Kolaborasi Unik Fazura & Vokalis Dewa, Ahmad Dhani - Glam Malaysia
Kolaborasi Unik Fazura & Vokalis Dewa, Ahmad Dhani

Kolaborasi Unik Fazura & Vokalis Dewa, Ahmad Dhani

Aktres serba boleh, Fazura mengikut jejak langkah suaminya, Fattah Amin dengan melancarkan lagu berkonsep kerohanian.

Diberi judul Jika Cinta Allah, ia merupakan ciptaan penyanyi dan komposer tersohor dari Indonesia, Ahmad Dhani. Hakikatnya lagu tersebut telah pun dirakam dan dinyanyikan oleh vokalis kumpulan Dewa itu pada 2021. Ia kemudiannya digubah dan disuntik nafas baru untuk diberikan kepada Fazura.

Fazura

Foto: Instagram

“Ahmad Dhani berjanji untuk hasilkan sebuah lagu buat saya. Sebenarnya sudah ada pun. Lagu itu dah rakam lama sebab itu lagu Ahmad Dhani sendiri, kemudian digubah semula untuk saya. Tajuknya Jika Cinta Allah. Bila dengar lagu itu saya jatuh cinta dengan lirik dan melodinya. Ini merupakan kolaborasi pertama saya dengan Ahmad Dhani,” jelasnya.

Mengikut perancangan, Jika Cinta Allah sepatutnya dilancarkan sewaktu konsert Faztival Fazura tahun lalu, bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian. Ia akan dilancarkan pada September ini sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-40.

Hadiah Fazura Buat Peminat

Semakin meminati lagu berunsur ketuhanan dan kerohanian, Fazura mengakui jatuh cinta dengan karya yang dihasilkan oleh Ahmad Dhani. Akuinya, lagu-lagu ciptaan pemuzik itu berjaya menggambarkan hubungan manusia dan Maha Pencipta dengan begitu baik.

“Saya kalau dengar lagu, memang tak dengar dah lagu lain. Dengar lagu Dewa 19 saja sebab saya rasa lirik Ahmad Dhani, kalau di Malaysia tak sampai lagi (elemen kerohanian). Lirik dia sampai dan kena dengan apa yang saya suka,” katanya, menurut Malaysiakini.

fazura

Foto: Instagram

Sebagai penghibur, ibu kepada seorang puteri ini ingin mengetengahkan mesej positif buat pendengar menerusi lagu nyanyiannya. “Sekarang ini ramai orang ada masalah kemurungan. Jadi apabila berniat nak hasilkan album, biarlah lagu-lagunya ke arah ketuhanan kerana saya ingin memberi semangat kepada semua orang.” Selain Ahmad Dhani, Fazura juga kini dalam perancangan untuk menjalin kolaborasi dengan seorang lagi penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw. Kerjasama itu mungkin melibatkan lagu mengenai pemerkasaan wanita.

See also
GLAM x COACH 2018

 

Baca: Fazura Beralih Ke Haluan Kerjaya Baru