Bekas CEO Louis Vuitton, Yves Carcelle Meninggal Dunia - Glam Malaysia

Bekas CEO Louis Vuitton, Yves Carcelle Meninggal Dunia

LV Gambar: Louis Vuitton

 
Yves Carcelle, nama yang bertanggungjawab menaikkan Louis Vuitton sehingga menjadi antara jenama mewah yang terkenal di seluruh dunia, telah meninggal dunia pada 31 Ogos 2014.
 
Memulakan kariernya sebagai Ketua Strategi pada tahun 1989 di LVMH, dia kemudiannya menjadi pengerusi serta ketua eksekutif bagi Louis Vuitton. NY Times melaporkan antara sumbangannya terhadap jenama itu adalah dengan membawa masuk pereka fesyen Marc Jacobs pada tahun 1997 untuk mereka kasut serta koleksi ready-to-wear yang kemudiannya diluaskan lagi dengan koleksi jam tangan serta aksesori lain. Menurut Jacobs, Carcelle sentiasa menikmati kerjanya sambil membina perniagaan menjadikan dia seorang yang tersendiri serta dihormati dan telah mengabdikan dirinya kepada jenama ini sepanjang kariernya.
 
Dia kemudiannya bersara dari jenama itu pada tahun 2012 tetapi masih menjawat jawatan Pengerusi Fondation Louis Vuitton yang bertanggungjawab membina sebuah muzium di pinggir Paris bagi menempatkan koleksi seni kontemporari LVMH. Sepanjang kariernya, Carcelle telah melebarkan pengaruh jenama unggul ini terutama di pasaran Asia dengan pertumbuhan butik-butik Louis Vuitton serata dunia yang bertambah dari tahun ke tahun dan hingga kini punyai lebih dari 1,300 di lebih dari 50 negara.
 
Menerusi suatu kenyataan yang dibuat, pengerusi syarikat LVMH Bernard Arnault berkata, “Yves Carcelle merupakan seorang pengembara yang tidak pernah kenal erti lelah. Dia merupakan perintis imej serta nilai jenama Louis Vuitton. Seorang yang penuh dengan sifat ingin tahu, semangat dan senantiasa bergerak ke hadapan, saya berasa amat bertuah untuk mengenali pemimpin yang banyak memberi inspirasi sepertinya.”
 
 

See also
Tuduhan Palsu Terhadap Beyoncé Dibidas Oleh Publisisnya