Profil: Puncak Waktu Ziana Zain
Ziana Zain

Profil: Puncak Waktu Ziana Zain

Dia percaya, penyanyi adalah nadi kepada sebuah lagu. Penyanyi senior sepatutnya memperjuangkan industri nyanyian daripada mahu bersaing dengan penyanyi baru. Kematangan Ziana Zain terserlah, mahu bangkit memperjuangkan industri, buat semua penyanyi lama dan baru. 

pengarah kreatf AIZAT AIDID pengarah seni AMIRUL ARIFIN solekan KF BONG penata hijab YAYA IBRAHEM gambar EDMUND LEE/HEXA PRODUCTION teks MARINI MAT ZAIN

Memasuki 1990, merupakan tahun bertuah buat Ziana Zain dan industri meletakkan dirinya sebagai Ratu Balada Malaysia. Pertemuan dengan Aziz Bakar dari syarikat rakaman BMG telah mengubah segala-galanya. Album pertama, Madah Berhelah, menjulang namanya di persada seni. Lagu Madah Berhelah sendiri menjadi siulan ramai. Ketika itu dia di Brunei. Ziana baru selesai membuat persembahan. Lelah pun belum surut menerima panggilan daripada Aziz Bakar. Disangkakan ada berita tawaran persembahan lain. Sememangnya nama Ziana sedang naik dengan banyak undangan nyanyian sampai tidak menang tangan.

“Ada tawaran berlakon. Yusuf Haslam nak buat filem,” ujar Aziz Bakar. “Tak nak! Saya tak ada bakat berlakon,” ujar Ziana menjawab tanpa berfikir panjang. Kalau diikutkan ini kali pertama dia ditawarkan watak dalam lakonan. Filem pula tu. Namun setelah diyakinkan pihak pengurusan, dia gagahkan juga bertemu Datuk Dr. Yusuf Haslam di pejabat Skop Production yang terletak di Setapak. Ketika itu dia bersama Erra Fazira. Mereka berdua cuba berdialog. Usai ‘script reading’, pecah ketawa mereka berdua.

Masih kurang yakin diri mampu membawa watak diberikan. “Abang, saya bimbang akan buang waktu sahaja,” ujar Ziana masih berdegil. “Awak ada bakat. Awak sahaja tak nampak,” balas Yusuf Haslam. “Nampak dari mana?” “Ekspresi Ziana ketika menyanyi. Saya boleh nampak. Ada jiwa.” Terpegun mendengar kata-kata Yusuf Haslam ketika itu. Mungkin juga terpujuk. Mungkin sebuah keyakinan diri menyerap ke sanubari. Mudah sahaja dia bersetuju. Cuma… “Okay. Guide saya,” pesan Ziana ringkas.

Ziana akhirnya bergelar seorang pelakon pada 1994. Berganding pula dengan dua lagi nama besar di persada seni, Awie dan Erra Fazira. Luar biasa. Filem Sembilu dan lagu runut bunyi Anggapanmu mendapat sambutan. Percaturan Yusof Haslam berjaya. Malahan filem itu pecah panggung 4.2 juta.

Tiada siapa lagi boleh sangkal kehebatan penyanyi ulung Ziana Zain. Dia terus mara ke depan sehingga ke hari ini. Kehebatannya tiada tandingan. Ziana sekali lagi menjadi tumpuan apabila menang Voice of Asia pada 1995 di Kazakhstan. Namanya tercatat di dalam The Malaysia Book of Records sebagai Artis Wanita Pertama Memenangi Pertandingan Antarabangsa. “Menerima anugerah besar di luar negara, menjadikan Ziana pulang dipandang lebih tinggi. Jadi, saya belajar mengenai pencapaian di dalam kerjaya adalah penting. Ketika itu saya mengatur langkah. Rezeki saya mula mendapat lagu-lagu baik daripada komposer hebat.”

Nama Ziana melakar lebih jauh. Bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga ikon fesyen. Mungkin ramai yang kurang arif apabila mengatakan penampilan terkininya terlalu mencuba. Padahal suatu ketika dahulu Ziana menjadi pilihan jenama antarabangsa seperti Omega, Fendi, Louis Vuitton. Malah diterbangkan ke luar negara untuk menghadiri pertunjukan fesyen dan sesi fotografi barangan tersebut.

Ziana lebih menjaga penampilan. Semua jenama antarabangsa berlumba dambakan nama Ziana Zain untuk memakai busana mereka — MaxMara, Louis Vuitton, Celine dan banyak lagi. “Paling manis dapat ke Melbourne, Australia bersama GLAM untuk sesi penggambaran jenama Louis Vuitton. Saya juga ke Beijing melihat pertunjukan fesyen Karl Lagerfeld dan duduk di baris hadapan sebaris dengan artis-artis Hollywood. Ketika itu di zaman masih tiada media sosial.” Anuar Zain pernah berpesan kepada Ziana, jangan tuakan diri tetapi penampilan biar kena dengan usia dan air muka. Kalau boleh penampilan itu, kenapa tidak dicuba. Mereka dua beradik bersuara emas, memang rapat.

See also
10 Produk 'Mesti Ada' Pilihan Profesional

Kembali ke dunia 1990an. Ziana semakin sibuk. Dia banyak menerima undangan menyanyi di luar Kuala Lumpur. Mendarat sahaja, dia dibawa pula ke sesi penggambaran filem. Secara psikologi ketika itu, di era itu, dia sangat penat. Dirasakan tidak sempat hendak bernafas dan waktu untuk berehat. Hanya pesanan ibu dan ayah yang menguatkan semangat. “Nak, kita penyanyi ibarat rezeki harimau, ada hari dia mengaum, ada hari nak kena tunggu lama. Dah kau sudah pilih dunia ini, kau jangan merungut. Semua orang nak berada di tempat kita. Kita pula nak merungut.”

Dia lantas merenung diri di hadapan cermin. Memujuk hati, Ziana, ini waktu kau. Kau harus kuat. “Jadi penyanyi ada had waktu tertentu, lama-lama penyanyi baru akan muncul. Tempat kita tak akan ada orang lain boleh ambil tetapi kita perlu ingat dalam industri tak boleh mengatakakan kita sentiasa di atas. Fenomena kita dalam beberapa tahun Allah bagi, hargailah. Tiba waktu akan ada giliran orang lain. Melainkan di mata peminat kita, memang kita sentiasa nombor satu, namun di mata umum sudah lain.”

Kegemilangan Ratu Balada

Dia kembali terkenangkan, saat sebelum bertemu Aziz Bakar. Dua tahun lamanya Ziana menunggu. Namun, bersama syarikat rakaman lama tidak membuahkan hasil. Bagi berada di tahap ini pula, dia perlu bermula dari bawah. Medium media sosial belum ada. Tiada YouTube, tiada TikTok. Zaman ini era meraih populariti begitu cepat. Kalau dulu, menaikkan nama bergantung kepada stesen radio, pusat membeli-belah dan media cetak.

Sebenarnya Ziana Zain menunggu lima belas tahun untuk muncul dengan lagu baru. Selepas lagu Dingin yang dirakam pada 2007, Ziana belajar sesuatu yakni cukuplah memaksa diri merakamkan lagu yang tidak menangkap jiwa. Sehingga hari ini, tiada satu pun lagu melekat di hati. Padahal dia terbuka menerima gubahan lagu daripada komposer baru. Era muzik baru bukan jadi penghalang. Ziana yakin dia boleh menyesuaikan diri.

“Fenomena 90an tidak boleh dikembalikan lagi. Biarlah dia di situ. Cuma sekarang susahnya mendapat lagu baru yang melekat di jiwa. Lebih-lebih lagi lirik era sekarang tak sentuh hati. Namun saya tak putus asa. Penantian ini mungkin membuahkan hasil. Kita boleh kembalikan lirik dan melodi lebih berkualiti tetapi di dalam gubahan terkini. Kita perlu sesuaikan diri dengan era baru juga. Saya enggan jadi penyanyi yang tidak boleh ‘move on’ ”

Ziana memberi contoh proses rakaman secara digital sekarang yang ternyata lebih cepat berbanding analog. Kalau dahulu perlu ulang berkali-kali untuk dapatkan kualiti. Sekarang rakaman boleh dilakukan satu perenggan, ke satu perenggan dan dicantum jadi satu lagu. Melakukan rakaman secara analog perlukan banyak tenaga tetapi ternyata lebih puas berbanding terkini. Namun dia berjaya menyesuaikan dirinya. Memang dilema tetapi yang penting dia masih mampu bertahan. Tidak dinafikan banyak dugaan dilalui dalam tempoh tersebut. Selepas memulakan hidup baru bersama anak-anak, ada ketika dia jadi tawar hati. Perasaan hendak menyanyi hilang. Kering hati. Namun berkat dorongan keluarga, doa kepada yang maha esa, ‘jiwa’ itu kembali semula. Memang impian hendak melahirkan lagu solo. Tawaran Armani Entertainment, membuka hati untuk dia berduet dengan pendatang baru Hasif Upin. Sememangnya lagu Waktu menarik perhatian. Akhirnya ada lagu dan melodi yang sebagus itu. Jadi, apa salahnya, ujarnya ketika banyak komen dan suara-suara kurang bersetuju Ziana Zain kembali dengan lagu duet.

See also
Ellen DeGeneres Dedah Pengalaman Covid-19 Secara Terperinci

“Ya, memang ramai yang mempertikaikan kenapa perlu saya berganding dengan penyanyi baru. Kenapa tidak? Lagu itu bagus, kenapa saya hendak memilih. Rezeki Allah bagi, dan saya perlu bermula. Lebih-lebih lagi di dalam industri kita tak boleh sombong. Kita dulu bermula di mana. Bawah juga kan? Lagu ini melekat di jiwa, kenapa nak tolak. Nak tunggu selama-lama?,” ujarnya penuh positif. Ziana berharap benar selepas lagu ini, ada komposer yang mendapat ilham baru.Harap-harap ada lagu era baru yang berjaya menawan hatinya.

Kehadiran Ziana hari ini bukan untuk bersaing dengan siapa-siapa. Ini bukan pertandingan. Menurut Ziana, dia tidak perlu bersaing. Dia sudah menempuh penat lelah untuk berada di tahap ini. Sekarang dia sekadar mahu mengikut arus baru namun masih kekal menjaga kualiti. Nasihat Ziana usah berfikiran kolot, konon nak bersaing, bimbang tempat mereka diambil orang. Salah! Bagi Ziana, anda adalah diri anda. Lumrah alam, ada masa kita di atas, ada masa pula penyanyi baru akan naik. Tetapi kita kekallah di atas dengan kelas kita sendiri.

“Itu sahaja. Bagi saya, Tiada istilah bersaing. Sebab kita sudah ada di tempat itu. Setiap penyanyi ada keistimewaannya tersendiri. Kenapa perlu hendak bersaing. Setiap penyanyi ada ruang sendiri untuk berkarya,” ujarnya tersenyum manis. Sebagai orang lama, ada banyak lagi perihal lain yang hendak diperjuangkan. Itu lebih bermanfaat buat industri hiburan.

Seandainya Ziana boleh mengubah industri, dia mahu tekankan ruang pembahagian royalti dan cukai pendapatan dengan kadar lebih realistik. Royalti yang sedikit, mana mampu hendak dibayar cukai pendapatan yang tinggi melangit. Tidak seimbang. Lainlah selebriti antarabangsa yang punya pendapatan tinggi. Penyanyi adalah nadi di dalam industri nyanyian, harus ingat itu, pesan Ziana. Selain itu dia berharap penyanyi saling hormat menghormati. Jurang diskriminasi dan pilih kasih perlu dihapuskan. Jangan ada lagi artis dianaktirikan. Kalau dahulu memang boleh nampak. Melawan dengan situasi itu, Ziana memberikan hasil nyanyian lebih baik. Kalau boleh dia tidak mahu generasi hari ini mengalami perihal sama. Selain itu, tekanan daripada netizen juga perlu dihapuskan. Ziana sering berdialog dengan peminatnya. Usah dilayan komen-komen di baca di media sosial. Suara generasi hari ini sangat menakutkan.

“Saya sering berpesan, jangan cepat melatah dengan provokasi orang. Hati mereka busuk, jadi jangan ikut bertelagah di ruang komen itu. Jangan pula mereka yang jadi netizen. Apa yang kita komen negatif terhadap penyanyi baru, jatuh dosa. Seandainya kedudukan penyanyi itu lebih baik, kenapa perlu marah. Peminat tak boleh banding-bandingkan kami. Ibarat anda marah dengan ciptaan Allah. Anda takut penyanyi anda tenggelam, salah. Apa yang anda cakap dan tulis boleh kifarah, mungkin terpalit kepada penyanyi kesukaan anda itu sendiri,” terang Ziana yang bersyukur peminatnya sangat bertimbang rasa, malah menerima dirinya seadanya.

Kekal Setia Di Sini

Sepanjang sesi fotografi ini, Ziana Zain tampil sangat bergaya. Masih cantik seperti dahulu. Semestinya ramai yang ingin tahu gaya dan rutin kecantikan diamalkannya. Sebagai seorang penghibur, pasti ramai boleh menelah gaya penampilannya adalah pilihan Ziana dibantu seorang penata gaya. Kalau dahulu, penata gaya Ziana adalah pereka fesyen itu sendiri. Satu lagi perubahan generasi hari ini yang terpaksa Ziana akur. Namun apa lebih menarik minat pembaca adalah rutin harian Ziana Zain sebagai insan biasa. Bagaimanakah kehidupan Ziana Zain sebagai anak, kakak dan ibu sehari-hari? Ziana tidak lokek berkongsi cerita. Dia kini menetap bersama kedua ibu bapanya. Ini kisah Ziana sekiranya tiada tugasan sebagai penghibur kesayangan Malaysia.

See also
Dr. Jill Biden Cipta Sejarah Tersendiri

Dia bangun seawal enam pagi, menunaikan solat dan menyiapkan sarapan pagi. Tinggal anak kembarnya yang berusia 14 tahun, masih bersekolah. Kemudian saya punya waktu untuk menonton televisyen. Berhenti seketika untuk memasak makanan tengah hari sebelum kembali menonton Netflix. Dia bosan menonton cerita cinta malah lebih gemar menonton drama period seperti Vikings, Game of Thrones dan banyak lagi.

“Selalunya emak akan masuk dapur dahulu menyediakan makan tengah hari. Saya akan bising tetapi emak tak boleh duduk diam. Ruang waktu bersama keluarga adalah makan tengah hari. Anak-anak pulang sekolah. Kemudian saya ambil ruang memeriksa jadual kerja. Bersedia buat esok hari jika ada persembahan,” ujarnya.

Dua anaknya lagi sudah dewasa, pandai hidup berdikari. Pandai masak sendiri. Kerja rumah pun sudah dibahagi-bahagikan. Mereka berdisiplin. Seandainya abang basuh baju, adik-adik tunggu giliran melipat kain. Menjelang petang, dia akan keluar bersukan, berlari sejauh enam kilometer. Ketika inilah waktu dia ada untuk menghafal lagu. Ziana lebih senang dan punya waktu untuk diri sendiri. Seandainya bosan,  pada malam, dia luangkan masa minum kopi bersama rakan-rakan.

Mesti ramai mahu mengintai penampilan dirinya. Menurut Ziana, gayanya jauh berbeza ketika diawal usia. Berkasut tumit tinggi dan berbaju ikut badan. Menjelang usia 55 tahun, dia lebih gemarkan pakaian besar dan sporty. Baju dan kasut sukan jadi pakaian harian. Solekan juga lebih ringkas. Rutin Ziana, memakai pelembap, pelindung matahari, bedak asas, bedak debu, kemudian merias mata. Celak kening dan maskara paling penting. Menurut Ziana dia tidak memakai pemerah pipi tetapi merias bibir dan itu sudah memadai. Pulang ke rumah pula wajib membersihkan solekan sebelum tidur.

Penjagaan dalaman pula dia gemar mengambil makanan tambahan yang dirujuk doktor dan detox seminggu dua kali. Seawal usia, Ziana sudah mengamalkan pengambilan makanan tambahan untuk kulit, rambut dan minda. Mungkin sebab penjagaan awal 20an lagi, wajah dan kulit Ziana tidak dimamah usia. Dia masih kelihatan seperti Ziana Zain yang dahulu.

“Selebihnya hiduplah dikelilingi dengan kawan-kawan yang positif. Saya punya tiga kumpulan sahabat, dari sekolah rendah, teman bercuti, dan rakan-rakan pramugari. Dari tiga kumpulan ini saya dapat kumpul pengetahuan yang luas. Berkongsi tentang dunia dan cara menjaga anak-anak,” ujarnya ketawa.

Kehidupannya kini lebih bahagia bersama kumpulan sahabat positif dan keluarga yang banyak menyokong. Ziana mahu fikirannya kosong. Berlakon pun dia memilih genre komedi. Katanya, penat hendak menangis. Jadi dia lebih senang dengan pengarah Shuhaimi Lua. Ibu bapa adalah idola paling besar dalam hidupnya. Mereka banyak mengajar Ziana dalam kehidupan. Dia bertahan hari ini pun demi ibu, bapa dan anak-anak. Inilah kisah seorang Diva tanah air yang mencipta sejarahnya sendiri.