Kolaborasi ‘Omtanke’ Volvo Car Malaysia: Untuk Komuniti dan Bumi - Glam Malaysia

Kolaborasi ‘Omtanke’ Volvo Car Malaysia: Untuk Komuniti dan Bumi

Volvo Car Malaysia melancarkan ‘Volvo Batik Reusable Facemasks’ dalam usaha memartabatkan komuniti setempat bersama Three Little Ahmads dan Nano Textile.

Volvo Car Malaysia, Three Little Ahmads dan Nano Textile berkolaborasi bersama dalam melancarkan koleksi pelitup muka anti-mikrob ‘Volvo Batik Reusable Facemasks’. Selain membawakan alternatif yang lebih lestari kepada pelitup muka pakai buang, projek ini banyak memberi manfaat kepada kemahiran komuniti setempat dalam menyokong kehidupan mereka yang telah kehilangan pekerjaan dan mengharungi kesukaran hidup sepanjang pandemik ini.

Projek ini mendapat sentuhan tempatan daripada Three Little Ahmads iaitu pengusaha jenama pakaian kanak-kanak dan perusahaan sosial yang diasaskan di Malaysia. Pelitup muka ini dihasilkan dengan penuh etika oleh ibu tunggal serta golongan wanita di kawasan luar bandar dan alumni vokasional GIATMara, yang kehilangan pekerjaan disebabkan penutupan kilang semasa Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu.

Sehubungan dengan itu, bagi setiap pelitup muka yang dihasilkan, individu daripada kumpulan komuniti ini akan diberi imbuhan yang sewajarnya. Sehingga hari ini, hasil daripada pembuatan pelitup muka ini dapat memberikan mereka sumber pendapatan yang stabil dan membolehkan mereka menebus balik barang kemas yang terpaksa mereka gadai disebabkan oleh pandemik.

‘Omtanke’ mendefinisikan pendekatan Volvo terhadap kelestarian dalam usaha menjaga planet ini. Volvo Cars komited untuk melindungi dan memperbaiki persekitaran dan masyarakat secara menyeluruh. Antara kebimbangan persekitaran yang terlahir daripada pandemik ini ialah pembuangan pelitup muka pakai buang yang akanberakhir di tapak pembuangan sampah atau lautan sebagai plastik nano.

See also
8 Selebriti Berkongsi Rutin Kecergasan Di Rumah Ketika Pandemik

Menyedari pelitup muka pakai buang sebagai masalah persekitaran yang begitu pantas berkembang, penghasilan pelitup muka fabrik yang boleh digunakan semula dengan corak batik tekap yang unik dalam kerjasama tiga hala ini adalah satu penghormatan yang baik kepada warisan budaya seni Malaysia.

Dihasilkan dengan tangan, setiap pelitup muka dihasilkan dengan mementingkan faktor kesihatan pemakai. Ia menggunakan 100 peratus kain kapas yang antibakteria, kalis air dan memberikan perlindungan daripada bakteria dan virus, serta mampu bertahan sehingga 100 kali cucian lembut.

Syarikat di sebalik pelitup muka antibakteria, NanoTextile adalah syarikat tekstil progresif di Malaysia yang menawarkan solusi teknologi dalam pengeluaran tekstil. Mengambil kira kos, sisa pengeluaran, jangka hayat produk dan potensi risiko kesihatan, NanoTextile menggunakan teknologi nano untuk mengurangkan penembusan titisan tercemar dan mencegah kemungkinan jangkitan virus atau bakteria pada fabrik. Penambahan penuras PM 2.5 menjadi lapisan perlindungan kelima pada pelitup muka ini dan ujian menunjukkan ia mampu menyaring 90 peratus partikel virus dengan berkesan.

‘Volvo Batik Reusable Facemasks’ ini hadir dalam set tiga helai, dengan dua pilihan saiz sederhana atau besar. Setiap set hadir dalam tiga variasi warna, iaitu Biru Tua (bunga  matahari), Biru Kelasi (bunga lili), dan Biru Langit (bunga melati). Dijual pada harga RM99 setiap set, pelitup muka ini boleh dibeli di pengedar Volvo di seluruh negara. Layari laman rasmi Volvo Car Malaysia untuk lebih maklumat.

See also
Butiran Perkahwinan Putera Mateen & Fakta Menarik Bakal Isteri, Anisha Rosnah

Foto: Volvo Car Malaysia

Baca lebih lanjut: Kesegaran Kopi Musim Panas Cara Chiara Ferragni