40 Mitos Cantik (Bahagian 2)
Kecantikan Bermula Dari Usus? Ini Makanan Terbaik Untuk Kulit
Langkah Tepat Untuk Riasan Tahan Lama
Pentingnya Memiliki Kulit Wajah Mulus
Prada Paradoxe Wangian Avant-Garde Wanita GLAM
Home > Cantik > Tidak Terikat Dengan Jantina, Ini Genderless Perfume Wajar Dicuba

Tidak Terikat Dengan Jantina, Ini Genderless Perfume Wajar Dicuba

Maison Margiela Replica Lazy Sunday Morning, Jo Malone London Wood Sage & Sea Salt Cologne, Le Labo Santal 33, Calvin Klein CK One Eau de Toilette, Le Labo VIOLETTE 30 dan Gucci Where My Heart Beats Eau de Parfum adalah antara wangian genderless yang wajar anda cuba.

Dunia wangian kini tidak lagi terikat dengan label “untuk lelaki” atau “untuk wanita”. Sebaliknya, semakin banyak jenama mewah memperkenalkan wangian genderless atau wangian unisex yang memberi kebebasan kepada setiap individu untuk memilih haruman berdasarkan personaliti dan cita rasa tersendiri. Haruman floral, buah-buahan dan gourmand lazimnya dikaitkan dengan wanita, manakala nota musk, tobacco dan leather pula dianggap lebih maskulin. Namun, persepsi itu semakin berubah. Kemunculan wangian genderless membuka lembaran baharu dalam dunia haruman, mengaburkan sempadan antara feminin dan maskulin, sekali gus meraikan kebebasan setiap individu untuk memilih haruman yang benar-benar mencerminkan personaliti mereka.  Jika anda ingin menambah koleksi haruman yang versatil untuk gaya harian mahupun acara istimewa, ini lima pilihan wangian genderless pilihan GLAM!

Ini Wangian Unisex Untuk Koleksi Anda!

Maison Margiela Replica Lazy Sunday Morning 

Jika definisi haruman kegemaran anda ialah bau cadar putih yang baru dibasuh, Lazy Sunday Morning pasti memenuhi jangkaan. Gabungan Iris Accord, patchouli, dan white musk mencipta aroma yang segar, bersih serta begitu menenangkan. Wangian ini sesuai untuk dipakai setiap hari, terutama bagi mereka yang menggemari gaya minimalis.

Jo Malone London Wood Sage & Sea Salt Cologne

Menyatukan kesegaran udara pantai dengan kelembutan nota kayu, Wood Sage & Sea Salt Cologne daripada Jo Malone menjadi antara wangian genderless paling digemari ramai. Aroma sea salt, sage dan ambrette menghasilkan haruman yang ringan, bersih serta memberi rasa bebas seolah-olah sedang menikmati angin laut. Menampilkan pembukaan dengan nota ambrette seeds yang memberikan sentuhan sofistikated. Di bahagian tengah, sea salt menyuntik kesegaran yang bersih dengan karakter mineral yang unik, seolah-olah menghirup udara laut. Haruman ini diakhiri dengan nota sage yang berkayu sekaligus menghasilkan kemasan yang tenang, semula jadi dan versatil untuk dipakai oleh sesiapa sahaja. Ia juga mudah dipadankan dengan haruman lain untuk menghasilkan kombinasi yang lebih peribadi.

Le Labo Santal 33 

Sukar untuk berbicara tentang wangian genderless tanpa menyebut Santal 33 daripada Le Labo. Ia membuka haruman dengan nota cardamom yang hangat sebelum berkembang kepada gabungan iris dan violet yang lembut serta elegan. Di bahagian asas, Australian sandalwood, cedarwood, sentuhan leather dan musk mencipta aroma berkayu yang hangat dan cukup menawan. Hasilnya ialah haruman yang memberi nuansa selesa, sensual dan intim, seakan-akan kehangatan unggun api yang perlahan-lahan menyala ketika senja. 

Calvin Klein CK One Eau de Toilette 

CK One Eau de Toilette menawarkan aroma segar yang merayakan semangat bebas dan moden. Haruman ini dimulakan dengan gabungan nota bergamot, cardamom dan nenas yang memberikan elemen kesegaran, sebelum berkembang kepada nota tengah green tea, jasmine dan violet yang lembut. Diakhiri dengan sentuhan musk, amber dan cedarwood, wangian ini meninggalkan kemasan ringan dan versatil, sesuai untuk mereka yang menggemari gaya minimalis tanpa batasan. Haruman ini dicipta untuk melangkaui batasan, menjadikannya pilihan sempurna buat wanita dan lelaki.

Le Labo VIOLETTE 30 

Menyulam keindahan nota floral yang lebih moden, VIOLETTE 30 daripada Le Labo menghadirkan aroma violet yang lembut. Haruman ini memadukan nota violet leaf, violet flower, iris, bergamot dan musk, sekaligus menghasilkan keseimbangan antara kesegaran hijau, kelembutan bunga serta kemasan yang segar dan elegan. Tidak terlalu manis atau feminin, wangian ini menyajikan sisi misteri yang sofistikated, lantas menjadikannya pilihan genderless buat mereka yang menggemari aroma halus namun meninggalkan kesan mendalam di setiap jejak anda.

Gucci Where My Heart Beats Eau de Parfum

Seperti mimpi yang indah dan memori yang tidak mudah dilupakan, Where My Heart Beats Eau De Parfum daripada Gucci merupakan haruman floral rose yang berkembang secara berlapis-lapis. Diilhamkan daripada jambangan bunga yang mekar dengan sentuhan elegan, wangian ini menonjolkan keindahan bunga peony melalui gabungan White Peony Accord, Violet Leaves Accord dan White Musk. Kombinasi nota floral yang lembut bersama kemasan musk menghasilkan aroma yang anggun dan romantik, sesuai buat mereka yang menggemari haruman genderless dengan sentuhan feminin. 

Artikel berkaitan: Minyak Wangi Yang Sebenarnya Dipakai Selebriti