Raeesa Sya Dan Rita Sosilawati Mendominasi Dunia Kecantikan Tanah Air

Walaupun Masih Muda, Raeesa Sya Dan Rita Sosilawati, Sudah Pun Mendominasi Dunia Kecantikan Tanah Air

WALAUPUN MASIH MUDA, RAEESA SYA DAN RITA SOSILAWATI, SUDAH PUN MENDOMINASI DUNIA KECANTIKAN TANAH AIR. GLAM MENYINGKAP KISAH BAGAIMANA MEREKA BERDUA MAMPU MERAIH SUKSES DI USIA MUDA.

 

Raeesa Sya membaca profil dirinya, ternyata saya kagum dengan semangat keusahawanan wanita ini. Pada usia 26, Raeesa menyandang jawatan Pengasas Bersama Bfab dan turut diberi amanah sebagai Ketua Pemasaran Bfab.

 

Raeesa bijak menyusun tutur kata mengenai perjalanan hidupnya dengan mula berniaga pada tahun 2000 pada usia seawal 11 tahun. Terkenal sebagai pelajar aktif di sekolah, dia adalah atlet sekolah, dan mewakili sekolah hampir untuk semua pertandingan. Suatu hari Raeesa mendapat idea untuk menjual keropok Mi Mi di sekolahnya pada waktu rehat setelah dia berjaya memujuk ayahnya membelikan dia sebungkus besar keropok Mi Mi di Giant. Sejak saat itu bermulalah kisah Raeesa sebagai peniaga di sekolahnya. Hasil jualan juga agak memberangsangkan. “But unfortunately two weeks later my illegal business got shut down. Haha! Tetapi itu semua tidak mematahkan semangat saya malahan saya sedar yang minat saya terjurus dalam bidang perniagaan.”

 

Bercerita mengenai kegigihan dia dalam mencari duit pada usia muda ternyata telah memberi sumber inspirasi buat semua. Pada usia 16, Raeesa berjinak-jinak dalam penjualan customized shoes design di mana dia akan melukis pada sepatu putih, menjual baju-T kosong yang dicetak logo atau tulisan untuk dijual di bazar. Raeesa juga aktif dengan street art seperti grafiti dan sebagainya. Daripada situ Raeesa tahu yang minatnya pada seni ilustrasi amat tebal. Berpaksi pada minatnya empunya diri tekad untuk mengambil kursus seni grafik major dalam multimedia kala menuntut di Universiti Lim Kok Wing

 

Bijak menguruskan masanya diantara belajar dan projek perniagaannya, waktu Raeesa padat diisi dengan pelbagai aktiviti. Kala itu boleh dikatakan Raeesa tidur hanya dua jam sahaja kerana selebihnya dia akan belajar dan sibuk dengan projek-projek perniagaannya berniaga di bazar bersama organisasi Lady Esah. “Alhamdulillah I managed to pass with flying colors in my studies every semester. Dan saya juga memperoleh keuntungan daripada kerja sambilan sewaktu belajar. Saya selalu percaya pada pepatah; hendak seribu daya tidak mahu seribu dalih.” Dalam pada itu wajahnya yang cantik membuatkan dia sering dirisik menjadi talent komersial. Antara jenama-jenama gergasi yang Raeesa pernah bekerjasama adalah Samsung, AirAsia, TM, Hotlink, Maggie dan Blackberry. Kerana itu Raeesa tidak kekok memberikan pose sewaktu sesi fotografi dalam persalinan Bernard Chandran dan Céline.

 

Tamat belajar, Raeesa bekerja dengan agensi iklan digital popular iaitu Nuffnang. Kala itu hanya ada dua pekerja sahaja yang menjadi Pengarah Kreatif. Dia perlu membuat pelbagai kerja di sana. Dari Nuffnang dia beralih kepada iM4U dan dalam pada itu pula Raeesa mencipta aplikasi Lulu yang boleh didapati di IOS. Ia adalah aplikasi khas yang direka untuk wanita. Akhirnya, wanita kacukan Cina ini memulakan perniagaan Bfab dengan dua rakan kongsinya, Pawel Netreba dan Sergey Gaydar. Istimewanya perusahaan ini adalah yang terulung di Malaysia. Apabila dia cuba untuk membuat carian melalui google di internet mengenai servis itu dia hanya menemui beauty platform Treatwell dari Eropah dan Styleseat website dari Amerika.

See also
Razak Flora Kongsi Petua Dekorasi Majlis

 

Apakah yang Bfab tawarkan kepada pelanggan? “Bfab adalah beauty platform berbentuk e-commerce yang menawarkan khidmat kecantikan dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki. Anda boleh klik pada website kami di www.bfab.com. dan memilih servis yang anda mahu. Bfab membantu anda untuk mencari lokasi tempat kecantikan yang berdekatan dan boleh memilih tempat yang anda suka lalu terus membuat tempahan. Anda boleh memilih jurusolek di seluruh Malaysia dan melihat harga yang ditawarkan. Seronoknya Bfab ini, ada sesetengah individu mendapatkan produk organik kerana tidak mahu terdedah dengan bahan kimia atau rawatan urutan yang lebih spesifik. Semuanya boleh didapati dengan melayari Bfab.”

 

Ternyata sambutan yang diterima amat menggalakkan. Raeesa kini sudah berjaya mengumpul 527 outlet di Lembah Klang. Bfab turut menawarkan khidmat business to business yang akan membantu anda mencari glam squad untuk pertunjukan fesyen, sesi fotografi dan rumah produksi. Terbaru Bfab melancarkan mobile spa yakni anda boleh menempah jurusolek, jurudandan, manicurist, rawatan spa terus ke rumah anda atau ke pejabat. “Bfab is definitely a one stop centre for beauty services in South East Asia. Dan saya akan terus berusaha mendapatkan lebih banyak outlet untuk kemudahan pelanggan. To know more on Bfab services you can download our app at the app store,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan hari itu.

 

Rita Sosilawati antara wajah yang mendominasi pasaran kecantikan di Malaysia. Siapa sangka Pengarah Urusan Nouvelles Visages, Erni Dekritawati Yuliana atau lebih mesra disapa Rita ini begitu popular setanding dengan selebriti! Semua gara-gara apabila dia menjadi penaja utama program realiti paling popular tanah air, Akademi Fantasia 2015. Daripada situ Rita meraih populariti dan sekaligus menaikkan nama Nouvelles Visages yang sudah bertapak selama 22 tahun di Malaysia.

 

Pada usia 26, Rita meneruskan legasi Nouvelles Visages yang dikemudi ibunya semenjak 1994. Tragedi hitam kes pembunuhan arwah Datuk Sosilawati Lawiya pada 2010 yang telah menggegarkan Malaysia suatu masa dulu, cukup berat untuk diterima Rita dan adik-adiknya.

 

Namun Rita menganggap itu semua adalah ketentuan takdir dan dia harus terus melangkah ke depan. Walaupun terlalu berat tanggungjawab yang tergalas di bahunya dia akur dengan takdir Ilahi dan harus tabah meneruskan kehidupan. Rutin hidupnya berubah serta merta. Bayangkan semua akaun dibekukan as Datuk Sosilawati is the only signage for the company. Rita bermula dengan kosong dan kerana simpati rakyat Malaysia di atas kematian Datuk Sosilawati, jualan mendapat keuntungan sehingga empat kali ganda. Dan daripada situlah Rita membuat percaturan baru perniagaannya, rolling duit business tanpa menggunakan duit syarikat yang telah dibekukan itu. Katanya “Moving on has never been easy, but I have faith there’s always a blessing in disguise.”

See also
A-List GLAM: Nina Sabrina Ismail Sabri

 

Rita mendapat pendidikan peringkat Ijazah Sarjana Muda Seni Tekstil di UiTM, Shah Alam sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Perniagaan Antarabangsa di Universiti Nottingham Trent, United Kingdom. Zaman kecilnya tidak seperti kanak-kanak lain. Dia diberi tanggungjawab untuk membantu ibunya di pejabat menguruskan hal perniagaan. Kala rakan-rakan sekolahnya bersuka ria pada Sabtu dan Ahad, Rita pula dipaksa ke pejabat daripada jam sembilan pagi hingga lima petang. Dalam pada itu, timbul juga perasaan tidak senang di hatinya apabila dia tidak bebas seperti teman-teman sebayanya yang lain. Namun setelah dia sendiri menguruskan perniagaan Rita yang kini berusia 31, mengerti mengapa dia perlu membantu ibunya di pejabat sewaktu kecil. Perancangan Allah itu maha sempurna. Dia telah didedahkan ilmu berniaga sejak kecil. Segala selok-belok perniagaan telah dipelajari. “Saya bersyukur di atas segala didikan ibu yang dulunya tidak saya fahami untuk apa. I will not be who I am today without her.”

 

Anak sulung daripada enam beradik ini mengaku, sebelum ibunya meninggal dunia, arwah ibu ada mengadu yang dia sudah letih menguruskan perniagaan dan mahu berehat sambil menjaga cucu di rumah. “Meskipun waktu itu mak mahu saya ambil alih perniagaannya, being a teenager during that time, tentulah saya agak keberatan. Lagi pula saya tidak yakin dan percaya yang saya boleh gantikan mak.Sehinggalah selepas kematian mak, dunia saya gelap seketika. Only after one month I gather my strength to go back to the office and continue the legacy,” jelas Rita.

 

Sambung Rita lagi, sesiapa yang mengenali Datuk Sosilawati Lawiya, mereka tentu akan kata yang Rita amat mirip sekali dengan wajah ibunya. Tetapi kata Rita, bukan sahaja rupa tetapi juga tingkah lakunya. “Mak saya orangnya sangat tabah, tegas dan garang. Dulu waktu sekolah menengah setiap hari saya hanya diberi masa dua jam untuk keluar rumah. Keluar jam lima balik pukul tujuh petang. Dan mak sangat berkira mengenai wang. Satu hari itu, minta duit untuk beli buku di KLCC dan dia bertanya berapa harga buku itu? Saya pun menjawab RM39. Mak tak ada duit kecil, so she gave me an RM50 note which makes me happy to spend all of the money. Pulang ke rumah dia terus meminta saya baki duit tadi!

See also
Tas Tangan Mewah Valentino $2,675 Blue Ivy Habis Terjual

 

Rita turut mengimbas peristiwa kala dia merengek meminta ibunya membelikan dia komputer riba. “Saya pernah meminta mak membeli Macbook Pro kerana mahu jadi antara orang yang terawal memilikinya. Saya cuba yakinkan mak dengan memberitahu saya perlukan untuk tugasan sebagai pelajar grafik. Mak keberatan kerana harganya mahal kala itu iaitu RM15 ribu. Tanpa jemu saya memujuk mak dan akhirnya dia bersetuju tetapi dengan syarat saya menjadi pelajar cemerlang untuk semester itu. Alhamdullilah saya berjaya mendapat sijil dekan dan dianugerah sebagai pelajar cemerlang. Walaupun mak berduit tetapi kami tidak dididik untuk bersenang-lenang dengan kemewahan mak,” cerita Rita lagi.

 

Semenjak lima tahun NV dikemudi Rita, perniagaan kecantikan yang sudah berpuluh tahun di pasaran ini disuntik nafas baru. Rita lebih kerap menggunakan saluran lintas langsung di tv, media cetak dan elektronik selain laman web sendiri sebagai strategi mengukuhkan namanya sekaligus melebarkan empayarnya. NV sudah bertukar wajah baru. Menurut Rita jutaan belanja juga dihabiskan untuk penukaran packaging yang diimport dari negara China. “NV sekarang  turut mempunyai perniagaan kosmetik yang menjual alat solek asas disamping turut memperkenalkan produk kesihatan dalaman seperti kolagen, kopi, teh pelangsing badan dan set bersalin.”

 

Bercakap soal keluarga, Rita kini bahagia bersama suami dan tiga anak yang menjadi menyeri kehidupan rumah tangganya. Dia kini di dalam perancangan untuk hamil lagi dalam waktu terdekat ini. “Saya rasa hidup berkeluarga adalah nikmat kepada semua wanita. Satu hal yang saya tidak ikut jejak arwah mak, iaitu saya akan beri reward pada diri setelah penat bekerja. Mak dulu terlalu kuat bekerja sehingga lupa untuk reward dirinya. Itupun sewaktu saya menuntut di London, I told her to splurge on luxury handbags for herself. Dan barulah mak tahu berbelanja barangan mewah untuk dirinya adalah sebagai ganjaran penat lelah bekerja.”

 

“Ya, macam saya tidak sama sekali sangka yang mak akan pergi pada usia 47. Bagi saya selagi ada peluang untuk bergembira bersama insan tersayang manfaatlah kesempatan itu”

 

Rita berharap empayar yang dibina arwah ibunya ini terus bertahan untuk diturunkan kepada anak cucunya pula. NV sudah berjaya menembusi pasaran Asia Tenggara dan berusaha untuk menakluki keseluruhan Asia pula.

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Julai 2016