GLAM Persona: Scha Alyahya GLAM's Coolest Fashion Icon - Glam Malaysia
scha alyahya

GLAM Persona: Scha Alyahya GLAM’s Coolest Fashion Icon

DIA MERUPAKAN IKON FESYEN TANAH AIR. MENJADI SUMBER RUJUKAN PARA SELEBRITI SERTA PEMINAT JUGA KELOMPOK FESYEN TEMPATAN. ITU TIDAK DIRAGUI LAGI. NAMUN, ISU OGOS BERSAMA SCHA ALYAHYA KALI INI MENDASARI KESEDARAN TERHADAP KESIHATAN MENTAL.

TEKS: ZUHAIRIE SAHROM ARAHAN SENI & PENGARANG FESYEN: JOHAN KASSIM GAMBAR: CHEE WEI SOLEKAN: KHIR KHALID DANDANAN: VV CHAN

scha alyahya
SCHA ALYAHYA DALAM PERSALINAN PRADA

Siapa yang tidak kenal dengan wanita yang penuh karisma ini. Sharifah Nor Azean binti Syed Mahadzir Alyahya, yang lebih mesra dengan nama pentasnya Scha Alyahya, 38, merupakan model, pelakon dan pengacara. Paling utamanya, dia melayari bahtera rumah tangga dan bahagia bersama suami tercinta, Awal Ashaari yang bakal memasuki usia 40 tahun Ogos ini. Semoga Allah S.W.T memberkati mu dengan kesihatan yang baik, masa depan yang cerah dan hari-hari yang menyenangkan. Selamat ulang tahun Awal! Together they are a strong, power couple! Itu tidak boleh dinafikan lagi. Pasangan bahagia ini juga baru menimang cahaya mata kedua, Lyla Amina, yang lahir pada 12 Februari yang lalu. Puteri sulungnya pula, Lara Alana, genap memasuki usia tujuh tahun pada 22 Julai; pada hari yang sama perbualan kami berdua dirakamkan menerusi temubual di telefon. Kali terakhir Scha menghiasi wajah hadapan GLAM pada isu September tahun 2017 yang mengangkatnya sebagai ikon fesyen tanah air. Kemudian, visual Scha dirakam di samping suami bagi isu Februari 2018 bersama GLAM Lelaki. Lalu, mengupas perjalanan cinta, kerjaya serta stail kedua personaliti hebat ini.

PERSALINAN VERSACE

Berpunya 5.8 juta pengikut di Instagram, Scha bijak menjaga lantas mengolahkan gaya peribadi lalu tidak segan menggunakan khidmat penata gaya bagi mengimbangi persalinannya. Tidak mustahil mengapa sehingga saat ini Scha masih dijulang sebagai ikon fesyen terkemuka tanah air. Gayanya menjadi rujukan buat para selebriti, rakan artis juga kelompok fesyen tempatan. Selain itu, pasangan selebriti ini juga diterbangkan khas bagi menghadiri pementasan fesyen di Milan, Paris serta New York. Kerjasama yang diberikan oleh Scha ternyata hebat. Manakan tidak, sehingga ke hari ini label fesyen mewah antarabangsa masih berpusu ingin melihat Scha menggayakan persalinan mereka di karpet merah, di acara sosial mahupun menghiasi kempen fesyen khas mereka. Dari Louis Vuitton, Dior beralih ke Prada, Gucci, Fendi, juga Bonia ingin berkolaborasi bersamanya. Beg tangan yang diolah Scha bersama Bonia yang tampil buat koleksi Raya yang lepas berjaya merubah pandangan umum. Bonia sememangnya cukup popular di kalangan ibu-ibu kita. Sasarannya lebih kepada kelompok yang lebih matang. Akan tetapi, beg tangan yang ditampilkan menepati arus gaya masa kini yang sofistikated lagi chic. Terbaru, Scha turut membintangi kempen arloji bersama Hublot Malaysia mengenakan jam tangan Hublot Big Bang One Click lantas membayangi pesonanya yang tiada tandingan.

KARDIGAN KAIT SALVATORE FERRAGAMO

Membicarakan soal kesihatan mental, GLAM bertanyakan jika Scha berpunya pendapatnya yang tersendiri. “Bagi Scha, kesihatan mental adalah berkaitan dengan kesejahteraan seseorang dari segi emosi, kehidupan dan sebagainya. Cara kita berfikir, bertindak, menghadapi masalah dan cara mengatasinya. Contohnya, dengan masalah yang negara kita hadapi sekarang ini, tipu kalau ia tidak mempengaruhi setiap individu. Scha juga terkesan dengan apa yang berlaku kepada negara kita sekarang ini. Pernah beberapa kali Scha sedih yang keterlaluan lalu menitiskan air mata secara tiba-tiba. Ketika itu Awal tiada di rumah, jadi Scha menghubungi teman rapat. Ia berlaku bulan lepas, teman Scha terkejut kerana tiba tiba sahaja Scha breakdown. Perasaan kala itu bercampur aduk. Ada rasa risau, rasa sesak, ia seperti suatu perasaan yang kita tidak boleh jelaskan, hanya kita sahaja yang faham perasaan itu.

See also
Beg Cilik Ini Bakal Menjadi Penghuni Almari Anda

Mungkin perasaan itu timbul kerana tekanan suasana sekeliling, keadaan luar yang tidak terkawal. Apabila Awal pulang ke rumah, beliau menenangkan Scha dan bila Scha kembali tenang. Bagi Scha kesihatan mental adalah bagaimana anda menangani masalah diri sendiri, bagaimana anda sedar bahawa anda sebenarnya di fasa ketidakstabilan mental, dan cara anda memahami situasi tersebut. Yang membuatkan Scha boleh menjaga diri sendiri sehingga sekarang ini adalah Scha akan memberitahu pada diri sendiri bahawa semuanya akan okay, jangan bencikan diri sendiri jika terasa sedih yang keterlaluan, jangan bencikan diri jika jadi terlalu sensitif dengan tekanan sekeliling. Tidak dinafikan Scha sedih dan emosi terganggu kerana tiada panggilan kerja, semuanya serba tidak kena, tidak boleh buat apa-apa. Tetapi Scha akan cuba berfikiran positif dengan melakukan aktiviti bersenam, tidur secukupnya, kawal pemakanan, baca buku dan sebagainya. Tambahan, sebagai seorang ibu, Scha perlu mengawal perasaan dan fikiran demi anak-anak.”

Baca lanjut dalam GLAM Ogos 2021

Pautan Berkenaan: GLAM Persona: Siti Saleha The Screen Siren

See also
Datin Intan Najuwa: Setiap Hari Saya Bahagia Apabila Bersama Si Dia