lebih kepada perjalanan untuk memelihara nuansa pemakaian. Lantas ia bakal menoktahi penampilan dengan memakai hijab.” — Ameera Khan

Apakah perkembangan terkini yang ingin dikongsikan bersama pembaca?

Selepas LMK Cosmetics dan LMK Choco Loco kemudian minuman teh herba Kucaté yang direncanakan bersama famili; Ameera kini sedang mengusahakan cabangan bisnes baharu. Ia masih dalam proses pengembangan produk yang bakal diusahakan bersama beberapa teman rapat. Tahun ini saya bercadang untuk mendepani risiko lantas melakukan apa jua yang sudah terbuku di benak fikiran yang sebelum ini diselubungi rasa sangsi serta takut untuk mencari peluang berniaga. Sekiranya gagal, Ameera akan mencuba untuk menemukan haluan bisnes lainnya.

Sesuatu yang menarik mengenai diri?

Saya sebenarnya seorang individu yang mementingkan privasi dan tidak suka menceritakan hal peribadi termasuk mengenai kucing, Darling atau apa jua yang berkaitan dengan famili. Jadi apa yang kalian lihat di Instagram menerusi postings itu tidak sampai 10 peratus mengenai kehidupan sebenar saya. Hobi saya antaranya menunggang kuda 3 sehingga 4 kali seminggu sekiranya berpunya peluang. Saya diperkenalkan dengan dunia menunggang kuda sejak saya masih kecil tetapi berhenti seketika. Saat memasuki dunia selebriti ini, Ameera kembali aktif kerana dilanda keresahan dan menunggang kuda memberi sumber ketenangan untuk menepis negativity. Saya juga mencintai alam semula jadi, gemar meluangkan masa dengan berjalan di kawasan taman rekreasi berhampiran rumah di waktu pagi. Namun, saya benci apa jua yang berkaitan dengan air, seperti lautan atau air terjun.

Apakah haiwan pilihan sekiranya Ameera berpeluang untuk bertukar kehidupan?

Sudah pastinya kucing. Saya dan Darling berpunya karakter yang sama. Dia adalah seekor kucing yang relaks dan tidak mempedulikan orang sekeliling selain saya. Darling, kucing manja yang sukanya mencari perhatian juga dibelai penuh kasih sayang.

Dikenali sebagai seorang giver atau pemurah, apakah pemberian terakhir Ameera?

Saya memberikan seseorang sejambak bunga yang berpunya 100 kuntuman bunga ros merah…

See also
Keluarga Kardashian Mendahului Carta Gaya Krismas!

Kongsikan dengan GLAM perjalanan Hijab Ameera…

Terlebih dahulu saya tidak memanggilnya perjalanan berhijab. Kerana ia lebih kepada perjalanan untuk memelihara nuansa pemakaian. Lantas ia bakal menoktahi penampilan dengan memakai hijab. Jelas sekali itu adalah matlamat dan Ameera mulakan tanpa ada rasa paksaan. Bahkan tidak mahu tergesa-gesa kerana kuatir sekiranya keikhlasan untuk menutup aurat adalah kerana paksaan, nescaya ia bakal tergendala di kemudian hari. Tujuan saya memasang niat untuk mula memelihara penampilan adalah kerana sebelum ini saya tidak ada rasa segan untuk menyarungkan apa jua gaya persalinan. Jadi Ameera seperti mahu memperbaiki versi diri yang baik dengan memulakan kembara untuk mengenakan persalinan yang lebih polos, longgar; juga disertakan dengan aksesori kepala seperti selendang, topi, turban, skarf dan sebagainya. Saya menggariskan usaha untuk menutupnya sedikit demi sedikit. InsyaAllah satu hari nanti Ameera bakal menutupi aurat 100 peratus. Saya tahu orang sekeliling, tambah lagi para pengikut di Instagram mendoakan kembara saya untuk menemukan versi diri yang lebih sempurna saban hari dan saya berterima kasih atas dorongan semuanya. Paling penting, kedua ibu bapa saya tidak berkata apa-apa yang negatif, malah menyokong usaha saya sejak hari pertama sehingga ke hari ini.

Sebarang stigma terhadap Hijabi yang anda ingin ubah..

Sudah tentu, bagi seseorang individu yang mula hendak berhijab; saya ingin mengolahkan pelbagai cara untuk tampil melengkapi nuansa pakaian. Aksesori untuk menutup kepala itu pelbagai dari selendang, topi dan sebagainya. Jika sebelum ini hanya punya rambut untuk digayakan, aksesori untuk menutup rambut menjadi rincian untuk melengkapkan keseluruhan penampilan. Lantas, kita bakal tampil lain dari yang lain kerana jika hanya rambut tiada apa yang istimewa dengannya. Tetapi sekarang saya mempunyai sesuatu di kepala untuk digayakan, sekali gus mempraktikkan perlahan-lahan untuk menutup aurat dengan sempurna.

Saat paling mencabar dalam mendepani ketidakpastian kehidupan? 

Mencari, mengenal diri sendiri masih menjadi cabaran buat saya sehingga ke hari ini. Saya masih muda dan bakal melangkah ke usia 22 tahun pada Disember ini dan masih tercari identiti serta kualiti diri dalam kedudukan ini. Ameera merasakan hidup ini tiada kepastian jadi saya perlu sentiasa bersedia untuk mendepani kesulitan dan ikhlas dengannya. Saya adalah individu yang tidak gentar untuk mengambil risiko saling tidak tumpah seperti seorang pengembara dan melakukan sesuatu perkara secara spontan.

See also
3 Kempen Fesyen Musim Bunga 2023 Wajib Anda Kenali

Jika tidak menjadi celebrity influencers, apa yang bakal diceburi?

Saya mungkin akan melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi dan Ameera akan berniaga kerana ia ada dalam darah serta identiti keluarga. Saya mahu menjadi seorang usahawan yang menjalankan perniagaan dalam skala yang besar dan mempunyai orang lain sebagai muka jenama kerana mahu menjaga privasi diri.

Bagaimana Ameera ingin dikenali?

Kemurahan hati dan kebaikan saya terhadap sesiapa pun.

Apakah sesuatu yang orang sering salah tafsir mengenai diri?

Cara saya menggambarkan diri saya dalam Instagram adalah sama sekali bertentangan secara realitinya. Ameera adalah seorang yang ceria dan suka ketawa, dan anda tidak melihatnya dalam Instagram kerana saya sentiasa dilihat tegas. Orang fikir saya sombong dan kadang-kala dalam hidup anda perlu ada sedikit sifat ini supaya tidak ada yang pijak kepala anda.

The perfect 10?

Kakak saya, Neelofa. Tidak hanya dianugerahkan rupa paras yang sempurna, kakak juga punya intelektual yang hebat. Dia mengajar saya banyak perkara, antaranya untuk tidak tergesa-gesa dalam apa jua yang hendak diusahakan. Dia tidak pernah sekali kedekut untuk berkongsi ilmu dengan saya, famili atau dengan sesiapa pun. Saya berasa bertuah untuk menjadi saksi melihat bagaimana empayarnya bermula dari kosong sehingga seratus.

Gaya fesyen ideal buat Ameera?

Saya seorang yang memuja nada minimalis. Jam tangan adalah antara item asas bagi melengkapi apa jua persalinan. Ayah merupakan seorang pengumpul serta pemuja jam tangan dan secara naturalnya Ameera menaruh minat yang sama padanya. Kami berkongsi, sebenarnya hanya saya seorang yang mempunyai minat yang sama dengan ayah mengenai kereta dan jam tangan. Timepiece is all I care about in my outfit honestly. Jika hari-hari kebiasaan saya selesa menyarungkan jubah dan selendang atau memakai hoodie dan sweatpants kerana memudahkan langkah.

Ikon fesyen Ameera?

Saat ini adalah Matilda Jerf, seperti yang dipaparkan menerusi Instagram dia tampil effortless dalam apa jua persalinan.

See also
Chrissy Teigen Memecah Rekod Dunia?

Item esensial fesyen buat Ameera?

Nombor satu adalah jam tangan, tidak kira lah kalau ia berpunya gaya maskulin atau tampil sedikit besar. Kemudian topi dan kasut sniker.

Pembelian terbaru…

Barang kemas adalah pembelian yang terbaru juga terbaik saat ini.

What is your fashion wildest dream?

Barangkali berpunya kolaborasi untuk mengolah persalinan adibusana di pentas fesyen adibusana di Paris.

Bagaimana Ameera mengolahkan gerobok pakaian agar tampil lebih modest?

I wear sets a lot. Contohnya, kemeja dan celana, hoodie dan sweatpants. Baju-baju terdahulu masih bergantungan kemas. Sekiranya punya masa terluang dan bosan di rumah, saya akan menyarungkan ceraian-ceraian pakaian itu hanya di rumah kerana mempunyai kebebasan untuk memakai apa jua yang diinginkan.

Bagaimana pula rejim kecantikan harian Ameera?

Saya tidak mempunyai rutin penjagaan kulit wajah yang kompleks. Namun, masih mempunyai rutin penjagaan kulit yang kini agak kucar-kacir sebenarnya. Ia bergantung pada mood dan apakah rincian pada hari berkenaan. Perkara pertama yang saya tidak pernah terlepas adalah memakai krim pelindung matahari dan mask muka. Selain itu, mengoleskan ais pada wajah pada setiap pagi bertujuan untuk melancarkan perjalan darah serta mengecilkan pori-pori di kulit wajah. Ameera adalah jenis individu yang tidak memakai banyak produk dan selesa memakai produk atau mempunyai rutin asas kerana berpunya rutin yang konsisten adalah jauh lebih penting dari berpunya puluhan produk atau langkah rejim kecantikan.

Produk kecantikan terbaik?

Sejujurnya pelembab muka dari Chuck’s. Sejak diperkenalkan, saya tidak menggunakan jenama lain hanya menggunakan Lumi untuk serum dan produk lainnya dari Chuck’s. Termasuk pembersih, pelembap, pelindung matahari, mask muka. Saya mempunyai kurang daripada 10 tetapi sudah pasti lebih daripada lima produk dan produk penjagaan wajah digunakan sebagai solekan. Ameera hanya akan mengoleskan pemerah pipi untuk menambah rona atau senang kata untuk mempertingkatkan seri wajah. Selain itu, lip balm adalah produk wajib dan sentiasa dalam tas tangan.

Bagaimana pula dengan rambut?

Saat ini Ameera lebih menitikberatkan penjagaan rambut berbanding dahulu. Saya akan melakukan rawatan 2 ke 3 kali seminggu di COCOdry dan pastikan rambut sudah benar-benar kering sebelum tidur.