GLAM Profil: Sorakan Rona Syomirizwa Gupta
Transformasi Elegan: Montblanc Raikan Gaya & Keberanian di Tahun Ular
GLAM Profil: Ratu Cantik Pauline Amelinckx Dan Nicole Borromeo
Seafood Night: Malam Mewah Untuk Pencinta Makanan Laut
Kardashian Inspirasi Di Sebalik Tiga Beradik Featherington Dalam Bridgerton
Home > Gaya Hidup > Buntu Merancang Temu Janji? Ini 5 Date Idea Unik Yang Boleh Dicuba

Buntu Merancang Temu Janji? Ini 5 Date Idea Unik Yang Boleh Dicuba

Mencipta haruman sendiri, menyertai kelas membentuk clay, menikmati pameran seni, mencipta teddy bear dan menghasilkan taman mini tersendiri adalah antara date unik yang boleh dilakukan bersama pasangan.

Bagi pasangan yang sudah terlalu biasa dengan rutin makan malam, menonton wayang atau berjalan-jalan di pusat beli-belah, mungkin sudah tiba masanya untuk anda mencuba sesuatu yang lebih bermakna. Aktiviti temu janji bukan hanya tentang lokasi, tetapi bagaimana pengalaman tersebut mampu mencipta memori baharu bersama insan tersayang. Daripada menghasilkan sesuatu dengan tangan sendiri hingga menerokai sisi kreatif bersama, GLAM kongsikan beberapa idea temu janji yang unik namun bermakna untuk anda cuba bagi menghidupkan kembali momen istimewa bersama pasangan.

Ini Senarai Date Idea Kreatif Bagi Cipta Kenangan Baharu Bersama Pasangan!

1. Cipta haruman dengan sentuhan peribadi 

Kelas membuat wangian sendiri boleh menjadi pilihan yang menarik untuk dicuba. Aktiviti ini memberi peluang kepada anda dan pasangan untuk meneroka dunia haruman dengan memilih gabungan nota wangian yang sesuai dengan citarasa masing-masing. Daripada aroma floral yang lembut, bauan segar yang menyegarkan hingga haruman woody yang lebih elegan, setiap kombinasi yang dihasilkan mencerminkan personaliti tersendiri. Lebih bermakna, anda bukan sahaja membawa pulang sebotol minyak wangi rekaan sendiri, tetapi juga memori manis daripada pengalaman mencipta haruman bersama pasangan. Antara lokasi yang wajar dikunjungi untuk temujanji ini adalah Scents of Memento. Bengkel menghasilkan wangian yang ditawarkan adalah sebanyak RM188 seorang selama 1 jam 30 minit. Sepanjang sesi di bengkel, anda akan dibimbing langkah demi langkah oleh pereka wangian berpengalaman untuk mengenali asas seni pembuatan minyak wangi dan meneroka lebih 100 pilihan minyak pati wangian eksklusif yang diimport khas dari Perancis. 

2. Bentuk kenangan manis dengan clay

Bagi pasangan yang ingin menerokai aktiviti baharu dan menyeronokkan, kelas pottery merupakan pilihan yang ideal untuk mencuba sesuatu di luar kebiasaan. Aktiviti membentuk tanah liat atau pottery class memerlukan kesabaran, teknik dan kreativiti, lantas menjadikannya pengalaman yang lebih interaktif berbanding temu janji biasa. Sama ada menghasilkan cawan, tumbler atau dekorasi rumah, setiap hasil tangan mempunyai cerita tersendiri. Malah, proses mencipta sesuatu bersama-sama boleh menjadi peluang untuk mengenali sisi kreatif pasangan dengan lebih dekat. Di Beary Potter Studio di Bukit Jalil, anda boleh meneroka pelbagai pilihan bengkel kreatif, daripada kelas sehari, program jangka panjang hingga sesi bertema yang menarik. Luangkan masa berkualiti bersama pasangan sambil mempelajari seni tanah liat, mengasah kreativiti dan menghasilkan karya peribadi yang menyimpan memori manis daripada pengalaman tersebut.

3. Nikmati keindahan seni bersama 

Temu janji tidak semestinya perlu dipenuhi dengan aktiviti yang mencabar. Mengunjungi galeri seni boleh memberikan ruang untuk anda dan pasangan menikmati suasana yang lebih tenang sambil berkongsi pandangan tentang karya yang dipamerkan. Misalnya, National Art Gallery menawarkan beberapa pameran istimewa buat pengunjung. Daripada seni moden hingga karya klasik, setiap lukisan atau pameran boleh menjadi topik perbualan yang menarik. Aktiviti ini juga sesuai buat pasangan yang ingin meluangkan masa berkualiti sambil meneroka perspektif baharu bersama.

4. Cipta teman comel dengan kenangan istimewa 

Aktiviti membuat teddy bear atau anak patung bukan sahaja popular dalam kalangan kanak-kanak, malah kini menjadi idea temu janji yang romantik dan menghiburkan untuk pasangan. Anda boleh memilih reka bentuk dan pakaian teddy bear sebelum menghasilkan patung comel tersebut bersama. Lebih istimewa, teddy bear yang siap dibuat boleh menjadi hadiah bermakna untuk pasangan. Setiap jahitan dan pilihan dekorasi membawa kenangan daripada pengalaman yang anda cipta bersama. Di Happy Hour Club, anda boleh mencuba idea temu janji unik ini sambil mencipta teman comel yang mempunyai nilai sentimental tersendiri. Aktiviti menghasilkan teddy bear bersama pasangan bukan sahaja menyeronokkan, malah menjadi peluang untuk mencipta kenangan manis yang boleh dikenang dalam perjalanan hubungan anda berdua. Sama ada anda seorang pencinta seni, gemarkan aktiviti DIY atau hanya ingin mencipta memori baharu, pengalaman unik bersama pasangan mampu menjadikan hubungan lebih dekat dan bermakna.

5. Cipta taman mini dalam ruang istimewa

Bagi pasangan yang menggemari aktiviti santai dan dekat dengan alam semula jadi, bengkel terrarium boleh menjadi pilihan temu janji yang mengujakan untuk dicuba. Aktiviti ini memberi peluang kepada anda dan pasangan untuk menghasilkan taman mini dalam bekas kaca dengan susunan tumbuhan, batu hiasan serta elemen dekoratif mengikut kreativiti masing-masing. Selain memberikan pengalaman yang menenangkan, proses membina terrarium juga memerlukan kerjasama dan ketelitian, menjadikannya aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan. Hasil ciptaan tersebut boleh dijadikan dekorasi rumah atau ruang kerja sebagai simbol kecil kepada masa berkualiti yang diluangkan bersama. Antara lokasi yang boleh dikunjungi adalah Terrarium Garden Malaysia.

Artikel berkaitan: Pasangan Makin Dingin? Ini Cara Hangatkan Hubungan Semula