fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
Kolaborasi Khas Lancôme x The Devil Wears Prada 2
Helah Rambut Cantik Dan Lebat
Kekal Muda Tak Kira Usia
Gaya Quirky Florence Welch Jadi Tarikan, Sekali Lagi Jadi Suntingan Gucci Beauty
GLAM Editor’s Pick 2017: SULWHASOO
Home > Cantik > TIMETIC Timeless Ritual Antara Rawatan Rambut Paling Berkesan

TIMETIC Timeless Ritual Antara Rawatan Rambut Paling Berkesan

Sebagai seseorang yang sering mewarnakan rambut dan pernah melalui pelbagai rawatan kimia, saya cukup memahami cabaran untuk mengekalkan rambut yang sihat, lembut dan bersinar. Dari masa ke masa, kesan pewarnaan, penggunaan haba dan rawatan profesional boleh mengubah tekstur rambut, menjadikannya lebih kering, rapuh dan sukar diurus.

Maka apabila berpeluang mencuba TIMETIC Timeless Ritual di Hairquarters Pavilion Buki Jalil, saya tertarik untuk mengetahui sama ada rawatan rambut ini mampu memberikan lebih daripada sekadar kelembutan sementara. Dengan inspirasi daripada falsafah Omotenashi Jepun serta pendekatan yang menggabungkan pengalaman sensori dan penjagaan rambut premium, ritual ini menjanjikan pengalaman yang berbeza daripada rawatan salon biasa.

Seni di Sebalik Sebuah Ritual

TIMETIC Timeless Ritual dibangunkan berasaskan rangkaian penjagaan rambut premium yang direka untuk bekerja selari dengan ritma semula jadi tubuh. Formulasinya membantu melindungi rambut dan kulit kepala daripada tekanan persekitaran harian sambil menyokong proses pemulihan yang lebih mendalam. Pendekatan ini menjadikan rawatan tersebut bukan sahaja memfokuskan kepada penampilan rambut, malah kesihatan rambut secara menyeluruh.

Perjalanan rawatan dimulakan dengan sesi menyikat rambut yang lembut sebelum proses pembersihan dijalankan. Antara langkah yang paling menarik perhatian saya adalah apabila syampu dipukul sehingga menghasilkan buih halus menggunakan whisk Jepun sebelum diletakkan pada rambut. Sentuhan kecil ini mungkin kelihatan sederhana, namun ia menjadikan pengalaman tersebut terasa lebih mewah dan berbeza.

Rawatan kemudian diteruskan dengan beberapa langkah yang memfokuskan kepada pembaikan, hidrasi dan penguncian nutrien pada helaian rambut. Setiap lapisan produk disapu dengan teliti bagi memastikan rambut menerima manfaat secara optimum sebelum diakhiri dengan serum yang membantu meningkatkan kelembutan dan kilauan.

Apa Yang Saya Rasai Selepas Satu Sesi

Sebagai individu yang berdepan kerosakan rambut akibat rawatan kimia, saya dapat merasakan perubahannya sebaik sahaja sesi selesai. Rambut terasa lebih lembut, licin dan mudah diurus. Bahagian hujung rambut yang sebelum ini terasa kering dan kasar menjadi lebih halus apabila disentuh.

Apa yang paling saya gemari adalah bagaimana rambut kelihatan lebih sihat tanpa rasa berat atau dilapisi produk secara berlebihan. Sebaliknya, rambut terasa ringan dengan kilauan semula jadi.

Selain hasil yang dapat dilihat, TIMETIC Timeless Ritual turut menawarkan sesuatu yang jarang ditemui dalam rawatan rambut moden, iaitu pengalaman yang benar benar menenangkan. Gabungan aroma bunga yang lembut bersama nota kayuan yang elegan, layanan yang penuh perhatian serta suasana salon yang eksklusif menjadikan keseluruhan sesi terasa seperti satu bentuk terapi.

Bagi mereka yang berdepan masalah rambut rosak, kusam atau kehilangan kelembapan akibat pewarnaan dan penggunaan haba yang kerap, TIMETIC Timeless Ritual menawarkan lebih daripada sekadar penyelesaian sementara. Selepas satu sesi, rambut saya terasa lebih sihat, lebih lembut dan jauh lebih mudah diurus.

Selain rawatan itu sendiri, suasana sekitar salon juga sangat menyenangkan buat saya. Setiap ruang terasa sangat eksklusif. Setiap perincian, daripada layanan sehinggalah cara rawatan diperkenalkan, mencerminkan falsafah Omotenashi yang menjadi inspirasi utama ritual ini.

Ia bukan sekadar servis salon, tetapi satu bentuk hospitaliti yang mengutamakan keselesaan dan keperluan individu.

Artikel berkaitan: Potongan Rambut Yang Sesuai Ikut Bentuk Wajah