Label Jonathan Saunders Tamat Operasi

Label Jonathan Saunders Tamat Operasi

Oleh: Mujahid Saddam

 

Jonathan SaundersGambar: TPGVIP

 
Suatu berita yang mengejutkan apabila pereka fesyen yang berpangkalan di London, Jonathan Saunders, mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengarah Kreatif di label miliknya. Lanjutan dari itu, jenama Jonathan Saunders turut sama ditamatkan operasi.
 
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan, keputusan itu dilakukan oleh Saunders sendiri dan juga Eiesha Bharti Pasricha, pelabur dalam label itu. “Ianya bukanlah suatu keputusan yang mudah untuk dilakukan dan saya bersyukur dikurniakan pasukan kerja yang penuh dedikasi dan cukup membanting tulang selama ini.” Ujar Saunders lagi, “Eisha bukan sahaja rakan kongsi yang hebat tetapi merupakan penyokong kuat saya. Hubungan kami akan terus rapat. Saya juga amat berterima kasih terhadap hubungan persahabatan yang terjalin sepanjang berada dalam industri ini dan tidak sabar untuk menjalin kerjasama dalam projek akan datang.”
 
Sebelum ini, label tersebut pernah menjadi pilihan gaya selebriti seperti Lady Gaga, Carey Mulligan dan Kate Middleton manakala koleksi musim bunga/panas 2016 menjadi pesanan terakhir pelanggan buat jenama itu.
 
Khabar angin terus bertiup bahawa Saunders bakal memulakan legasinya di Dior yang kini sedang mencari pengganti Raf Simons sejak Oktober lalu. Nantikan berita lanjut.
 
 

See also
Angelina Jolie Bersuara Mengenai Perpisahannya Bersama Brad Pitt