Soal Jodoh: Ini Tip Pilih Pasangan Hidup Yang Tepat Buat Wanita - Glam Malaysia
pasangan hidup

Soal Jodoh: Ini Tip Pilih Pasangan Hidup Yang Tepat Buat Wanita

Setiap wanita mengimpikan perkahwinan sempurna dan pasangan hidup. Namun, soal jodoh bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main. Memiliki pasangan hidup yang tepat adalah ibarat satu pelaburan dunia selama-lamanya.  

Tidak semestinya apa yang diidamkan oleh kita hari ini, tentu-tentu akan kita kecapi serta-merta. Ada yang berangan-angan hendak memiliki pasangan hidup seperti oppa dari Korea, gara-gara menonton drama romantis dari negara tersebut. Belum tentu, oppa asal Korea ini juga menginginkan dia. Seperti juga wajah, ada yang gemarkan lelaki dengan wajah maskulin, ada yang mengidamkan lelaki jambu. Ada yang memiliki preferensi kulit jenis sawo matang, ada yang sukakan putih melepak. Bermacam-macam ragam!

Itu kita bercakap soal fizikal dan luaran. Jika berbicara soal hati dan personaliti, pasti rata-rata wanita menginginkan yang sama. Yang baik, memahami, setia dan pelbagai lagi. Sebenarnya banyak lagi yang perlu dititikberatkan. Bukan soal kebaikan hati sahaja. Buat anda yang menginginkan sesuatu yang lebih serius dengan pasangan anda, pastikan si dia memiliki ciri-ciri jejaka pilihan yang disenaraikan GLAM ini.

Pasangan Hidup Buat Wanita Yang Mahukan Hubungan Serius

#1 Kesetiaan dan kepercayaan

Wanita semestinya menginginkan teman hidup yang setia dan jujur dalam perhubungan. Kepercayaan adalah asas yang sangat penting dalam sebuah perhubungan yang sihat. Wanita ini hatinya sangat lembut, jadi buat kaum lelaki, jangan sesekali memainkan perasaan mereka. Yakinlah bahawa, jika kamu dan pasangan sudah saling mempercayai satu sama lain, maka perasaan aman dan pelbagai lagi nilai positif akan secara tidak langsung dapat dipupuk dalam perhubungan ini. Jika masing-masing setia, konflik pun sukar untuk terjadi di antara kalian berdua.

See also
Sekitar Majlis Perkahwinan Pewaris Jordan, Putera Al Hussein & Rajwa Al Saif

Tip GLAM: Bagaimana hendak kekal setia dan mendapat kepercayaan pasangan? Selalulah berkata jujur, belajar memahami dan menerima kekurangan diri dan pasangan juga berani dalam berkomunikasi tentang apa yang anda dan pasangan rasakan, berfikirkan atau apa sahaja yang membawa kebahagiaan dan kebaikan pada hubungan.

#2 Mencari pasangan hidup yang ‘sekufu’

Banyak di TikTok kami melihat nasihat-nasihat cinta, antara yang menarik perhatian GLAM adalah mencari pasangan yang ‘sekufu’. Sekufu bukan sekadar bermakna kewangan, pendidikan dan kerjaya yang setaraf, ia lebih daripada itu. Hari ini, ramai yang mendambakan pemikiran, energi serta effort yang sekufu daripada pasangan masing-masing. Carilah pasangan yang menyayangi dan menghargai anda, supaya nangis anda tidak kedengaran seperti beban padanya, agar perhatian anda tidak terlihat seperti obsesi di matanya dan agar bahagia anda juga menjadi bahagianya. Ini adalah sebuah investment jangka masa panjang untuk anda dan si dia. Jadi, pastikan pilih yang betul.

@mfadzilahkamsah

Kerjaya isteri lebih VOGUE berbanding suami? Itu pentingnya di dalam Islam kita memilih pasangan yang sekufu dengan kita dari segala segi. Sebab bila tidak sekufu akan ada banyak kesan negatif sehingga mengundang penceraian. Jadi sebelum mendirikan rumah tangga, carilah pasangan yang sekufu, yang mana masing-masing faham peranan & tanggungjawab masing-masing. #FadzilahKamsah #PakarMotivasi #PakarMotivasiMalaysia #PesanTokAbah #DMFK #inspirer #healingbytokabah #healingbydmfk

♬ original sound – Dato’ Dr Fadzilah Kamsah – Dato’ Dr Fadzilah Kamsah

#3 Keinginan untuk “hidup’ bersama selamanya

Buat anda yang mahukan hubungan yang lebih serius, pastikan di saat awal perhubungan, anda sudah tahu tujuan utama anda dan pasangan bersama. Ada yang sekadar ingin mengisi kekosongan hidup buat sementara, ada yang inginkan hubungan yang serius hingga ke jinjang pelamin. Buat anda yang mahu perhubungan yang selangkah ke hadapan, pastikan si dia tahu akan tanggungjawab dan komitmen hubungan ini. Niat haruslah betul, setiap perancangan hidupnya di masa hadapan haruslah melibatkan anda. Yang pasti, sudah mula merancang kewangan keluarga yang bakal dibina.

Tip GLAM: Perkahwinan itu seharusnya mudah dan mengikut garis panduan agama, yang selebihnya hanyalah sekadar adat yang dibentuk mengikut budaya. Jadi, tidak perlu terlalu stress memikirkan soal kewangan apabila merancang majlis perkahwinan. Banyak lagi kepentingan harus difikirkan selepas tamat majlis bersanding.

#4 Kematangan Emosi

Salah satu ciri terpenting dalam perhubungan adalah melihat bagaimana anda dan pasangan mengendalikan konflik hubungan. Cari pasangan yang bijak menunjukkan kematangan emosi dalam mengendalikan apa jua perkara. Tidak terlalu bertindak mengikut kata-kata atau melaksanakan sesuatu tanpa berfikir apa-apa. Ini adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan dalam perhubungan bagi mengelakkan anda dan si dia terjebak di dalam konflik yang berpanjangan.

 

Ingatlah wahai wanita di luar sana, tidak semestinya pasangan hidup itu hadir dalam keadaan yang seratus peratus sempurna. Setiap manusia memiliki kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri. Fungsi pasangan adalah untuk melengkapi antara satu sama lain. Buat anda yang masih tercari-cari, teruskan berdoa kepada yang Maha Esa agar diberikan jodoh yang baik. Mungkin masanya belum tiba, janji Allah itu pasti. Hanya Dia sahaja yang Maha Mengetahui dan hanya Dia yang menentukan rezeki jodoh ini.