Keterujaan Mainan Rona Franck Muller - Glam Malaysia
Keterujaan Mainan Rona Franck Muller 01

Keterujaan Mainan Rona Franck Muller

Franck Muller tampil membentangkan himpunan novelti baharunya yang eksklusif buat pasaran Asia Tenggara bersentuhan percikan rona bisa memikat perhatian.

Bila membicarakan mengenai keaslian ketukangan arloji yang hebat, hanya beberapa nama sahaja yang memintas lantang dalam ruang fikiran. Ini kerana tidak banyak jenama yang berpunya senjata; atau senang kata kemahiran dalam mengolahkan barisan jam tangan yang cemerlang lagi tampil unik.

Berjaya mengekalkan posisinya menerajui lapangan arloji dunia sebagai jenama independen, Franck Muller adalah di antaranya. Bila mana jenama asal Swiss itu mempersembahkan barisan arloji terbarunya, mereka terus mencuri tumpuan umum. Sekali gus, membuktikan kredibiliti dalam menvisikan himpunan yang lebih berani lantas diselubungi kreativiti juga fahaman Haute Horlogerie yang tinggi.

Keterujaan Mainan Rona Franck Muller 02

Round Skeleton

Buat perkenalan novelti tahun ini, Franck Muller mengambil kesempatan untuk menampilkan tiga himpunan arloji baharu yang eksklusif buat pasaran Asia Tenggara. Sekalipun, jam tangan ikonik Round Skeleton didatangkan dalam kemasan emas merah atau perak yang dihiasi dengan intan permata, Round Skeleton edisi eksklusif Asia Tenggara pula dipersembahkan dengan bezel rona pelangi. Butiran permata yang mengelilingi bezel ini dibariskan dengan 16 batu permata berbilang warna berpotongan baguette. Berukuran 42mm, setiap batu permata ini dipilih sendiri oleh gemologist Franck Muller; bertujuan untuk menghasilkan biasan serta kilauan dari segenap konstruksi jam tangannya.

See also
The Young & Restless YM Puteri Noor Afzan - in Royal Fashion

Keterujaan Mainan Rona Franck Muller 03

Vanguard 7 Days Power Reserve Skeleton Colour Dreams

Edisi terbaru Vanguard Skeleton Color Dreams pula tampil menggabungkan sensasi rona pelangi dalam kegelapan misteri rona hitam. Model ini telah lama dibikin Franck Muller, lalu sudah ditemui dalam pelbagai gaya. Namun, arloji Vanguard 7 Days Power Reserve Skeleton Colour Dreams terkini boleh didapati dalam saiz sederhana 43mm. Berbanding saiz case terdahulunya dalam 45mm. Disempurnakan dalam case gentian karbon ringan yang gelap, Color Dreams menggabungkan aluminium anodis dengan warna pop yang terang. Lantas ia menciptakan ilusi atau efek psikedelik pada pergelangan tangan.

Keterujaan Mainan Rona Franck Muller 04

Vanguard Rose Skeleton Black Diamond

Terakhir sekali, adalah arloji ilham jauhari Vanguard Rose Skeleton Black Diamonds bertatahkan 422 berlian hitam berpotongan brilliant pada sisi case-nya dan 75 permata berpotongan brilliant pada laman dail. Model itu membangkitkan rasa romantik juga masih tampil elegan. Buat pasaran eksklusif Asia Tenggara, Franck Muller telah memutuskan untuk mengalihkan haluan kreativiti agar ia tampil kontras dalam misteri hitam yang legap.

See also
Promosi - Menangi Percutian di Bon Ton Resort, Langkawi

Pautan berkaitan: Keunggulan Gaya Fusion Hublot